Oleh JAMDI NASIR
KOTA KINABALU 16 Jun – Kenaikan harga minyak dunia sehingga mencecah AS$135 setong baru-baru ini merupakan ancaman yang sebenar kepada pertumbuhan ekonomi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, senario itu secara tidak langsung menekan beberapa ekonomi yang telah sedia lemah dan boleh memaksa kerajaan meningkatkan defisit belanjawan di celah-celah inflasi yang melonjak.
“Secara global, krisis minyak ini memberi kesan kepada ketidakstabilan sektor-sektor utama seperti pengangkutan udara, darat dan laut, perikanan serta industri yang berkaitan dengan pengguna.
“Ia telah memaksa syarikat penerbangan mengurangkan perkhidmatan penerbangan dan memberhentikan pekerja, nelayan melancarkan mogok, pemandu bas yang marah menyebabkan pengangkutan awam tergendala, belian panik dalam kalangan pemandu dan demonstrasi yang tidak terkira jumlahnya terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif 2008, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri-menteri Kabinet Sabah dan lebih 500 peserta dari dalam dan luar negara.
Persidangan kali kedua selama dua hari itu dianjurkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah.
Najib berkata, ekoran kenaikan harga minyak itu juga, sektor korporat dijangka mula mengurangkan kos operasi masing-masing dengan mengambil beberapa langkah penjimatan termasuk melabur dalam teknologi baru yang berasaskan sumber tenaga alternatif.
Katanya, masalah kenaikan harga minyak dunia dan krisis makanan itu juga membawa keadaan huru-hara, panik, kacau-bilau serta rusuhan dalam kalangan kumpulan miskin dan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, rentetan itu adalah menjadi cabaran kepada semua pihak untuk mengatasi segala halangan yang timbul berikutan kenaikan harga bahan api tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk meninjau kerjasama dan membentuk gabungan antara kerajaan, peserta global dan masyarakat bagi menghasilkan faedah globalisasi agar “mereka dapat menjangkau semua orang, termasuk orang biasa”.
“Kita juga perlu menyediakan keperluan masyarakat sejagat termasuk sumbangan kepada kesihatan, keamanan, keselamatan serta kehidupan yang harmoni,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, ekonomi negara kini merupakan yang ke-29 terbesar di dunia.
Katanya, jumlah dagangan pula dua kali ganda lebih besar daripada saiz ekonomi negara menjadikan ia antara yang tertinggi di dunia dan sejak 50 tahun lalu, ekonomi berkembang dengan begitu pesat sekali.
Beliau memberitahu, pendapatan perkapita rakyat Malaysia juga meningkat hampir 20 kali ganda iaitu daripada RM1,132 pada tahun 1970 kepada RM23,114 pada tahun 2007.
“Kuasa membeli juga meningkat 12 kali ganda iaitu daripada AS$$1,247 pada tahun 1970 kepada AS$$14,483 pada tahun 2007 yang jelas menunjukkan peningkatan pendapatan dan taraf hidup rakyat negara ini,” katanya.
Beliau berkata, walaupun perjalanan ekonomi Malaysia membanggakan, namun negara juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk krisis kewangan dan masalah kelembapan ekonomi.
Bagaimanapun, katanya, kepimpinan kerajaan berjaya menangani krisis tersebut dengan cara tersendiri dan kini negara sedang berhadapan dengan fasa kedua Misi Nasional untuk mencapai negara maju menjelang 2020.
Sehubungan itu katanya, adalah perlu bagi kerajaan untuk terus meningkatkan sistem penyampaian bagi mempercepatkan inisiatif sektor swasta dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment