Thursday, June 26, 2008
KAJIAN RMK-9 PENTING BAGI AGENDA MAJUKAN NEGARA : PM
(PM MEMBENTANGKAN KAJIAN SEPARUH PENGGAL RMK-9)
dipetik daripada Berita Harian Online.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat hari ini, berkata kajian itu amat penting bagi menjamin kesinambungan agenda pembangunan negara.
Malah, beliau berkata ia perlu apatah lagi dalam suasana ekonomi semasa yang amat mencabar.
"Sekiranya tidak ditangani secara wajar, kenaikan harga minyak dan komoditi yang mendadak, serta kemelut dalam pasaran kewangan sedunia yang masih berlanjutan mampu menjejaskan usaha kita untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang mapan," katanya.
Katanya pembentangan itu bertujuan melaksanakan strategi dan program serta menyediakan peruntukan menjadikan Malaysia sebuah negara yang teguh dan bersatu padu.
Oleh itu, katanya, satu daripada objektif utama bagi fasa kedua dalam pelaksanaan RMK-9 adalah untuk memastikan agar mutu hidup rakyat tetap terpelihara dan program-program peningkatan pendapatan serta jaringan keselamatan sosial akan terus dilaksana dan diperkasa.
Pada masa sama, katanya, Kajian Separuh Penggal ini juga tidak melupakan keperluan untuk terus meningkatkan kapasiti dan daya saing negara.
"Pembinaan infrastruktur, pembangunan modal insan, dan perkembangan sektor pertumbuhan baru akan terus dipacu, dengan mengambil kira keperluan jangka panjang pembangunan negara," katanya.
Abdullah berkata bagi memastikan agar Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan yang positif, agenda pembangunan negara akan terus direncana berdasarkan lima Teras Utama Misi Nasional, iaitu:
+ Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;
+ Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama;
+ Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif;
+ Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup; dan,
+ Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara
Abdullah juga menggariskan beberapa kejayaan dalam tempoh dua tahun pelaksanaan RMK-9, termasuk mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang membanggakan, iaitu 6.1 peratus setahun, serta menaiktaraf kualiti hidup rakyat melalui peningkatan pendapatan perkapita daripada RM18,840 pada 2005 kepada RM23,066 pada 2007. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment