Thursday, June 12, 2008

PENGUATKUASA PERLU SERIUS

DALAM menangani rantaian kesan kenaikan harga minyak aspek yang paling penting diberi perhatian ialah penguatkuasaan.

Penguatkuasaan bukan dalam erti kata sambil lewa atau memadai dengan jumlah pegawai serta kakitangan sedia ada.

Bukan juga penguatkuasaan dalam keadaan harga minyak masih kekal di paras lama di mana operasi mengesan salah laku di kalangan peniaga barangan atau pengusaha pengangkutan awam dilakukan mungkin enam bulan sekali.

Penguatkuasaan yang ingin dilihat oleh pengguna ialah dalam erti kata cekap, berkesan dan menyeluruh sambil tidak menolak jumlah kekerapan yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak sekali pun.

Hasil penguatkuasaan itu pula mesti diserlahkan dalam bentuk pelaksanaan undang-undang. Mereka yang terbukti bersalah mesti segera dihukum dengan kadar denda atau hukuman penjara bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan.

Kesemua itu penting supaya kalangan pengguna melihat betapa pihak penguat kuasa serius menangani setiap aduan berserta bukti yang telah mereka kemukakan.

Hukuman yang dikenakan pula kelak menjadi pengajaran kepada peniaga lain supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Jika penguatkuasaan yang cekap dan berkesan dapat dibuktikan sudah tentu tidak akan timbul lagi keberanian mana-mana pihak untuk menaikkan harga di sebalik puluhan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Sebaliknya penguatkuasaan yang lemah menyebabkan segala amaran umpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri - maka yang menjadi mangsa ialah pengguna.

Sebab itu kita mahu setiap kementerian yang berkenaan mengerah pasukan penguat kuasa masing-masing memantau secara kerap, cekap dan berkesan perihal kenaikan harga barangan serta perkhidmatan yang dikatakan berlaku secara keterlaluan.

Hentikan alasan tidak cukup anggota penguat kuasa kerana setiap negeri mempunyai jumlah penguat kuasa mencukupi untuk memantau wilayah masing-masing.

Paling penting penguatkuasaan mesti dilakukan secara berterusan serta tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk menggula-gulakan penguat kuasa dengan sekotak rokok atau wang saku.

Penguat kuasa mesti digeruni oleh peniaga atau pengusaha perkhidmatan kerana ketegasan membanteras salah laku sehingga menyebabkan mereka berfikir dua kali sebelum menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Sesungguhnya tidak salah untuk menaikkan harga barangan atau perkhidmatan kerana peningkatan harga minyak mewajarkan mereka berbuat demikian.

Peranan serta ketegasan penguat kuasa ialah memastikan setiap kenaikan adalah di dalam ruang lingkup yang dibenarkan, bukannya mengikut sesedap rasa para peniaga dan pengusaha.

Untuk menyedapkan hati rakyat, ada baiknya kerajaan menambah lebih banyak barang-barang keperluan tertentu dimasuk dalam senarai barang kawalan.

No comments: