Oleh ZULKIFLI JALIL
PUTRAJAYA 12 Jun – Isu kenaikan kos sara hidup serta masalah kekurangan bekalan makanan yang semakin ketara sejak akhir-akhir ini perlu ditangani dengan bijaksana dan inovatif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengajak anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) memikirkan bagaimana hendak meningkatkan kesejahteraan rakyat menegaskan, cadangan mereka ke arah penyelesaian isu tersebut amat dihargai dan dialu-alukan.
‘‘Sama-samalah kita memikirkan bagaimana dapat meningkatkan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta mereka yang memerlukan bantuan seperti warga emas dan golongan kurang upaya dalam usaha kerajaan merangka Bajet 2009.
‘‘Usaha ke arah merapatkan jurang pendapatan dan membangunkan modal insan juga perlu diberi perhatian,” kata beliau.
Abdullah berkata demikian dalam kata-kata aluan pada majlis Konsultasi Bajet 2009 dengan Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) di Kementerian Kewangan di sini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, isu-isu lain yang perlu diberi tumpuan ialah menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam, menjamin keselamatan awam dan keamanan serta memulihara alam sekitar agar kualiti hidup rakyat di negara ini sentiasa bertambah baik.
Menurutnya, kerajaan akan terus memberi sokongan padu bagi pembangunan sektor swasta yang mapan terutama sektor industri kecil dan sederhana.
Dalam konteks ini kata beliau, inisiatif pembangunan koridor merupakan satu daripada landasan utama untuk memangkin aktiviti sektor swasta yang lebih maju dan rancak.
‘‘Dalam usaha kita mengejar pembangunan ekonomi yang kukuh, kerajaan akan terus memastikan tidak ada pihak yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara, baik dari sudut perbandingan kaum, wilayah ataupun negeri,'' katanya.
Abdullah berkata, sejajar dengan matlamat itu, Bajet 2009 akan menumpukan usaha ke arah memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi yang mapan di samping memastikan kesejahteraan rakyat.
Tema Bajet 2009 adalah Meningkatkan Daya Tahan Bagi Pertumbuhan Mapan dan Perkongsian Kemakmuran.
Menurut Perdana Menteri, Bajet 2009 berteraskan kepada pelaksanaan Misi Nasional ke arah mencapai Wawasan 2020 dalam menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020.
Pada 21 April lalu, Perdana Menteri mengadakan beberapa siri konsultasi Bajet dengan wakil-wakil sektor swasta, kesatuan sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan.
Majlis konsultasi Bajet adalah langkah awal kerajaan dalam merencana dan menggubal strategi Bajet tahunan negara dengan mendapatkan pandangan pelbagai pihak.
Bajet 2009 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Ogos ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment