RAMAI yang terkejut dengan pengumuman kenaikan harga minyak pada petang Rabu lalu sehingga menyebabkan stesen minyak di seluruh negara terutama sekitar Lembah Klang menerima serbuan melampau oleh para pemandu.
Ada yang marah, ada juga yang cuba mencari jawapan mengenai kenaikan itu dan tidak kurang juga mereka yang sudah mencongak-congak cara terbaik untuk berjimat-cermat termasuk menunggang motosikal serta berpindah ke tempat yang lebih dekat dengan pejabat.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai situasi ini, wartawan Mingguan Malaysia, AMRAN AHMAD mewawancara Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem. Dalam pertemuan satu setengah jam itu, Dr. Mohamed Ariff berkongsi pendapat MIER, selaku badan bebas yang menjalankan penyelidikan profesional ke atas ekonomi, mengenai rasional tindakan itu dan faedahnya kepada negara.
Beliau turut menyentuh mengenai kemampuan Petronas untuk membiayai subsidi, fenomena komoditi tersebut di peringkat global, kesan negatif kenaikan minyak dan kaedah bersesuaian untuk menyekat limpahan kenaikan harga barang.
MINGGUAN: Harga petrol naik sehingga RM2.70 seliter dan diesel melonjak sehingga RM2.58 seliter. Adakah trend ini akan berterusan?
PROF. MOHAMED ARIFF: Kenaikan harga minyak ini bukan sepenuhnya, hanya peringkat pertama dan akan terus naik lagi ke paras lebih RM4 seliter berbanding RM2.70 seliter sekarang kerana harga bagi petrol di Amerika Syarikat (AS) pada masa sekarang ialah AS$1.40 seliter atau RM4.54 seliter. Lagipun, dengan mengambil contoh Singapura yang mengamalkan sistem pasaran bebas, harga petrol di negara jiran itu ialah lebih RM5 seliter, justeru, harga pasaran dianggarkan akan naik kepada lebih dari sekali ganda daripada harga lama petrol RM1.92 seliter.
Perubahan harga petrol di negara ini akan berlaku sejajar dengan pergerakan harga minyak global, maknanya jika harga minyak global naik, kita juga kena naikkan harga minyak di peringkat tempatan dan jika ia turun, harga kita pun turun.
Adakah MIER bersetuju dengan langkah kerajaan itu?
PROF. MOHAMED ARIFF: Bagi MIER, langkah kerajaan mengurang dan menghapuskan subsidi adalah keputusan tepat. Ini sejajar dengan perkembangan ekonomi terutama harga minyak global, walaupun ia keputusan yang tidak dialu-alukan rakyat yang dimanjakan dengan subsidi sejak sekian lama. Dengan menaikkan harga minyak di negara ini secara berperingkat, ia akan mengurangkan kejutan ke atas sistem ekonomi negara. Namun tidak dapat mengelak daripada lonjakan kadar inflasi dan kadar faedah.
Salah satu sebab harga minyak global naik secara ketara adalah kerana banyak negara di dunia ini memberi subsidi minyak kepada rakyat mereka sehingga menyebabkan permintaan yang terus meningkat. Dua gergasi ekonomi dunia, India dan China turut memberi subsidi. India memberi subsidi ke atas diesel tetapi tidak kepada petrol manakala China memberi subsidi kepada kedua-dua bahan bakar tersebut. Kerana menerima subsidi, rakyat boleh membeli dan menggunakan bahan bakar itu pada kadar yang banyak, tetapi jika tiada subsidi maka mereka akan kurangkan penggunaan, sekali gus mengurangkan permintaan.
Tahun lalu, Petronas menjana keuntungan RM76.3 bilion dan terus untung RM42.6 bilion untuk tempoh enam bulan tahun kewangan berakhir 30 September yang lalu. Apakah untung Petronas ini tidak boleh digunakan untuk membiayai subsidi rakyat?
PROF. MOHAMED ARIFF: Seperti syarikat minyak lain, Petronas juga menjana keuntungan ekoran peningkatan harga minyak di peringkat global. Namun, kita harus ingat bahawa 40 peratus daripada keuntungan Petronas hasil operasi luar negaranya dan firma minyak negara ini telah membayar cukai besar kepada kerajaan dalam bentuk royalti dan lain-lain. Laba Petronas ini memang ada dan sepatutnya digunakan untuk menjana pembangunan dan pelaburan, bukan untuk membiayai subsidi penggunaan minyak semasa.
Jika kita guna laba itu untuk memberi subsidi atas kegunaan minyak pada hari ini, kita sebenarnya bertindak mementingkan diri sendiri kerana tidak melaksanakan pembangunan dan pelaburan untuk anak-cucu kita. Laba Petronas itu sepatutnya digunakan untuk membina lebih banyak infrastruktur bagi menyediakan landasan ekonomi yang lebih baik untuk generasi akan datang. Lagipun, jika kita terus beri subsidi ke atas penggunaan minyak pada hari ini, rakyat akan terlebih guna kerana boleh membeli minyak pada harga yang murah.
Jadi kita terpaksa menaikkan harga minyak dan membuat keputusan yang sangat tidak popular?
PROF. MOHAMED ARIFF: Kita kena terima hakikat bahawa kenaikan harga minyak ini kerana ini adalah fenomena yang berlaku di seluruh dunia, seperti yang dilaporkan di sana-sini. Ini jelas bukan salah kerajaan kerana mana-mana kerajaan terpaksa membuat keputusan tidak popular seperti ini. Bagi meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak ini, kerajaan mesti mengatasi masalah ketirisan dan penyelewengan yang berlaku di peringkat persekutuan dan negeri, sebagai contoh pembelian pensil berharga RM1 untuk kegunaan pejabat kerajaan tapi kemukakan resit RM10 sebatang.
Mungkin dengan berbuat demikian, kerajaan boleh membantu rakyat meringankan beban hidup yang kian bertambah, tetapi bukan dengan mengambil laba simpanan Petronas untuk membiayai subsidi penggunaan minyak semasa yang sepatutnya dibuat untuk generasi akan datang.
Pada masa yang sama, saya turut mengharapkan agar kerajaan tidak melaksanakan pelarasan gaji pada kadar segera semata-mata akibat kenaikan harga minyak kerana ia boleh memberi tekanan kepada kadar inflasi. Jika mahu membuat pelarasan gaji, seharusnya ia dilakukan kerana peningkatan tahap produktiviti dan bukan bagi mengurangkan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak.
Selain menyebabkan lonjakan kadar inflasi, apakah kenaikan harga minyak ini turut tidak memberi kesan buruk kepada elemen lain seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kemasukan pelabur dan lain-lain?
PROF. MOHAMED ARIFF: Kenaikan harga minyak yang menjurus kepada lonjakan inflasi ini adalah fenomena global, berlaku di semua negara dan bukan di Malaysia sahaja. Justeru, kita tidak perlu risau mengenai pelabur asing terutama persepsi mereka kerana di mana-mana sahaja mereka pergi, keadaan lebih kurang sama sahaja.
Dari segi KDNK Malaysia, MIER menjangka kelembapan berbanding tahun lalu sejajar dengan ekonomi AS yang kian perlahan pada suku semasa dan ketiga akan datang. Dari segi inflasi pula, jika sebelum ini keputusan kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen menyebabkan kadar inflasi melonjak ke paras 4.8 peratus, kita boleh mencongak kesan ke atas inflasi apabila berlaku kenaikan 78 sen seliter petrol dan RM1 seliter diesel.
Bagi MIER, kami menjangka kadar inflasi akan berlegar-legar antara empat hingga lima peratus, punca utama ialah kenaikan kos pengangkutan kerana semua aktiviti termasuk pertanian perlu diangkut ke sana kemari dan ini akan melonjakkan harga barangan. Kadar faedah negara pula akan dinaikkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyekat kenaikan kadar inflasi dan dijangka berada di bawah lima peratus, bergantung kepada sejauh mana kadar inflasi naik.
Antara industri tempatan yang dijangka terjejas akibat kenaikan harga minyak ini ialah kereta atau automotif serta restoran. Dari aspek sosial, walaupun kami tidak menjangka penganjuran demonstrasi atau rusuhan sehingga boleh melumpuhkan negara, saya rasa kerajaan perlu menerangkan semua alasan menaikkan harga minyak dengan berkesan.
Kita mempunyai populasi yang boleh mendengar dan memahani serta berpengetahuan dengan terdedah kepada berita-berita luar negara pada setiap hari.
Rakyat mahu tahu, apakah kebaikan yang dinikmati negara dengan menaikkan harga minyak itu?
PROF. MOHAMED ARIFF: Rakyat harus tahu bahawa kerajaan membelanjakan 3.4 peratus daripada KDNK untuk subsidi dan angka ini sememangnya sangat tinggi. Malaysia mengalami bajet defisit sebanyak 3.2 peratus tahun lepas dan ia mesti dikurangkan seberapa segera dan tiada jalan lain untuk negara seimbangkan bajet tanpa mengurangkan atau menghapuskan subsidi ini.
Dengan menghapuskan subsidi negara mampu mengurangkan bajet defisit agar persepsi pelabur luar terhadap pengurusan ekonomi negara bertambah baik dan menjadikan Malaysia menjadi pusat pelaburan yang baik.
Tanggungan subsidi juga telah melambatkan pelaksanaan projek-projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Wawasan 2020 yang kita semua tahu melibatkan projek pembangunan infrastruktur yang memerlukan modal pelaburan yang besar.
Dengan menaikkan harga minyak juga, kita akan lihat jumlah kereta yang berkurangan di atas jalan raya negara ini kerana rakyat akan mula berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja, mengurangkan jumlah perjalanan dan berhati-hati dalam setiap rancangan untuk keluar rumah. Apabila ini berlaku, selain mengurangkan masalah kesesakan jalan raya dan masalah alam sekitar, apabila kita mengurangkan penggunaan bahan bakar, maka harga minyak akan kembali menurun.
Sekarang permintaan melebihi pengeluaran di peringkat tempatan kerana kita menggunakan 87 juta tong minyak dalam sehari sedangkan kita cuma mengeluarkan 85 juta tong sahaja sehari sahaja. Sekarang, harga minyak di stesen minyak adalah berasaskan harga pasaran, jadi jika permintaan menurun dan harga minyak global turut menjunam, maka pastinya harga minyak yang kita beli turun juga. Ini sudah pasti.
Harga barangan tentu naik selepas ini, apakah cara untuk menyekat kenaikan?
PROF. MOHAMED ARIFF: Ya, harga barang pasti akan naik, cuma tidak tahu sejauh mana kerana pelbagai faktor termasuk kawalan harga barang dan aktiviti penyelewengan. Cara terbaik untuk menangani kenaikan harga barang di pasaran tempatan ialah menggalakkan kewujudan persaingan yang sihat dalam semua industri terutama keperluan asas seperti makanan serta pakaian dan penghapusan sistem monopoli.
Kerajaan hendaklah memberi peluang kepada lebih banyak pembekal dengan mengeluarkan lebih banyak permit untuk membekalkan barangan kepada pengguna dan dengan menghapuskan sistem monopoli dengan beberapa peserta dibenarkan untuk membawa masuk barangan yang sama.
Dengan berbuat demikian, negara bukan sahaja dapat menghapuskan subsidi minyak malah turut melibatkan subsidi makanan dan barangan keperluan lain yang dikehendaki rakyat. Dalam pada itu, bagi memastikan ia berlaku dalam suasana sihat, kerajaan perlu wujudkan polisi dan undang -undang berkenaan persaingan terbuka untuk memantau perkara ini demi melindungi rakyat sebagai pengguna daripada sebarang bentuk penganiayaan oleh peniaga.
Ada cara lain untuk meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan kecil?
PROF. MOHAMED ARIFF: Secara amnya, lebih rendah gaji anda, maka semakin perit kesan yang anda rasai ekoran kenaikan harga minyak ini berbanding mereka yang mendapat pendapatan lebih tinggi setiap bulan. Golongan berpendapatan sederhana mungkin dapat menampung kesan kenaikan ini walaupun terpaksa membuat pilihan dalam kehidupan harian kerana lebih bajet untuk petrol bermakna kurang peruntukan untuk perkara lain.
MIER juga menjangka berlakunya kesan sosial kerana akan ada rakyat juga yang jual rumah yang diduduki sekarang kerana terlalu jauh dari tempat kerja dan terpaksa mengubah corak dan aktiviti kehidupan bagi mengurangkan keperitan akibat duit poket yang semakin nipis.
Cukupkah pemberian subsidi tunai kepada pemandu kereta di bawah 2.0 liter dan penunggang motosikal?
PROF. MOHAMED ARIFF: MIER mengalu-alu langkah kerajaan untuk memberi subsidi tunai yang akan diberikan, cuma perlu diperluaskan lagi bagi membantu mengurangkan bebanan isi rumah dalam perbelanjaan harian. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengenal pasti isi rumah yang benar-benar susah dan daif bagi menyalurkan bantuan subsidi tunai agar mereka boleh terus membeli makanan, baju dan barangan keperluan yang lain. Pada masa yang sama, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menghapus atau menurunkan cukai jalan bagi memberi keadilan kepada semua kerana pada masa ini, rakyat perlu membayar cukai, tidak kira sama ada memandu di jalan raya atau tidak.
Sepatutnya yang menggunakan jalan raya sahaja perlu membayar menerusi pembayaran minyak pada harga pasaran tanpa subsidi kerajaan. Banyak negara seperti Jerman, AS dan Eropah kini sudah tidak lagi mengenakan cukai jalan ke atas rakyatnya bagi memberi keadilan kepada setiap pemandu di atas jalan raya. - UM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Tepat atau tidak tepat sesuatu keputusan tu tidak mudah untuk dijangkakan... Kalau harga minyak naik 40%, inflasi pun saya kira akan naik 40% juga, mungkin setidak-tidaknya naik 20%.
Kerajaan Korea Selatan baru mengumumkan akan memberi subsidi 30billion untuk mengatsai kemelut harga minyak ini...
Bagi orang kaya yang gaji RM10,000 mungkin kenaikan ini tak memberi impak maksima... Tapi macamana bagi orang yang berpendapatan RM1000 sebulan?
Bagi saya, semua negara berhak dan perlu memberi subsidi atau insentif untuk tujuan pembangunan negara.
Saya juga tak pasti sejauh manakah kerajaan telah mengkaji kesa kenaikan harga minyak nie... Kenapakah tiada "white paper" untuk menerangkan keadaan sebenar punca kerajaan menaikkan harga sehingga RM0.78 untuk petrol..
Post a Comment