Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek telah menjadi tetamu dalam program Hello Malaysia terbitan Bernama TV yang disiarkan Selasa malam.
Berikut adalah transkrip wawancara berkenaan.
S: Terlebih dahulu Bernama TV mengucapkan terima kasih di atas kesudian Datuk untuk kami temui hari ini dalam rancangan ini. Kita sebenarnya Datuk ingin bercakap mengenai Jawatankuasa Media Majlis Menangani Inflasi Kebangsaan yang baru ditubuhkan. Sebagai pengerusi, pasti Datuk merancangkan sesuatu yang menarik dalam jawatankuasa ini. Tapi yang lebih penting kenapa jawatankuasa ini perlu ditubuhkan pada ketika ini?
J: Dunia sekarang ini sedang mengalami zaman krisis. Krisis-krisis dunia dan sudah tentu negara kita terkena tempias dari krisis-krisis dunia yang kita perlu tangani dengan serius yang memerlukan persiapan pemikiran rakyat secara keseluruhannya.
Dan ini bukan sekadar kita bercakap dari segi aspek-aspek ekonomi tetapi persiapan rakyat. Dan yang kita tahu bahawa krisis itu disebabkan oleh harga minyak dunia.
Banyak orang kadang-kadang dia faham bahawa kerajaan naikkan harga minyak. Sebenarnya kerajaan tidak naikkan harga minyak, bukan kerajaan yang berniaga.
Harga minyak dunia sudah melambung tinggi...mahu tak mahu kita terpaksa menghadapinya. Dalam konteks sekarang, kerajaan sudah mengurangkan subsidi terhadap minyak atau menstrukturkan kembali subsidi terhadap minyak.
Perkara ini perlu diurus dengan baik supaya rakyat lebih memahami apa yang berlaku dan kerajaan terpaksa melaksanakan untuk masa depan rakyat juga walaupun tindakan itu tidak popular pada waktu sekarang.
S: Apabila kita bercakap tentang satu tindakan yang tidak popular, ini selalu akan memberi kesan pada kerajaan yang memerintah. Tetapi adakah tindakan tidak popular perlu dilakukan sekarang demi masa depan yang lebih cerah bukan sahaja kedudukan rakyat tetapi juga kedudukan ekonomi keseluruhannya?
J: Soal pilihan kita sama ada nak popular atau nak jadi bertanggungjawab. Saya kira, ini umpama saya katakan seorang bapa dengan anak-anaknya. Mungkin selama ini bapalah yang mengajar anak-anaknya dengan cara kehidupan dengan "standard" yang tertentu...anak dapat apa yang dikehendaki, emaknya macam mana, kereta yang dinaiki macam mana, ada alat hiburan dalam rumahnya, makannya, waktu percutian, pakaian anak-anak...satu cara yang dinikmati oleh anak dan keluarga.
Kemudian berlaku satu keadaaan, mungkin keadaan tidak baik, pendapat ayah mungkin berkurangan, mungkin bisnes tidak baik masa itu atau pun keadaan harga barang naik masa itu.
Pilihan ayah terhadap anaknya, satu mendidik anak supaya berubah, mempunyai sikap berbeza tapi mungkin anaknya, tak kira kami nak apa yang kami dapat. Kalau dahulu kami pergi sekolah bawa wang banyak ini, kami mahu jumlah yang sama ke sekolah, nanti malu dengan kawan-kawan.
Mungkin dia fikir mahu sentiasa popular dengan anak-anak...tak apalah...semua boleh dapat apa yang biasa dapati...caranya dengan meminjam...pergi bank, cagar rumah, cagar kereta, jumpa along.
Mungkin anak-anak tak peduli macam mana ayah dapat wang tapi kemungkinan kalau keadaan berterusan tidak mustahil akhirnya along datang dan mengambil tindakan-tindakan yang boleh menghancurkan keluarga, bank rampas rumah atau kereta, tanah dicagarkan akhirnya nanti anak juga kecewa...terpaksa pindah rumah, terpaksa lari daripada kehidupan biasa, atau rumah yang sepatutnya diwarisi anak-anak juga akan hilang begitu sahaja.
Sebab itu dalam keadaan sekarang kita lihat seorang pemimpin negara misalnya YAB Perdana Menteri....orang akan katakan kalau nak popular, Pak Lah boleh kiralah berapa tahun mahu jadi PM.
Lima, 10 tahun, dan dia takkan berbuat apa-apa dan kekalkan dengan harga yang lama supaya rakyat teruskan segala-segalanya murah di sini dengan menggunakan kaedah perbelanjaan defisit yang tinggi.
Defisit ini berhutang, kerajaan boleh berhutang. Insyallah kalau nak berhutang saya kira dengan credit rating (penarafan kredit) yang dinikmati sekarang, ia boleh berhutang dengan mana-mana bank dalam negeri atau luar negeri.
Tetapi kita ingat, kita berhutang kita kena bayar, mungkin dengan pendapatan yand diperolehi melalui cukai dan sebagainya kita boleh bayar.
Tetapi tidak boleh bayar sepenuhnya, kerana kita tahu harga minyak akan naik lagi, subsidi akan bertambah lagi.
Kita bayar sikit macam orang pakai credit card buat minimum payment (bayaran minimum) boleh guna lagi sebab ruang yang ada itu. Tapi lama kelamaan, credit card kita tak bolehlah dah...sudah limit, sudah hadnya dan mungkin satu ketikanya nanti credit card tidak boleh bayar dan kredit itu tidak boleh digunakan lagi, bank akan datang kepada negara.
Ini pernah berlaku banyak di negara-negara lain seperti negara Afrika ataupun India sehingga tahun 90-an.
India menggunakan sistem negara berasaskan sosialisme...yang rakyat jangan bimbang... dengan memberikan dasar perlindungan kepada industri-industri tempatan, mengenakan cukai yang tinggi pada yang luar, menjadi barang dari luar lebih mahal untuk lindungi barang tempatan...dan ia menyebabkan ekonomi negara itu tidak efisien semata-mata kerajaannya mahu jadi popular pada satu ketika...dalam 90-an waktu PM sekarang Manhoman Singh menjadi Menteri Kewangan memberi/mengisytiharkan kepada PMnya kata "Sir kita hanya tinggal ada dua minggu lagi untuk bayar kakitangan kerajaan"...ia boleh berlaku di sana dan boleh berlaku dalam negara kita.
Mungkin Pak Lah pada waktu itu...mungkin 10 tahun lagi....dia kata waktu itu dia tak jadi PM....akibat daripada apa yang dibuat hari ini...10 tahun akan datang...itu saya tidak kisah...sebagai bekas PM waktu saya jadi PM dulu, harga minyak murah, barang murah, apa murah, tapi semuanya berdasarkan hutang...yang kena bayar itu bukan masalah dia, yang kena bayar PM yang akan datang, yang kena bayar rakyat yang akan datang.
Ini yang bahaya kalau pemimpin sekiranya pemimpin macam Pak Lah bersikap tidak bertanggungjawab mementingkan populariti pada waktu hari ini, yang jadi mangsa orang yang akan datang.
Mungkin pada masa itu, dia akan kata, zaman saya barang murah, zaman saya boleh buat macam ini...tetapi ia sebenarnya langkah yang tidak bertanggungjawab jadi soalnya sekarang ialah mana lebih penting populariti atau kebertanggungjaawab.
Dan saya fikir, kebertanggungjawaban itulah yang lebih penting bagi sesebuah kerajaan seperti bapa kepada rakyat dalam negara ini.
S: Dalam aspek ini, kita lihat mungkin "timing" kerajaan menaikkan harga minyak menimbulkan kegelisahan sebenarnya pada rakyat.Ketika yang sama harga barang-barang lain turut naik. Mereka mengalami masalah kenaikan harga beras misalnya, gula pada satu ketika, tepung sudah tiada di pasaran pada satu ketika, ini semua menjadi faktor-faktor mengelisahkan perasaan rakyat ketika ini dan apabila harga minyak dinaikkan pada ketika ini mungkin rakyat merasakan kerajaan tiada belas kasihan pada mereka. Barangkali ini pandangan masyarakat secara umum yang sudah tidak boleh berfikir secara rasional tetapi lebih daripada emosional.
J: Itu beza antara masalah dan krisis. Masalah adalah satu masalah tetapi kalau masalah bertimpa-timpa dan saling berkaitan itu masuk zaman krisis.
Krisis ini bukan berlaku di negara kita sahaja. Ia adalah krisis dunia. Kenapa naik harga? Kerana barang mahal dikaitkan dengan makanan. Makanan mahal kerana makanan yang dikeluarkan berkurangan sedangkan permintaan bertambah.
Penduduk dunia bertambah. Pengeluaran sedikit, ia ada kaitan satu, cuaca, yang kedua kos mengeluarkan makanan tinggi kerana sebahagian dari baja atau racun dibuat dari bahan-bahan kimia ada kaitan dengan soal minyak...tingginya harga minyak kos baja naik, kos untuk racun tumbuhan dan sebagainya.
Kemudian dikaitkan juga dengan apabila minyak naik ada perlumbaan, orang menggunakan tanah bukan sahaja untuk kepentingan tumbuh-tumbuhan yang dapat mengisi perut tapi sekarang tanah digunakan untuk buat biofuel, bahan apa berdasarkan tumbuh-tumbuhan.
Tumbuh-tumbuhan bukan untuk mengisi perut tetapi mengisi tangki kereta, ia satu sektor yang besar.
Misalnya di US, subsidi diberikan kepada penanam jagung. Jagung itu digunakan sebagai bahan api pilihan kepada minyak yang ada sekarang.
Jadi tanah, harga baja naik, harga racun naik, kerana cuaca menyebabkan banyak tanaman tak menjadi. Dan sebahagian tumbuhan jadi bahan api.
Ini masalah yang saling bertimpa-timpa yang menyebabkan, dahlah minyak naik nak mengeluarkan makanan juga naik kita patut bersyukur dalam RMK9, mungkin ada orang merasakan tekanan kepimpinan sekarang pada pembangunan pertanian dan asas-tani dianggap satu perkara yang orang tak nampak.
Mana bangunan tinggi, mana lebuh raya, mana projek mega pertanian mengambil masa yang lama sebab tanah, nak proses tanah tetapi ia melibatkan perubahan fikiran kerana ada pelaburan yang besar selepas tahun 2004 sekurang-kurangnya kita merasakan masalah makanan hal-hal berkaitan pertanian dalam negara tidak seberat apa yang dihadapi oleh negara lain.
S: Kita negara pengeluar minyak. Apabila harga minyak naik, Petronas juga tersenyum besar. Ramai yang berpendapat kenapa tidak digunakan keuntungan yang diperolehi oleh Petronas untuk menampung subsidi?
J: Benar kita pengeluar minyak tapi pengeluar minyak yang ke berapa di dunia? Kalau saya tanya orang, kita yang ke berapa, dari nombor 1 hingga 20 dan dari segi ranking kita sebagai pengeluar minyak di dunia.
Sebenarnya, antara 1 hingga 20, tak masuk pun kita. Kita kecil sangat berbanding dengan, katalah Saudi (Arab) sampai 10 juta tong sehari. Amerika, negara seperti Venezuela, Great Britain ada dua juta tong.
Iraq pula boleh mengeluarkan lima juta tong manakala Iran lima juta tong. Kita cuma keluarkan 600,000 hingga 700,000 ribu tong, apalah sangat kalau kita nak katakan kita ini pengeluar minyak.
Benar kita sebagai pengeluar, masih sebagai pengeksport bersih (tetapi yang kita pakai daripada 600,000 tong itu kira-kira 500,000 tong yang kita pakai, ertinya perbezaan dari segi kita eksport yang dapat untung dari segi kita keluarkan dan kita guna, sekitar 100,000 tong.
Itu kecil. Kita tak boleh nak bandingkan kita dengan Saudi misalnya, kos nak keluar minyak di Saudi ataupun di negara-negara Timur Tengah yang lain.
Minyak diagih di tengah-tengah padang pasir. Bawa lori, bawa trak, jumpalah minyak tu. Kos setong kalau kita lihat sekitar US$5-6 setong. Malaysia dulunya, minyak kita di persisiran pantai tetapi dah nak habis dah.
Sekarang, kita kena pergi di tengah laut atau deep sea. Sekarang, tidak timbul soal deep sea tetapi ultra deep -- 1,300 meter- 1,800 meter ke bawah.
Saya tidak tahu sebenarnya berapa kos setong kita keluarkan minyak tetapi kalau tengok standard seperti di Amerika Syarikat yang pergi ke Teluk Mexico.
Katakanlah mereka itu efisen. Kos setiap tong mereka ke deep sea atau ke tengah laut dalam sampai US$70-80 setong. Kitapun lebih kurang sama kalau angka ini tidak silap, sekitar itu. Ertinya, kalaulah harga minyak turun, kalau kita nak teruskan eksplorasi kita di peringkat laut dalam ini pun tidak banyak untung yang kita dapati.
Itu satu. Kita juga kena ingat minyak yang ada sekarang ini berapa lama tahannya. Menurut kata orang dan yang diberitahu oleh Petronas dulu, kalau kita tak bertemu dengan telaga-telaga baru tahun 2014, 2015 kita dah menjadi net importer dan 2018 mungkin tiada minyak.
Mungkin masa itu orang kata, tidak mengapa, kita belilah ikut pasaran dunia dan kita juallah ikut pasaran dunia. Itu dengan andaian orang nak jual minyak kita dan minyak mereka kepada kita. Jangan mengambil mudah. Sekarang minyak makin sedikit dan susah diperoleh.
Kalau kita katakan waktu itu kita beli minyak daripada luar negeri, kita kena ingat kalau orang nak jual pada waktu itu.
China misalnya dah buat kontrak masa depan sekarang ini dengan Qatar, Saudi, Kuwait untuk 20-30 tahun akan datang.
Saya difahamkan mereka buat kontrak bukan sekadar saya beli dengan harga untuk 20-30 tahun akan datang malah setengah daripada mereka menawarkan pulak saham syarikat-syarikat mereka pulak tu.
Juallah pada negara kami. Keuntungan syarikat-syarikat kami, industri kami akan juga diperoleh pada negara ataupun syarikat-syarikat dari negara yang sanggup menjual minyak kepada mereka.
Jadi kemungkinan banyak minyak-minyak dunia, syarikat-syarikat minyak dunia sudah ada kontrak dengan China, India.
Kalau waktu itu kita baru nak cari dengan mereka, mungkin tidak ada apa dah kalau mereka nak jual. Saya rasa Petronas kalau untung sikit-sikit mereka kena buat apa yang dilakukan sekarang. Ia pergi melabur, carigali, pergi Myanmar, pergi Vietnam. Sebahagian keuntungan yang didapati oleh Petronas sekarang ini sejak diperoleh daripada zaman pelaburan di Vietnam lagi.
Sekarang kita ke Myanmar, Algeria dan negera-negara yang rakyat pun tidak tahu ia pergi dan negeri itu bukan senang nak pergi. Setengahnya Amerika dengan Britain pun tidak sanggup nak pergi ke sana. Sebab apa?
Untuk menjamin bekalan antarabangsa kita yang berterusan apabila kita tiada minyak nanti. Takkan kita nak bagitahu: Petronas jangan pergi ke sana, jangan melabur di sana.
Segala-galanya yang ada sekarang ini kita gunakan keuntungan itu untuk mensubsidikan supaya rakyat dapat harga murah sentiasa, kita rasa itu tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik dan tidak nasionalistik sifatnya dan kita rasa ini masanya rakyat beritahu kepada Petronas.
Tolong Petronas demi masa depan anak cucu kami pergilah cari kemana sahaja, gunalah keuntungan untuk dapatkan bekalan minyak demi masa depan anak cucu kita.
Jadi saya bimbang orang akan mengatakan mereka yang mengatakan segala-gala keuntungan Petronas untuk keuntungan sekarang ini untuk memastikan harga minyak kita terus murah, mengekalkan sistem subsidi lama yang sebahagiannya bukan sahaja untuk rakyat, orang Singapura datang pun dapat, orang Thailand datang pun dapat, orang Indonesia datang dapat.
Pelabur yang buka kilang-kilang mereka di sini pun dapat. Saya rasa itu adalah satu pendekatan yang tidak patriotik, tidak bersifat nasionalistik yang kita rasa bahaya bagi masa depan anak cucu kita.
S: Satu penerangan yang baik tentang Petronas tetapi belumpun selesai soal Petronas, dibangkitkan pula soal Tenaga Nasional Bhd. Walaupun keuntungan TNB mencecah angka bilion tetapi dengan tiba-tiba dalam keadaan sekarang ini pula, mereka juga membuat keputusan untuk menaikkan tarif elektrik pula. Kali ini sekali lagi rakyat dikejutkan, sekali lagi rakyat menjadi sasaran, jadi apa pandangan Datuk dalam hal ini?
J: Saya rasa kita kena faham, TNB juga keuntungan mereka smakin merosot dan penstrukturan kembali ini tidak menjejaskan pengguna yang kecil. Yang kena ialah pengguna yang besar.
Pengguna yang besar ini ialah orang kaya, orang yang pakai empat-lima biji aircond di rumahnya ataupun kilang-kilang. Kira-kira 60 peratus penduduk negara ini tidak terjejas dengan kenaikan tarif yang baru dan menarik juga kerajaan sekarang ini merasakan antara bebanan yang terpaksa dipikul oleh pengguna ialah kerana TNB terpaksa membayar jumlah yang banyak kepada IPP dan IPP sekali lagi mendapat subsidi daripada Petronas.
Gas yang digunakan untuk menjana janakuasa elektrik swasta yang bebas. Yang ada seperti di Paka. Dibiayai oleh subsidi pada Petronas gasnya. Ini dibuat atas perjanjian yang dibuat sebelum ini.
Saya tidak tahulah sebab apa sebelum itu mereka yang berkenaan membuat perjanjian begitu. Sukar untuk kita hentikan perjanjian itu kerana ia melibatkan soal undang-undang dan sebagainya tetapi sekarang ini kerajaan sudah menunjukkan satu sikap yang agak keras kepada mereka. IPP mestilah. Setelah kamu mendapat keuntungan yang besar, inilah masanya kamu menunjukkan tanggungjawab sosial kamu.
Sepatutnya mereka sendiri menawarkan diri. Tak apalah, jangan disubsidikan pada kami tetapi sekarang kerajaan mengenakan levi 30 peratus keuntungan yang berlebihan yang ditentukan kepada mereka.
Sekarang ini, kerajaan berhadapan dengan satu lagi front, tadi rakyat mungkin marah. Sekarang IPP. IPP ialah syarikat-syarikat yang banyak mendapat keuntungan daripada perjanjian lama mereka dan sekarang ini kerajaan berhadapan dengan mereka supaya mereka mengambil tanggungjawab sosial, memulangkan kembali sebahagian daripada keuntungan besar mereka pada kerajaan supaya kerajaan dapat mengagihkan pada rakyat supaya wang itu dapat menampung kesusahan rakyat dan sebagainya sebab itulah kita rasakan bahawa kerajaan perlu dilihat kuat dalam berhadapan dengan kumpulan atau organisasi begini. Untuk kuat kita perlu sokongan rakyat.
S: Kalau kita lihat keputusan pilihan raya baru-baru ini, seolah-olah seperti ada semacam rasa tidak puas hati di kalangan rakyat dan apabila kerajaan pula mengambil langkah tidak popular dengan menaikan harga minyak. Ia seolah-olah kerajaan membuka ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk mengkritik kerajaan dan barangkali parti-parti pembangkang juga menggunakan isu ini untuk mengekploitasi fikiran rakyat.
J: Kalau kita lihat sejarah politik negara kita, sebenarnya kelemahan politik tidak pernah dilihat sebagai menimbulkan krisis ekonomi tetapi krisis ekonomi dunia menyebabkan masalah politik.
Itu berlaku dan menurut pandangan orang ekonomi bahawa kita ini adalah cycle atau naik turun dari segi ekonomi.
Ada yang berkata berlaku dalam 10 tahun atau 12 tahun sekali. Sekarang 2008. Yang lepas 1997 di mana mata wang kita diserang dengan teruknya. Sama seperti sekarang ialah minyak.
Tiba-tiba terasa pinjaman yang membebankan dan menyebabkan kesan kepada ekonomi. Itu sepuluh tahun dulu.
Tahun 1987, ada kesan kepada Umno di mana berlaku krisis ekonomi dan politik. Ramai yang marah kepada Ummo. Waktu Terengganu, Kelantan dan kalah. Sekarang orang merasakan masalah kenaikan harga minyak.
Dan harga barang. Rakyat marah. Dan cuba menyampaikan signal tidak puas hati melalui pilihan raya. Sebenarnya masalah politik bukan daripada ekonomi.
Tetapi saya percaya pemulihan dapat dilakukan seperti yang kita buat dulu. Pengalaman kita di bawah kerajaan BN, mereka tahu mencari mekanisme untuk memulihkan masalah ini.
Sekarang inilah dengan cara menstrukturkan subsidi. Dan akhirnya ekonomi baik dan keyakinan rakyat akan menstabilkan politik. Di Britain misalnya, minyak dijual dengan harga pasaran dan rakyatnya tahu untuk menyesuaikan diri.
S: Bagaimana memulihkan keyakinan rakyat?
J: Tentang soal memulihkan keyakinan bahawa kerajaan tahu apa yang dialakukan. Kita berani berdepan dengan sesiapa sahaja untuk membincangkan perkara ini. Kita tidak menyembunyikan perkara-perkara yang disebutkan tadi dan mungkin.
Rakyat semua saya yakin, keseluruhannya atau majoriti rakyat memahami perkara ini. Mungkin ada beberapa pihak yang mengambil kesempatan bila orang dalam kesempitan orang ambil kesempatan.
Kesempatan daripada kesempitan dan itu bersifat oportunistik. Oportunis akan ada di mana-mana mengambil kesempatan.
Tapi sudah tentulah perkara ini perlu ditangani dan ia mememerlukan penerangan yang secara menyeluruh dan rasional.
Saya percaya rakyat sebenarnya rasional apabila mendengar penerangan dan penerangan ini mesti di pelbagaikan seperti melalui media elektronik, media cetak, media alternatif seperti blog dan internet dan sebagainya.
Dan yang paling penting ialah perjumpaan terus dengan rakyat di kalangan kepemimpinan rakyat, dan NGO.
Kita mahu juga supaya badan-badan yang terlibat seperti Petronas dan kementerian-kementerian berkenaan turun ke bawah.
Mungkin ada beberapa langkah yang tidak sempurna, ada kelemahan dan perlu diperbaiki dan kita hendak mendengar pandangan orang ramai bagaimana hendak memperbaiki.
Yang pentingnya sekarang kita mesti meminta rakyat faham bahawa masalah yang kita tangani bukan masalah kita sahaja dan ini adalah masalah global.
Dan kita kena tengoklah macam mana demonstrasi Indonesia, India dan di mana-mana sahaja tetapi ini tidak bermakna kita kena berdemonstrasi.
Semua pihak kena bersifat nationalistik. Misalnya, hari ini, sedikit pengumuman dari apa yang disampaikan oleh Perdana Menteri kelmarin pasal segi penjimatan kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri.
Kalau terpaksa potong lebih lagi saya sebagai menteri bersedia tetapi dalam masa yang sama rakyat juga mesti berkorban. Saya masih ingat di Korea apabila mata wang diserang, penyangak mata wang atau money speculators di peringkat luar sana menjual wang Korea supaya mata wangnya jatuh.
Jadi kerajaan boleh membeli mata wang ini menggunakan dolar, tetapi ia bergantung kepada berapa banyak dolar yang ada.
Tetapi bila dolar dah habis, dan tak ada mata wang nak membeli untuk membeli mata wang won yang dijual tadi, tetapi ia seru kepada rakyat "kita guna emas dan berapa banyak emas yang kita ada."
Pada waktu itu rakyat berduyun-duyun keluar ke kaunter kerajaan ambil gelang, rantai, cincin untuk ditimbang emas tersebut dan digunakan untuk membeli mata wang mereka dan kerajaan mengambilnya sebagai pinjaman.
Mereka tidak mahu jadikan mata wang negara mereka yang sedang diserang, mati begitu sahaja. Itu adalah tanggungjawab rakyat.
Saya harap mungkin semangat yang sama sekarang itu kita dapat hidupkan di kalangan rakyat bahawa sebenarnya kita diserang.
Ada orang kata bahawa sebenarnya kerana minyak kurang, permintaan tinggi, tetapi ada kata belum, tentu tetapi ada permainan lain. Misalnya.. akan sampai ke manakah kenaikan harga minyak ini terbukti..apakah punca sebenar selain daripada punca yang disebutkan tadi.
Jadi dalam menghadapi persiapan tersebut, pertama perlu rakyat sabar dan mencari alternatif lain.
Di Jepun, mereka tidak membazirkan tanah, di mana setiap inci tanah mereka di tanam dengan apa yang patut ditanam. Saya pernah pergi di Korea, misalnya di kawasan kubur lama orang tanam.
Selagi kita terpaksa bergantung kepada barangan import punca makanan daripada luar ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara.
Inilah semangat nasionalisme, yang kami dalam jawatankuasa penerangan ini dapat menyebarkan fikiran begini untuk kita berubah untuk cara pengendalian ekonomi kita.
S: Kita perlu dididik semula untuk kembali sedar bagaimana untuk berjimat cermat.
J: Jawatankuasa ini bertindak mengambil kira semua pihak, tindakan ini kita akan membentukkan tabiat..daripada action itu menjadi habit..tindakan untuk merubah pembentukkan budaya tidak membazir, budaya lebih jimat dan budaya sayangkan kepada negara, budaya tidak mengambil kesempatan daripada kesempitan, semua ini adalah merupakan satu perkara yang memerlukan tindakan bersama dan satu proses yang mungkin memakan masa.
Dan saya percaya kalau kita melihat sejarah Malaysia yang telah berjaya menghadapi krisis dan pada kali ini juga kita mengatasi krisis yang kita hadapi sekarang dan saya percaya kita akan dapat atasinya.
S:Apakah pesanan Datuk kepada rakyat.
J: Pada rakyat sekalian saya mesti mengakui bagi pihak rakan-rakan saya di sini bahawa kita bukanlah orang yang kerana kelemahan kita tetapi kita sentiasa memikirkan jalan yang terbaik untuk memperbaiki kelemahan.
Yang pentingnya kita sayang kepada seluruh rakyat jangan hancurkan negara yang telah kita bina sampai sekarang apatah lagi diberikan kepada orang yang tidak terlibat dalam pembinaan negara yang tercinta ini.
Sebab itulah kita kena pelihara negara kita ini dan kita minta rakyat lebih sabar dan tenang di samping memberi sokongan apa jua cara dan kaedah bagi mengatasi masalah yang ada. Saya fikir kita terbuka mendengar pandangan rakyat semua termasuk badan korporat dan NGO apakah cara yang terbaik dan sudah tentu kita fikirkan yang penting adalah masa depan.
Kalau rakyat semua memikirkan hari ini lebih penting daripada masa depan daripada anak cucu mereka, kita akan dituduh oleh generasi yang tidak bertanggungjawab. Banyak kerajaan hancur kerana perbuatan kita dan rakyat sendiri tidak menerima hakikat, kita hancur masa depan."
Dan inilah kita hendak ajar supaya kita kena sayang anak cucu kita, kalaulah melangkah hanya sekadar untuk hidup mewah dan tidak bersedia berjimat cermat, dan tidak bersedia untuk menerima pengstruturan subsidi sehingga kita katakan bahawa biarlah wang kita setiap bulan billion ringgit keluar negara begitu saja kerana sistem subsidi yang lama, saya fikir itu perkara itu mestilah renung kembali.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment