PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Kerajaan tidak melihat kewajaran untuk menubuhkan satu lagi suruhanjaya diraja bagi menyiasat kenyataan seorang hakim mahkamah tinggi terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kehakiman, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata ini kerana kerajaan telah membuat keputusan untuk mewujudkan pembaharuan dalam badan kehakiman.
"Pada saya, kita telah buat keputusan untuk nak mewujudkan `reform' (pembaharuan) dalam judiciary (badan kehakiman). Saya tidak nampak apakah kewajarannya untuk mengadakan satu lagi suruhanjaya diraja," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Sibu Datuk Ian HC Chin, semasa mendengar pertikaian berhubung keputusan pada pilihan raya umum Mac lepas di Sarawak, mendedahkan bahawa hakim-hakim dihantar ke pusat indoktrinasi dan diancam dipecat jika tidak membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan semasa pentadbiran Dr Mahathir.
Ketika membuat pendedahan mengejutkan di mahkamah terbuka itu, Hakim Chin juga mendedahkan bahawa beliau diancam oleh Dr Mahathir berhubung satu kes berprofil tinggi supaya membuat keputusan yang memihak kepada kenalan bekas perdana menteri itu.
"Tak payahlah. Tak habis-habis cerita itu," kata Abdullah ketika diminta mengulas kenyataan Hakim Chin itu pada awalnya.
Mengulas mengenai pertemuannya dengan Master Hsing Yun, Presiden Chinese Buddha Light Association yang berpangkalan di Los Angeles, di pejabatnya tengah hari tadi, Abdullah berkata mereka berbincang mengenai isu keamanan dan keselamatan sejagat.
Sikap toleransi dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain yang berlainan agama di kalangan rakyat telah menarik minat Master Hsing untuk datang ke Malaysia, kata Abdullah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment