Sunday, June 15, 2008

UBAH SIKAP DALAM KEPAYAHAN

TIDAK dinafikan kehidupan pada era harga minyak dunia yang melambung sememangnya memeritkan. Namun kita masih mempunyai pilihan sama ada untuk bergerak ke arah perubahan ataupun sebaliknya. Apa yang jelas, segala-galanya tidak lagi semudah seperti mana sebelumnya.

Barang keperluan bertambah mahal dan keperitan menanggung kos sara hidup yang tinggi mulai menyelinap, semuanya gara-gara permintaan yang tinggi terhadap komoditi emas hitam di pasaran dunia dan kegilaan para spekulator mengejar untung segera ketika dunia terus berdebat untuk mencari punca yang sebenar kenaikan.

Sememangnya tiada siapa pun sukakan perubahan yang berlaku secara mendadak setelah bertahun-tahun menikmati keselesaan tetapi kita terpaksa beralih juga daripada kehidupan yang 'menyenangkan' kepada kepayahan kerana perkara itu adalah lumrah dalam alam ini.

Dan, keperitan yang dirasakan ini, dikhuatiri hanyalah merupakan satu permulaan terutamanya ketika terdapat ramalan bahawa minyak mentah dunia akan meningkat ke paras AS$150-AS$200 setong dalam jangka terdekat.

Harga minyak telahpun melonjak mencapai paras tertinggi baru kepada AS$139 setong pada minggu lalu berbanding AS$55 setong tiga tahun lalu.

Pakar strategis tenaga firma terkemuka dunia Goldman Sach, Argun Murti yang sebelum ini berjaya meramalkan dengan tepat bahawa harga minyak akan melepasi AS$100 setong, mengunjurkan harga minyak mentah boleh melonjak sehingga AS$200 setong kurang daripada enam bulan lagi hingga 24 bulan.

Tidak sukar untuk dibayangkan keperitan yang bakal ditanggung sekiranya harga minyak mentah mencapai paras itu kerana pada masa ini, ramai di antara kita telah merasai bahangnya. Dan, ternyata keadaan yang ada tidak sama sekali menyenangkan.

Sekiranya benar apa yang diramalkan berlaku, harga petrol dan diesel yang kini dijual pada harga RM2.70 dan RM2.58 seliter berdasarkan harga minyak di pasaran dunia sebanyak AS$125 setong, bakal berada pada paras lebih tinggi dan kerajaan mungkin tidak mampu lagi untuk memberikan sebarang subsidi biarpun sebanyak 30 sen seperti mana sekarang.

Sehubungan itu, tindakan kerajaan mengumumkan bahawa harga minyak petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini merupakan satu langkah besar dan menyukarkan jika dilihat pada unjuran bahawa kemelut harga minyak mentah dunia belum selesai.

Cabaran yang besar dan berat dalam menangani isu kenaikan harga minyak diakui oleh Menteri kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: ''Apa yang berlaku adalah di luar kawalan'. Kerajaan tidak mampu untuk menentukan apa yang boleh dan akan berlaku kerana segala-galanya dipengaruhi faktor luaran.

KepentinganNamun begitu, tindakan demi tindakan diambil untuk faedah rakyat yang mana melebihi kepentingan untuk mencari populariti politik. Bersandar hakikat itu, kerajaan, terpaksa membuat perubahan iaitu melakukan tindakan yang sukar dan tidak disukai rakyat dengan mengurangkan subsidi minyak, sehingga menyaksikan harga bahan api di pam stesen minyak meningkat sebanyak 78 sen berbanding sebelumnya. Pada masa yang sama, kerajaan juga mengumumkan kenaikan tarif elektrik termasuk 18 peratus untuk rumah kediaman.

Kita harus memahami bahawa peningkatan harga minyak dunia bermakna lebih banyak wang kerajaan terpaksa dibelanjakan untuk menanggung subsidi dan sekali gus bakal mengurangkan kantung kewangan negara. Ia juga mengundang risiko bahawa bajet defisit yang diunjurkan sebanyak 3.2 peratus pada tahun ini, boleh meningkat.

Kegagalan menaikkan subsidi minyak akan menyebabkan ekonomi negara terjejas kerana kerajaan tidak lagi mempunyai dana untuk dibelanjakan bagi menguruskan negara ini apatah lagi peruntukan untuk mengadakan pembangunan yang boleh memberikan keselesaan kepada rakyat.

Begitu juga nasibnya dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), syarikat utiliti tempatan yang diamanahkan untuk menghidupkan setiap lampu di rumah-rumah kediaman dan menjana tenaga sektor ekonomi seluruh negara. Peningkatan tarif yang diumumkan itu sebenarnya belum dapat menyelesaikan masalah kewangan dihadapi akibat kenaikan harga minyak dunia yang menjadikan kos untuk menjana tenaga elektrik menjadi lebih mahal.

Sudah pastinya kita tidak bersedia untuk tinggal di rumah yang bergelap atau sering kali terganggu bekalannya apabila syarikat itu di sebalik diuar-uarkan untung berbilion- bilion ringgit sebenarnya masih menanggung kos operasi yang jauh lebih tinggi kerana bahan mentahnya diperoleh dari luar. Malah, secekap manapun syarikat itu diuruskan, faktor luaran selain harga minyak dunia masih lagi mempengaruhi perjalanan operasi, sekali gus menurunkan aliran pergerakan graf keuntungannya.

Kita tidak boleh mengharapkan dana daripada Petronas, syarikat minyak negara, untuk menanggung subsidi sepenuhnya kerana segala-galanya mempunyai hadnya, lagipun Malaysia akan menjadi pengimport bersih minyak kerana menjelang 2014 jumlah penggunaan dijangka akan mengatasi bekalan. Ini bermakna minyak luar terpaksa dibeli pada harga yang mahal untuk kegunaan rakyat tempatan.

Selain itu, syarikat minyak negara juga berdepan dengan peningkatan kos yang tinggi di luar kawalan dan juga ketiadaan lagi telaga-telaga minyak yang besar untuk diterokai tetapi sebaliknya telaga yang kecil dan jauh ke dalam perut bumi yang mana hasil dan kos untuk mencari gali jauh tidak menguntungkan. Pada tahun ini, Petronas telah menyumbang RM55.7 bilion untuk Kerajaan Persekutuan dan RM6.2 bilion untuk kerajaan negeri.

Sehubungan itu, kita harus menerima hakikat bahawa Petronas tidak boleh menyerahkan semua hasil kewangan kepada kerajaan tetapi menggunakan sebahagian untuk membeli syarikat minyak asing dan juga menerokai telaga minyak baru di luar negara secara usaha sama supaya hasil minyak negara meningkat dan digunakan untuk membangunkan negara.

Segala sumber syarikat minyak negara tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya atau dibelanja untuk sesuka hati.

Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengambil kira kepentingan generasi dalam setiap tindakannya. Sememangnya tidaklah bertanggungjawab sekiranya kerajaan menyebut segala hasil minyak untuk kepentingan rakyat yang ada sekarang dan membiarkan generasi dan juga kerajaan yang ada kemudiannya merana akibat ketiadaan sumber kewangan.

MundurMungkin patut kita bertanya pada diri sendiri sama ada kita sanggup melihat anak cucu kita merasai atau menanggung keperitan yang jauh lebih besar dan negara menyaksikan pembangunannya jauh lebih mundur.

Malah, tidak dinafikan Malaysia yang sepanjang kemerdekaannya tidak pernah meminta bantuan kewangan luar untuk memulihkan ekonomi, mungkin terpaksa berbuat demikian sekiranya kerajaan meneruskan pemberian subsidi hanya untuk menjaga hati dan kekal popular.

Sehubungan itu, kita tidak boleh menangani isu yang ada di hadapan kita dengan hanya melihat kepada penyelesaian jangka pendek. Ini sekali gus bermakna kita perlu bersama-sama memberikan sokongan ke arah menjayakan apa yang dilakukan untuk mengharungi keperitan yang ada.

Ekonomi negara tidak akan sentiasa berkembang pesat tetapi apa yang pasti tanpa pengurangan subsidi minyak dan tanpa melakukan apa-apa tindakan, kadar defisit bajet akan meningkat jauh lebih tinggi melepasi paras enam peratus yang dicapai pada krisis kewangan 1997/98. Perkembangan ini tidak baik untuk negara kerana sekiranya berlaku kemelesetan ekonomi dunia, Malaysia akan terjerumus sama dan menyukarkan dirinya untuk kembali pulih.

Seperti mana kata Nor Mohamed sebelum ini, langkah kerajaan mengurangkan kadar defisit bertujuan membolehkan negara mempunyai keanjalan dalam menangani masalah kewangan ketika berada dalam krisis terutamanya dunia kini dilihat berada di ambang kemelesetan berikutan krisis subprima yang berlanjutan dan juga krisis makanan serta bahan api yang tiada penghujungnya.

Biar apa pendapat yang kita ada mungkin sepatutnya kita mempunyai prasangka baik bahawa apa yang dilakukan kerajaan bukanlah bertujuan menyusahkan rakyat, ini jelas apabila keperluan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana masih diambil kira. Mungkin apa yang tidak menyenangkan rakyat adalah cara pelaksanaan atau masalah kenaikan minyak ditangani.

Niat baik kerajaan itu dapat dilihat apabila subsidi masih lagi diberikan untuk dinikmati rakyat negara ini. Contohnya, kerajaan memberikan rebat tunai sebanyak RM625 kepada pemilik kenderaan persendirian di bawah 2,000cc yang berjumlah RM5 bilion kesemuanya bukanlah satu jumlah yang kecil selain meningkatkan jumlah subsidi untuk makanan.

Sebenarnya kerajaan boleh bertindak menaikkan harga minyak sesuka hati tanpa mempedulikan perasaan rakyat tetapi parti pemerintah menyedari tentang keperitan yang ada dan mengharapkan tindakannya difahami dan disokong. Tindakan yang diambil bukanlah sesuatu yang mudah, tanpa sokongan rakyat baik apa juga kaum atau parti politik yang disertai, kerajaan boleh tumbang dan negara boleh menjadi papa kedana seperti mana di sesetengah negara dunia.

Kebangkitan anti kerajaan kini dapat kita lihat di sesetengah negara seperti Indonesia dan juga India berikutan tindakan pemerintahnya mengurangkan subsidi minyak yang dinikmati sekian lama dan kemelut seumpama itu dilihat tidak akan mempunyai kesudahan selagi harga minyak mentah dunia melonjak tinggi. Kegagalan untuk menerima perubahan yang berlaku boleh menyebabkan kemajuan negara boleh berakhir dengan kemusnahan.

Sehubungan itu, perubahan sikap perlu dilakukan semua orang dalam menyesuaikan diri kepada sebarang perkembangan yang ada dalam memastikan negara ini akan tetap teguh berdiri supaya kemakmuran terus dinikmati oleh anak dan cucu cicit kita seperti mana cogan kata 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'.

No comments: