Oleh RAMLI ABDUL HALIM,
(Kota Bharu, Kelantan)
PEMBEKAL gas asli terbesar Eropah, Gazprom menjangka harga pasaran minyak mentah akan naik dua kali ganda sehingga RM815 (AS$250) setong dalam tempoh dua tahun lagi yang mana kenaikan itu diramal akan mengakibatkan peningkatan gas asli di pasaran.
Oleh kerana ramalan kenaikan harga pasaran minyak mentah itu adalah di pasaran antarabangsa, maka mahu tidak mahu ia akan turut membabitkan negara kita.
Mahu tidak mahu dalam tempoh dua tahun akan datang, malah kemungkinan untuk tempoh masa yang lebih singkat daripada itu, negara akan terus mengalami kenaikan harga minyak yang bukan hanya ditanggung oleh kerajaan tetapi juga rakyat.
Ertinya sama ada dalam keadaan rela atau terpaksa, hakikat kenaikan harga minyak kena diterima dan tidak boleh ditolak dengan kenaikan harga barangan, termasuk harga makanan.
Justeru sebarang perbalahan, perbezaan pendapat, apatah lagi tuding-menuding antara satu pihak dengan satu pihak yang lain, termasuk di kalangan pemain dan pengamal politik tidak mampu mengatasi masalah, sebaliknya akan menimbulkan rasa cemas dan mencelarukan pemikiran rakyat terbanyak.
Negara dan rakyat akan lebih mendapat faedah sekiranya semua pihak, sama ada pembangkang, badan budan kerajaan dan syarikat-syarikat perniagaan bersama-sama mengambil tanggungjawab membantu kerajaan mencari formula dan membuat persediaan supaya rakyat dan negara tidak hidup dalam keadaan terlalu terbeban dan tertekan gara-gara kenaikan harga minyak.
Manakala pihak kerajaan pula kena mengelak daripada sebarang rasa sombong dan bongkak dalam menerima teguran, cadangan, pelan, rangka dan kerangka daripada pelbagai pihak, termasuk pembangkang tentang tatacara untuk memastikan rakyat dan negara serta kerajaan sendiri tidak terlalu tertekan dan terbeban angkara minyak.
Kalaulah pemotongan elaun dirasakan antara langkah yang boleh membantu ke arah mengurangkan bebanan dan tekanan, janganlah pemotongan elaun hanya terhad kepada anggota Kabinet atau wakil-wakil rakyat kerajaan sahaja, ia perlu merangkumi sama pemotongan elaun wakil rakyat pembangkang dan pegawai-pegawai kanan kerajaan juga.
Kerajaan kena sedar, pembangkang juga kena sedar, malah semua pihak kena sedar bahawa kerajaan tidak mampu menghadapi masalah kenaikan minyak secara bersendirian, kerajaan perlu dibantu, diberi komitmen, bukannya diberi tekanan dengan macam-macam kerenah. Dakwaan dan tohmahan terutama oleh pihak pembangkang yang mana hakikatnya menjadi pembangkang jauh lebih mudah daripada menjadi kerajaan.
Tidak salah kalau dalam keadaan sekarang, pihak kerajaan dan pembangkang bersepakat mencari formula dalam menyusun pelan, membina rangka dan kerangka mengurangkan bebanan rakyat dan negara ekoran melambungnya harga minyak. Jika pihak kerajaan dan pembangkang boleh duduk semeja, NGO dan pelbagai pihak pasti akan segera ikut serta.
Percayalah, berselisih pendapatan, tuding-menuding dan tohmah-menohmah tidak akan mampu selesaikan masalah, sebaliknya akan menambahkan lagi masalah yang sedia ada yang akhirnya rakyat yang akan tanggung bebannya. Sama ada parti kerajaan mahu pun pembangkang, matlamat tetap sama: mahu kesejahteraan rakyat dan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment