Monday, June 23, 2008

WANITA ISLAM KELANTAN DILARANG PAKAI GINCU

KOTA BHARU: Larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi yang tidak mengeluarkan bunyi antara arahan yang ditetapkan kepada pemegang lesen dan pekerja di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Shafie Ismail berkata arahan itu bagi mengelak berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain menjaga maruah serta peribadi muslimah di negeri ini.

Katanya wanita muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat seperti gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang mengeluarkan bunyi.

Sekiranya hendak memakai kasut bertumit tinggi, tumitnya haruslah diperbuat daripada getah, katanya menerusi pekeliling yang dikeluarkan kepada wanita beragama Islam yang bekerja mengendalikan premis makanan dan bukan makanan di dalam kawasan MPKB-BRI.

Bagaimanapun Shafie tidak dapat dihubungi Bernama untuk mendapatkan penjelasan terperinci berkenaan larangan pemakaian gincu itu.

Selain itu, beliau berkata antara etika lain yang perlu dipatuhi ialah memakai tudung yang labuh, tidak jarang dan menutup dada, memakai baju berlengan panjang sehingga ke pergelangan tangan, memakai baju labuh dan longgar serta memakai sarung kaki.

Shafie berkata kegagalan mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan itu akan dikenakan kompaun sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) 1986 dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun tidak lebih RM500. - Bernama

No comments: