Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
dan Oleh JAMDI NASIR (UTUSAN MALAYSIA)
KOTA KINABALU 31 Mei – Tiada lagi subsidi akan diberikan kepada diesel dan petrol yang dijual di negara ini apabila satu mekanisme baru diperkenalkan oleh kerajaan Ogos ini bagi menangani beban kewangan kerajaan yang semakin meningkat.
Sebaliknya subsidi itu akan diberikan terus kepada pengguna yang layak apabila mereka mengisi bahan api itu di stesen-stesen minyak di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, melalui mekanisme itu subsidi diubah daripada di peringkat pengeluaran sekarang ini ke peringkat jualan.
“Jadi minyak yang dibekalkan dan dibawa dari depot ke stesen-stesen minyak bukan minyak yang bersubsidi.
“Maknanya harga minyak di pam ialah harga tanpa subsidi. Apabila pengguna beli baru dia dapat subsidi. Itupun kalau dia layak terima subsidi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi taklimat program dan aktiviti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah (KPDNHEP) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini hari ini.
Ketika ini kerajaan membayar subsidi minyak kira-kira RM45 bilion setahun dan angka itu akan terus meningkat ekoran peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia.
Melalui mekanisme itu kata Shahrir, hanya pengguna yang layak sahaja akan diberikan subsidi ketika membeli minyak.
Bagaimanapun katanya, kriteria dan kaedah pemberian subsidi secara terus itu masih belum boleh diumumkan.
Sebelum ini, Shahrir berkata, diesel subsidi kemungkinan besar tidak lagi dijual di stesen minyak apabila penstrukturan semula subsidi bahan bakar negara dilaksanakan tidak lama lagi.
Langkah tersebut merupakan salah satu kaedah untuk memastikan golongan yang berhak sahaja menikmati subsidi diesel.
Menurut Shahrir, mekanisme baru itu juga secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah penyelewengan minyak bersubsidi.
“Sekarang minyak yang dibawa dari depot ke stesen minyak telah disubsidi,” katanya.
Akibatnya, kata beliau, jika lori tangki yang membawa minyak itu diseleweng sudah pasti ia menguntungkan pihak terbabit.
Dengan itu, katanya, mekanisme baru itu pasti dapat mengatasi masalah penyelewengan tersebut kerana subsidi hanya diberi ketika pengguna yang layak membeli bahan bakar terbabit.
Turut hadir pada sesi taklimat program dan aktiviti KPDNHEP Sabah itu ialah Pengarah KPDNHEP Sabah, Jaafar Walad; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Rakyat merasakan kenaikan harga minyak kali ini yang tertinggi dalam sejarah malaysia. Kepimpinan Pak Lah banyak membawa perubahan besar seperti kemenangan besar dalam PRU11 dan kekalahan besar dalam PRU12 serta terkini kenaikan harga terbesar dalam sejarah harga minyak malaysia. Walau apa pun itu lah takdir dan dugaan pemerintahan dibawah beliau. Bersabar lah kan sabar itu indah.
Post a Comment