SANDAKAN, 22 Jun (Bernama) -- Parti Maju Sabah (SAPP) bersedia menghadapi apa juga tindakan berikutan keputusan dewan tertinggi parti itu menyokong cadangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"SAPP bersedia dengan apa juga tindakan dari sesiapa, sama ada dari atas, bawah, kiri dan kanan," kata presiden parti itu Datuk Yong Teck Lee di sini Ahad.
Beliau, yang ditemui pemberita selepas mengadakan taklimat khas kepada Ketua Enam Zon SAPP di sini, berkata sekiranya SAPP disingkirkan dari Barisan Nasional (BN) maka kuasa mendesak bagi parti komponen dari Sabah akan meningkat.
Menurutnya jika SAPP disingkirkan dari BN, masih ada lagi wakil parti komponen BN Sabah dalam gabungan itu.
Namun, beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, jangan pula parti komponen BN di Sabah menganggap ia sebagai peluang mereka untuk merebut jawatan yang dikosongkan oleh parti itu terutama dalam kabinet negeri.
Jika ini berlaku memang menyedihkan kerana apa yang penting adalah mereka perlu menggunakan peluang itu bagi menuntut isu-isu untuk Sabah, katanya.Jumaat lepas, dewan tertinggi SAPP sebulat suara menyokong cadangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdulah, yang juga Pengerusi BN.
Dalam pada itu, taklimat khas yang diadakan di Pejabat Dewan Undangan Negeri Elopura turut dihadiri wakil rakyatnya Au Kam Wah yang juga Ketua Pergerakan Pemuda SAPP.
Difahamkan Timbalan Presiden SAPP yang juga wakil rakyat Tanjung Papat Datuk Raymond Tan Shu Kiah tidak hadir pada taklimat itu kerana berada di Kota Kinabalu.Au dan Tan adalah antara pemimpin SAPP yang menentang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dikemukakan oleh Yong itu.
Yong berkata dalam taklimat itu beliau turut menyentuh kedudukan SAPP dalam BN dan akibat yang mungkin berlaku berikutan tindakan parti itu.
"Saya ingin memberikan gambaran jelas dan mereka menyatakan sokongan kepada keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan SAPP itu," katanya sambil menambah latar belakang politik, isu-isu Sabah, kenaikan harga minyak turut diperjelaskan dalam taklimat itu.
Taklimat itu dihadiri ketua-ketua cawangan SAPP di Zon Elopura, Tanjung Papat, Karamunting, Sungai Sibuga, Sekong dan Gum-Gum.
Sunday, June 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Ini baru berani....
Post a Comment