Ramai yang masih terkejut dan belum dapat menyesuaikan diri dengan kesan kenaikan harga bahan api.
Bagi mengurangkan beban ini, kerajaan memperkenalkan empat langkah khusus berkuat kuasa serta-merta untuk meringankan beban rakyat selain mengurangkan perbelanjaan awam sehingga RM2 bilion setahun.
Sesungguhnya semua orang, baik pihak kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, swasta hingga individu perlu berjimat cermat. Ini kaedah paling tepat dilaksanakan oleh semua pihak dalam menghadapi beban kenaikan harga minyak, barangan serta perkhidmatan.
Kita perlu terima hakikat, keadaan sekarang bukan seperti semasa nikmat pembangunan negara dikecapi hasil daripada suasana harga minyak yang rendah.
Kedudukan harga minyak yang rendah mampu merancakkan aktiviti ekonomi. Malangnya pada masa itu kita telah mengamalkan pembaziran dan gaya hidup yang tidak mencerminkan kedudukan sebenar harga minyak. Kos minyak kian mahal, jadi gaya hidup ini perlu diubah mengikut keadaan.
Kita sedar adalah amat perit untuk kebanyakan rakyat menghadapi peningkatan perbelanjaan akibat kenaikan harga minyak sekarang ditambah pengurangan subsidi.
Sebagai rakyat, kita harus memahami situasi yang sedang dihadapi oleh negara. Kita perlu bijak berjimat dalam penggunaan sumber bahan api itu supaya tidak berlaku pembaziran.
Dalam suasana dunia yang tidak menentu kini, semua pihak harus saling memahami dan bantu- membantu dalam menstabilkan ekonomi negara.
Kita perlu jelas bahawa kenaikan harga minyak di pasaran runcit bukanlah disebabkan oleh kerajaan sengaja menaikan harga minyak. Kenaikan harga minyak itu disebabkan kenaikan harga minyak di pasaran dunia.
Harga runcit naik kali ini disebabkan kerajaan tidak lagi berupaya untuk memberi subsidi bagi mengekalkan harga.
Dalam keadaan susah dan terhimpit dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kita sebagai rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab untuk sama-sama memikul sedikit beban tanpa meletakkan sepenuhnya kepada kerajaan.
Di samping itu, kita amat menyokong jika langkah-langkah kerajaan memberikan subsidi untuk mengurangkan kos hidup rakyat dengan menampung subsidi harga barangan dan perkhidmatan penting yang menjadi keperluan hidup kita. Tetapi bukan memberi subsidi untuk menampung gaya hidup kita.
Oleh itu, kakitangan kerajaan dan swasta serta individu rakyat perlu berjimat dalam mengurangkan perbelanjaan seperti mengurangkan kekerapan menelefon atau SMS, menjimatkan penggunaan elektrik di rumah atau berkongsi kenderaan.
Barangakali ada yang berkata mudah cakap daripada melakukannya. Namun berjimat cermat adalah antara langkah untuk menentukan kos hidup dan gaya hidup kita. Sebenarnya kita tidak boleh mengawal harga minyak tetapi kita mampu mengawal gaya hidup dan kos hidup.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment