Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN)
EMPAT langkah untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi kesan kenaikan harga minyak berkuat kuasa serta-merta telah pun diumumkan oleh kerajaan kelmarin.
Sememangnya kesemua langkah itu ter- masuk pengurangan perbelanjaan awam sehingga RM2 bilion setahun itu tidak akan menampakkan kesan segera.
Namun dari segi jangka panjang, usaha-usaha tersebut diberi jaminan oleh kerajaan akan dapat membantu rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana ekonomi yang agak murung.
Empat langkah itu ialah pengurangan perbelanjaan kerajaan, mempercepatkan bayaran tunai kepada pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan, kuota kemudahan kad fleet yang lebih tinggi untuk pengusaha pengangkutan dan menambah baik jaringan jaminan sosial.
Langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan antara lain termasuk memotong elaun keraian menteri Kabinet sebanyak 10 peratus, membekukan jawatan baru dalam perkhidmatan awam dan menangguhkan pembelian aset seperti kereta dan kelengkapan pejabat.
Begitu juga dengan penggunaan kemudahan hotel yang kini hanya dihadkan untuk persidangan antarabangsa ma- nakala semua kursus, latihan dan bengkel anjuran kementerian untuk anggotanya menggunakan kemudahan sedia ada.
Jika diimbas sekali lalu kelihatan ada pihak yang akan menanggung kerugian ekoran pelaksanaan langkah tersebut, begitu juga akan ada gangguan terhadap perancangan yang telah dimuktamadkan sebelum ini.
Misalnya, jadual program untuk kursus, latihan dan bengkel semestinya telah dirancang sejak awal tahun dan pelbagai tempahan telah dibuat seperti dewan, hotel waima cendera hati sekali pun.
Begitu juga dengan perancangan pengubahsuaian pejabat sedia ada yang tidak lagi dibenarkan berkemungkinan besar menjejaskan persetujuan yang telah ditandatangani sebelum ini untuk membolehkan kerja-kerja seperti itu dilakukan.
Namun semestinya kerajaan ketika memikirkan langkah tersebut tidak mahu mana-mana pihak menanggung kerugian dalam setiap keputusan yang dilaksanakan.
Justeru selain pengumuman langkah- langkah yang dilihat dapat membantu meringankan beban rakyat, penjelasan lebih terperinci mesti dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan.
Ini termasuk sama ada kesemua arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu meliputi hanya kontrak-kontrak serta perancangan baru yang belum dimuktamadkan lagi.
Atau adakah ia juga mengambil kira perancangan yang telah dipersetujui sebelum ini, misalnya program tahunan yang telah menetapkan kursus atau persidangan diadakan di hotel-hotel serta perbincangan mengenainya telah pun dijalankan.
Sesungguhnya rakyat berterima kasih di atas semua langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan namun setiap keputusan yang dibuat mestilah diperjelaskan supaya tidak timbul kekeliruan di kemudian hari.
HarapanSetiap mekanisme mesti jelas, terang dan adil untuk semua pihak kerana dalam setiap sektor yang terlibat ada rakyat di dalamnya yang menggantung harapan untuk mengisi perut masing-masing.
Jangan juga ada ruang untuk mana- mana pihak mempersoalkan niat murni kerajaan membantu meringankan beban rakyat hanya semata-mata kerana kurangnya penjelasan di pihak yang berkenaan.
Perlu juga diperjelaskan bagaimana langkah-langkah khusus itu dan pengurangan perbelanjaan awam sehingga RM2 bilion benar-benar dapat disalurkan kepada rakyat.
Ini kerana apa yang rakyat nampak daripada pengumuman kelmarin seolah- olah tiada hubung kait dengan usaha mengurangkan beban yang sedang mereka tanggung sekarang ini.
Jika pun bayaran rebat boleh ditunaikan 16 hari lebih awal, apakah kesannya terhadap harga barang yang semakin me- ningkat serta desakan pelbagai pihak untuk menaikkan kos perkhidmatan masing-masing.
Hubung kait itu yang mesti diperjelaskan kerana setiap langkah yang diputuskan oleh kerajaan semestinya mencakupi kepentingan semua pihak namun kekaburan akan menimbulkan rasa tidak puas hati.
Yang ditunggu-tunggu oleh rakyat terutama golongan pendapatan rendah ia- lah pengumuman yang boleh dimanfaatkan secara terus oleh mereka.
Pengumuman yang dilihat mampu me- redakan kenaikan harga barangan keperluan secara melampau serta meningkatkan kecekapan pengangkutan awam yang sememangnya sinonim dengan golongan berpendapatan rendah.
Begitu juga dengan pengumuman yang boleh meringankan beban kumpulan miskin termasuk ibu tunggal misalnya yang bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Hakikatnya amalan berjimat cermat di semua peringkat bermula dari rakyat bawahan hinggalah ke pemimpin tertinggi mesti menjadi amalan sepanjang masa.
Bukan hanya kerana harga minyak melambung maka langkah berhati-hati mesti dilaksanakan sebaliknya segala amalan yang sarat dengan pembaziran mesti dikeluarkan terus daripada diari jabatan-jabatan kerajaan selama-lamanya.
Hentikan acara sambutan gilang-gemilang yang dilimpahi makanan seolah- olah menggambarkan rakyat Malaysia hidup untuk makan dan bukannya makan untuk hidup.
Yang paling penting ialah penjimatan sebanyak berbilion ringgit ekoran pelaksanaan langkah-langkah tersebut diharap dapat segera disalurkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah.
Ini kerana jika matlamat asal langkah- langkah itu dilaksanakan secara drastik adalah untuk meringankan beban rakyat maka kesannya mesti diserlahkan.
Jika di sebalik pengumuman demi pengumuman masih timbul kesukaran untuk membendung kenaikan harga barang, masih ada lagi peniaga yang sewenang-wenangnya menyanggah larangan kerajaan maka ada sesuatu yang perlu diperbetulkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment