Oleh: Tulip Desa
Kemelut politik yang melanda negara masih terus hangat tanpa ada tanda-tanda akan reda. Pembentukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Negeri Perak masih lagi dipertikaikan dan dipersoalkan kesahannya. Pelbagai reaksi yang diberikan oleh rakyat berhubung isu tersebut, ada yang bernada positif dan tidak kurang juga negatif. Stigma kebencian yang tertanam di fikiran pembangkang dan penyokongnya menyebabkan kenyataan-kenyataan yang menyatakan BN perampas, tidak bermoral dan menggunakan pintu belakang mengambil Kerajaan Perak menambahkan lagi kekeliruan dan kebencian rakyat kepada Kerajaan.
Kebangkitan rakyat Perak yang tidak menyokong tindakan Kerajaan berpunca daripada kurang pemahaman tentang perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Kesannya, mereka menerima bulat-bulat apa yang disogokkan oleh pembangkang yang ternyata cuba memprovokasikan isu tersebut untuk membangkitkan kemarahan rakyat. Kemelut politik di Perak memerlukan pemahaman dan penerimaan semua pihak yang terbabit, terutama rakyat negeri Perak. Rakyat Perak perlu memahami dan menerima hakikat bahawa Sultan Perak telah menjalankan tugas dan fungsi perundangan dengan sempurna dalam melantik MB baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir pada 6 Februari 2009.
Negara Malaysia ditadbir di bawah sistem "Demokrasi Berparlimen Dan Raja Berpelembagaan". Melalui sistem tersebut rakyat dan Raja mempunyai hak dan kuasa masing-masing dalam menentu dan membentuk Kerajaan negeri dan persekutuan.
Dalam konteks Negeri Perak, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak memberi kuasa mutlak kepada Sultan sebagai penentu kuasa pemerintahan negeri Perak. Mengikut Perkara 7 undang-undang, tersebut, Sultan memerintah mengikut undang-undang dan dikehendaki berlaku adil terhadap semua rakyat. Dalam melaksanakan pemerintahan, Sultan hendaklah melantik seorang Menteri Besar seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 12. Sultan mempunyai kuasa mutlak menentukan siapa yang akan menerajui pucuk kepimpinan pemerintahan negerinya.
Ini bermakna, pelantikan Menteri Besar Perak akan ditentukan oleh Sultan. Perundangan mengenai pelantikan MB Perak diperuntukkan dalam Perkara 16(2)(a) dan perkara 18(2)(a) dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Berdasarkan perundangan tersebut, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan Barisan Nasional telah dilantik sebagai Menteri Besar baru pada 6 Februari 2009 apabila Sultan yakin MB dari Pakatan Campuran tidak lagi mendapat sokongan majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak.
Peralihan kuasa dari Pakatan Campuran kepada Barisan Nasional pada 6 Februari di negeri Perak bukan semestinya dilakukan melalui proses pilihan raya atau pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi ia juga boleh ditentukan oleh kuasa yang ada pada Sultan Perak mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Dalam membuat keputusan untuk melantik seorang MB dan Kerajaan negeri baru, Paduka Seri Sultan Perak telah menggunakan dua kaedah utama iaitu suara majoriti ahli Dewan Undangan Negeri dan pertimbangan raja pemerintah. Dengan itu jelas, bahawa undi tidak percaya di lantai dalam DUN bukanlah satu-satunya kaedah untuk menentukan pembentukan Kerajaan atau peralihan kuasa di negeri Perak.
Undang-Undang Tubuh Negeri Perak ini telah digarap dengan teliti sebagai panduan dan rujukan. Malangnya, ada segelintir pihak yang memanipulasi dan tidak menyatakan kebenarannya kepada rakyat. Natijahnya, rakyat menjadi hilang punca dan terkapai-kapai untuk mengetahui kebenaran yang sebenar. Tulip mengharapkan Orang Melayu Perak jangan terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang berniat untuk memporak perandakan Orang Melayu supaya berpecah. Ingatlah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
No comments:
Post a Comment