Thursday, March 19, 2009

PPSMI: Hanya pakar sains dan metematik layak memberi pandangan

Dipetik dari KLpos

SEJAK akhir-akhir ini isu pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan di seluruh pelusuk negara. Selepas beberapa tahun ianya diperkenalkan hanya baru-baru ini timbul satu gerakan besar-besaran meminta kerajaan menghapuskan perlaksanaan dasar ini. Mungkin perasaan ketidakpuasan hati mereka sudah meluap-luap agaknya.

Apa-apa pun saya lebih suka melihat isu ini di luar konteks politik. Cuba kita lupakan sejenak siapa dan parti mana yang mengilhamkan dasar ini bagi mengelakkan bias dan bagi mendapatkan satu jawapan atau keputusan terbaik untuk masa depan generasi masa depan kita.

Sains dan matematik adalah ilmu asas yang perlu ada bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang sains dan teknologi. Bidang sains dan teknologi pula adalah satu bidang yang terpenting di dunia pada masa kini. Bidang yang perlu dikuasai oleh setiap negara.

Penguasaan sains dan teknologi dapat menjadikan sesebuah negara itu menjadi berkembang dan maju. Sains dan teknologi juga amat penting untuk penyelesaian masalah-masalah dunia seperti dalam pencarian sumber tenaga baru dan juga pencarian vaksin pencegah wabak.

Saya sebagai salah seoarang yang berkecimpung dalam bidang sains dan teknologi ini merasakan perlunya mata pelajaran sains dan matematik diajar dan dipelajari dalam bahasa Inggeris.Saya dan mereka yang seangkatan dengan saya sudah merasai perit jerih untuk mengadaptasi pembelajaran dalam bahasa Inggeris di universiti sesudah mengenal sains dan matematik dalam bahasa Melayu di peringkat sekolah.

Sehingga tingkatan lima, dengan mudah saya memperolehi bacaan-bacaan dalam bahasa Melayu, tetapi apabila pergi ke alam universiti, semua rujukannya berbahasa Inggeris.Tuhan saja yang tahu betapa kekok dan susahnya mengalami proses perubahan yang mengejut itu. Kalau boleh, saya tidak mahu melihat generasi masa depan mengalami nasib yang sama seperti mana yang saya alami.

Mengapa kita perlu PPSMI? Sains dan teknologi adalah cabang ilmu yang bergerak begitu pantas. Hampir setiap hari ada penemuan baru.

Penemuan-penemuan ini biasanya diistilahkan dalam bahasa Inggeris dan istilah tersebut amat mungkin tiada lagi tafsirannya dalam bahasa kita. Saintis-saintis kita kemudiannya akan mencari istilah sesuai untuk penemuan tersebut.

Ini sudah pasti mengambil masa. Dalam pada kita mencari istilah tersebut, orang lain sudah menjumpai penemuan yang lebih kehadapan. Kita masih mencari istilah yang sesuai. Selama-lamanya kita akan terkebelakang dalam hal ini.

Kita perlu akui bahawa untuk menguasai sesuatu cabang ilmu itu perlukan penguasaan yang tingi dalam bahasa ilmu itu. Sebagai contoh, untuk mendalami ilmu agama ke peringkat yang tinggi, kita memerlukan mereka yang boleh menguasai bahasa arab dengan baik.

Ini kerana banyak kitab-kitab ditulis dalam bahasa Arab. Begitu juga dengan sains dan teknologi. Hakikat yang perlu diakui adalah bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu bagi sains dan teknologi pada masa kini.

Saintis-saintis negara lain sebenarnya menerima hakikat atas perkara ini. Bahasa inggeris diakui sebagai medium komunikasi saintis-saintis dunia. Saintis-saintis dari negara China dan Jepun juga sekarang ini berlumba-lumba mengusai bahasa inggeris.

Di zaman kegemilangan empayar Islam, memang benar dikatakan bahasa ilmu ketika itu adalah bahasa arab. Bangsa-bangsa lain sudah pasti harus mempelajari bahasa arab untuk menerokai ilmu tersebut. Walaubagaimanapun, masa telah berubah. Bahasa ilmu bertukar dari zaman ke zaman. Sekarang ini bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu untuk sains dan teknologi.

Tidak mustahil suatu hari nanti jika seseorang yang ingin mendalami ilmu pengajian Islam perlu menguasai bahasa Inggeris di samping bahasa Arab dengan mantap kerana semakin banyak rujukan dalam bidang ini ditulis dalam bahasa Inggeris.

Ada mereka di luar sana berpendapat, kalau nak mahirkan bahasa Inggeris tidak semestinya belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kita boleh tambah masa pembelajaran untuk mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Bagi saya, mereka ini tidak faham hujung dan pangkal.

Suka saya tekankan, English for communication, Business English, English for Science and Technology dan banyak lagi English itu perlukan skil-skil yang berbeza. Kalau boleh bertutur bahasa Inggeris dengan baik belum tentu dapat memahami artikel-artikel dalam bidang sains dan teknologi.

Saya sudah acap kali bertemu bangsa Inggeris yang menanyakan tentang bidang yang saya ceburi. Bila saya memberi penjelasan, mereka akan kata: Can you please explain in simple English? Its too technical!

Kalau bangsa Inggeris sendiri tidak dapat memahami istilah-istilah sains dan teknlogi, apatah lagi kita yang menggunakan bahasa Melayu?

Sudah tentu caca marba jadinya kalau setiap satu hendak diterjemahkan. Di bawah ini saya sertakan contoh bahasa Inggeris yang digunakan dalam bidang saya.:

Catalytic oxidative dehydrogenation of light alkanes
Non-reducible complex metal oxide
Catalytic partial oxidation in a circulating fluidized-bed reactor
Irreducible mass-transport limitations
Flash-pyrolysis in a cyclone reactor

Saya akui saya tak mampu menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu yang boleh difahami. Ini hanya sebagai contoh. Banyak lagi istilah-istilah dalam bidang lain. Sains dan teknologi itu sendiri sangat luas.

Untuk memudahkan penterjemahan akhirnya dimelayukan saja istilah-istilah inggeris tersebut. Maka jadilah seperti perkataan-perkataan reformasi, dekadensi,informasi, farmasi, universiti, sosiologi dan banyak lagi. Mengapa tidak digunakan saja bahasa Inggeris kalau begitu?

Di sini saya ingin menekankan bahawa perlunya istilah-istilah sains dan matematik dalam bahasa inggeris didedahkan kepada anak-anak kita dari kecil.

Supaya nanti bila ke universirti tidak menjadi terkejut seperti mana yang saya alami. Akan hilangkah kemelayuan kita kalau belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris?

Saya rasa tidak mungkin sama sekali. Saintis-saintis berketurunan Cina atau Jepun di universiti-universiti terkemuka dunia masih tebal kecinaan dan kejepunan mereka walau mereka sudah mampu berbahasa inggeris lebih baik baik dari orang Inggeris sendiri.

Tiada cacat tiada celanya kecinaan dan kejepunan mereka. Saya boleh berkata begini kerana penyelia PhD saya dan rakan-rakan saya adalah berbangsa China.

Mereka sendiri akui perlunya menguasai bahasa Inggeris untuk menjadi saintis dan teknologis yang hebat. Mengapa kita tidak boleh menerima hakikat ini?

Ada seorang penulis blog kata bangsa Iran tak belajar dalam bahasa Inggeris pun boleh buat roket dan vaksin.

Saya rasa penulis ini terlalu banyak bersastera sampai terlupa akan hakikatnya bahawa ramai pelajar-pelajar dari Iran sedang menuntut di Universiti-universiti dalam negara kita dan lain-lain negara. Saya juga ada rakan dari Iran.

Dia sendiri akui susah nak belajar dalam bahasa Inggeris sebab dulu di Iran dia tak pernah guna bahasa Inggeris. Bagi yang lebih bijak akan menunjukkan hasil-hasil kajian bahawa kononnya PPSMI gagal.

Murid-murid tidak mampu mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan mereka. Bunyinya semacam fakta-fakta ini cukup bijak dan sukar untuk ditangkis oleh mereka yang Pro-PPSMI. Mereka ini juga sebenarnya terlupa bahawa kajian ini dilakukan ke atas kanak-kanak sekolah.

Tujuan PPSMI bukanlah untuk meningkatkan keputusan UPSR kanak-kanak sekolah. Tujuannya amat jauh ke hadapan. Untuk meningkatkan penguasaan sains dan teknologi kita di masa akan datang.

Kajian-kajian ini tidak patut dijadikan rujukan. Sains dan matematik itu sendiri memang agak susah berbanding dengan mata pelajaran lain waima digunapakai bahasa Melayu sekalipun.
Kalau pengkaji menemubual kanak-kanak sekolah, sudah tentu mereka akan kata susah. Saya hairan dengan cara orang kita berfikir.

Terlalu pentingkan keputusan yang baik dalam peperiksaan di sekolah. Sebanarnya peperiksaan di sekolah itu tidak menjamin apa-apa pun masa depan anak-anak kita di masa depan.

Dah banyak saya saksikan pelajar cemerlang di peringkat sekolah tidak mampu menjadi pelajar cemerlang di universiti. Peringkat sekolah adalah lebih kepada peringkat latihan dan persediaan.Kita patut gembira kalau semua pelajar dapat C dalam matapelajaran Sains di sekolah. Ini menujukkan adanya ruang untuk proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak itu.

Sepatutnya kita patut merasa risau kalau semua pelajar dapat A dalam subjek mereka. Ini menunjukkan silibus itu terlalu mudah dan tiadanya ruang mereka untuk menambahbaik. Kita patut berani belajar dari kegagalan.

Salah satu prinsip Leonardo da Vinci juga adalah belajar dari kegagalan. Lebih baik kanak-kanak ini merasa susah diperingkat awal dari bersusah di kemudian hari.

Sekiranya kajian ingin dilakukan ke atas keberkesanan PPSMI, saya cadangkan jangan jadikan pencapaian kanak-kanak sekolah sebagai satu parameter kajian. Sebaliknya tunggu mereka ini masuk universiti dan bergelumang dalam bidang sains dan teknologi di peringkat yang lebih tinggi.

Kalau dilihat balik, banyak yang menentang dasar PPSMI ini datangnya dari bukan yang berlatar belakangkan sains dan teknologi. Rata-rata adalah orang Arts.

Ini masalah sains dan teknologi!!!. Biarlah orang dalam bidang ini yang memberi pendapat. Perlu atau tidak perlunya sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Biarlah orang sains dan teknologi bertegang urat untuk mencari jawapan dalam masalah ini. Mereka lebih tahu dalam perkara ini.

Bagi mereka yang ingin memperjuangkan bahasa dan bangsa melayu, saya rasa banyak lagi yang boleh diperjuangkan. Mengapa tidak diperjuangkan penghapusan musik, filem dan program-program TV berbahasa Inggeris.

Kalau nak dibandingkan dengan PPSMI, musik, filem dan program-program TV Inggeris lebih banyak mudaratnya dan mampu mencemarkan budaya kemelayuan kita.

Kepada orang-orang politik pula, lebih baik duduk diam tunggu apa kata pakar-pakar sains dan teknologi kita.

Pihak pembangkang sudah tentu tak setuju sebab boleh jadi bahan politik mereka. Bagi pihak kerajaan pula, kalau sudah terlalu takut undi hilang, mungkin sanggup buat keputusan yang tak populis. Akhirnya generasi ke hadapan kita yang akan rugi. Sama-sama fikirkanlah…
*Penulis merupakan seorang pembaca KLpos.com yang sedang mengikuti pengajian PhD dalam bidang kejuruteraan kimia di Australia. Tulisan beliau dikirim melalui email untuk disiarkan dalam ruangan Minda Pembaca KLpos.com.

****************************************************************************************************************************************
Putri Malaysia
Putri amat tetarik dengan apa yang ditulis oleh penulis ini. Pandangan yang amat berbeza daripada seorang yang mengambil jurusan yang relevan rasanya ngan isu PPSMI ni. Tapi pandangan beliau bukan datangnya bermotifkan politik tetapi neutral. Jadi putri kongsikan dengan pembaca blog lain yang melayari wira malaysia..dan lepas tu fikirkanlah....sama ada PPSMI ni relevan atau tidak...

5 comments:

Anonymous said...

Saya juga tidak bersetuju PPSMI di mansuhkan. Yang banyak tak setuju adalah kalangan orang yang terlibat dengan sastera. Golongan ini memang lembab dalam Sains dan Mathematik. Walau Bahasa Melayu sekalipun mereka tidak akan faham. Yang bergelar sasterawan dan ada Phd dlm bidang sastera sibuk memelayukan perkataan Bahasa Inggeris, kononnya nak tunjuk mereka golongan yang bijak. Tolong jangan memperjudikan masa depan anak-anak kami didalam menimba ilmu.

gapodio said...

saya sokong PPSMI

Wira Aeroback said...

buat pe nk bljr utk tau bnde2 kompleks tu kalau yang simple2 term pn budak2 sume xleh nk ingat....janganla musnahkan bngsa lg...sian dh budak2 melayu tertindas selama ni...ngn PPSMI ni bertambah2la bdk2 Melayu jd bodoh sbb xfhm sains ngn math...sudahla tu.....

Anonymous said...

takkan la nak jadikan yang bodoh lagi bodoh,, en wira aoroback sepatutnya yang kena befikir...cakap memamg senang kan.. setiap benda ada risiko...dan hasilnya akan nampak juga. jangan ckp ikut perasaan.berfikirlah secara rasional

Mohamed Idris said...

Teaching science and maths in English can have grave effects on Malaysia. Read my latest blog entry to find out more.

Thanks!