Tuesday, March 10, 2009

Bukit Selambau: 8 calon bebas bertanding ?

SUNGAI PETANI 9 Mac - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau bakal mencatat sejarah tersendiri apabila lapan calon bebas akan bertanding untuk merebut kerusi itu.
Terbaru ialah seorang lagi ahli perniagaan turut menyatakan kesediaan mencuba nasib pada pilihan raya 7 April ini.
Tan Hock Huat, 46, dari Sungai Layar, di sini mengumumkan hasrat bertanding di kerusi itu malam tadi kerana mahu berkhidmat di samping membanteras gejala politik wang.
"Saya fikir sudah tiba masa rakyat Bukit Selambau memerlukan pemimpin yang jujur dan tidak mengamalkan politik kotor.
"Saya yakin saya diterima baik oleh pengundi," katanya yang menjalankan perniagaan berkaitan agensi membekal pekerja asing di sini malam tadi.
Hock Huat mendakwa, maklum balas yang diterima menunjukkan para pengundi Bukit Selambau memerlukan wakil rakyat yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
Kelmarin, seorang ahli perniagaan, M. Venason, 34, menjadi individu ketujuh menawarkan diri bertanding sebagai calon bebas untuk merebut kerusi DUN Bukit Selambau.
Enam lagi individu yang mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon bebas di DUN berkenaan ialah empat ahli perniagaan iaitu R. Loganathan; M. Vincent; T. Chandraraajan dan Datuk Thasleem Mohd. Ibrahim.
Turut menyatakan hasrat bertanding ialah bekas Ketua Wanita Parti Progresif Rakyat (PPP) Kedah, G. Saralah dan pelakon drama Tamil sambilan, M. Kalaimany.
Kerusi DUN Bukit Selambau kosong selepas penyandangnya, V. Arumugam yang bertanding atas tiket bebas sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan.
DUN Bukit Selambau merupakan bekas kubu kuat UMNO dengan menyaksikan bekas wakil rakyatnya, Datuk Badri Yunus berjaya mengekalkan kedudukannya sejak 1986 sebelum diserahkan kepada calon MIC, Datuk V. Saravanan pada 1995.
Berdasarkan komposisi kaum, Melayu merupakan penduduk majoriti di kawasan itu iaitu 51 peratus, diikuti India (27 peratus) dan selebihnya adalah kaum Cina serta masyarakat Siam.

No comments: