KUALA LUMPUR 26 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta ahli- ahli parti itu menanam keazaman ‘untuk berubah’ sambil disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan dalam diri sendiri jika mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai Presiden UMNO, beliau menegaskan, betapa malangnya jika ramai ahli parti itu masih gagal memahami bahawa UMNO itu adalah ahli-ahlinya sendiri dan selagi mereka tidak berubah, UMNO tidak mungkin dapat berubah.‘Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa UMNO wajib melakukan perubahan. ‘‘Apa yang saya ingin dengar adalah suara yang menyatakan ‘aku akan berubah’ lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri.
‘‘Sedarilah, di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika UMNO, jika BN tidak berubah, maka pilihan raya ke-12 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada BN menubuhkan kerajaan.
‘‘Selepas ini, rakyat di luar dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi,’’ tegasnya di Perhimpunan Agung UMNO 2008, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Dalam ucapan kira-kira sejam itu Presiden UMNO turut meminta UMNO melakukan perubahan berani selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal jika tidak mahu menyaksikan hayat parti itu berakhir.
Menurut Abdullah, UMNO kini berada di persimpangan jalan dan laluan yang dipilih nanti akan menentukan sama ada UMNO kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu.
Beliau berkata, ada juga yang masih berpendirian bahawa UMNO tidak perlu melakukan perubahan dan percaya UMNO akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama.
Orde lama itu, kata beliau, ialah dengan menyekat dan menghalang kebebasan warganya daripada menyuarakan kritikan.
Mereka, tegas Abdullah, berpandangan UMNO boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu. ‘‘Masih terdapat di kalangan kita yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga kita menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi bahagia,’’ katanya.
Abdullah bimbang, jika laluan lama dipilih ia bukan sahaja membawa UMNO ke belakang malah akan mempercepatkan berakhirnya talian hayat UMNO. Sehubungan itu, kata beliau, untuk terus relevan, UMNO perlu berusaha mencantumkan kekuatan lama yang telah hilang dengan elemen baru yang perlu diterokai.
Tegasnya, kekuatan lama yang telah hilang adalah semangat asal dan komitmen asal kepada perjuangan bangsa dan perjuangan parti.
Justeru, katanya, setiap ahli UMNO perlu menghidupkan kembali semangat berkorban, semangat dedikasi, semangat kesederhanaan, semangat berkhidmat, semangat kemanusiaan dan mempamerkan integriti yang tinggi lagi dihormati. ‘‘Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul, yang merasakan diri kita sahaja yang pandai. Jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu demikian juga kepada ahli-ahli parti baik yang menyokong kita atau saingan kita,’’ tegas beliau.
Perdana Menteri turut meminta seluruh ahli UMNO mengambil iktibar daripada loceng amaran yang berdering kuat, yang menuntut setiap ahlinya bertanya ‘apa yang tersilap’ atau ‘kenapa dan bagaimana kita tersilap.‘‘Jawapan spontan saya terhadap persoalan tersebut ialah ‘kita telah gagal mengurus kejayaan kita sendiri’.
‘‘Bahawa kita terlalu mabuk dilambung ombak kejayaan. Bahawa kita menjadi leka diulit gurindam kejayaan. Bahawa kita merasakan diri kita sudah menjadi terlalu kuat. Bahawa kita lebih mementingkan kedudukan kita di dalam UMNO daripada memikirkan kedudukan UMNO di kalangan warga dan di dalam negara,’’ tegasnya.
Keadaan sedemikian, kata Abdullah menuntut ahli-ahli UMNO bermuhasabah, melihat ke dalam diri, meninjau kembali sumber kekuatan selama ini selain memeriksa kelemahan dan kesilapan semenjak akhir-akhir ini.
***************************
Tulip Desa
Pak Lah menyeru supaya ahli UMNO bermuhasabah dan melakukan perubahan diri jika mahukan UMNO terus relevan kewujudannya. UMNO perlukan satu orde baru untuk menghadapi tranformasi dan semangat rakyat yang begitu dinamik di samping cabaran globalisasi yang mendatang. UMNO tidak berada di zon selesa untuk terus kekal sebagai parti yang memayungi rakyat berbilang bangsa jika berada di takuk yang lama. Satu perubahan perlu dilakukan dengan menggabungkan kekuatan lama yang telah hilang semangat perjuangannya dengan orde baru yang perlu diterokai.
Kepimpinan baru UMNO yang diterajui oleh Dato' Seri Najib Tun Razak dan barisan kabinet yang bakal dipilihnya nanti menjadi penentu jangkahayat UMNO agar terus relevan dan dapat mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat kepada UMNO. Justeru itu, Tulip mengharapkan semua kepimpinan Barisan Nasional bersama komponennya menyokong sepenuhnya kepimpinan baru negara agar lanskap ekonomi negara dapat kembali seperti sediakala.
No comments:
Post a Comment