Thursday, March 19, 2009

Karpal mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR 17 Mac - Pengerusi DAP, Karpal Singh, 69, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebut kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak pada satu sidang akhbar di pejabatnya, awal bulan lalu.

Karpal atau nama penuhnya, Karpal Singh a/l Ram Singh didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari lalu di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co., No.67, Jalan Pudu Lama, Dang Wangi, di sini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menyebut kata-kata menghasut (transkrip ucapan dilampirkan sebagai LAMPIRAN A kepada pertuduhan itu dan kata-kata menghasut digariskan) pada sidang akhbar tersebut.

Lampiran setebal 10 muka surat itu merupakan transkrip video kenyataan akhbar peguam veteran itu di pejabatnya pada tarikh berkenaan.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat. Mahkamah sesak dengan kehadiran pihak media dan penyokongnya.

Sebelum pertuduhan dibacakan, Karpal yang berkerusi roda akibat kemalangan jalan raya awal 2005 memohon dikecualikan daripada masuk ke kandang tertuduh.
Permohonan itu dibenarkan Mohamad Sekeri setelah tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

Sebelum pengakuan diambil, Karpal telah meminta jurubahasa membacakan kandungan Lampiran A tersebut tetapi belum sampai separuh, Mohamad Sekeri mencadangkan agar kata-kata yang telah digariskan sahaja dibacakan bagi menjimatkan masa.

Karpal bagaimanapun membantah dengan menyatakan seharusnya keseluruhan lampiran itu dibacakan dan permintaan itu dipenuhi oleh pihak mahkamah.

Sebaik sahaja Karpal membuat pengakuan tidak bersalah, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi mengikut peruntukan Seksyen 418A(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau juga menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap pemimpin politik pembangkang itu.
Karpal yang mewakili dirinya sendiri bersama 12 lagi barisan peguam bela tidak membuat sebarang bantahan.

Mohamad Sekeri kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap Karpal.
Menurut hakim itu, tarikh sebutan akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi nanti. (Kes itu tidak dapat dipindahkan hari ini berikutan hakim-hakim Mahkamah Tinggi menghadiri Persidangan Hakim-Hakim Malaysia di Langkawi sehingga esok)
Selain Karpal, dia diwakili oleh empat orang anaknya iaitu Jagdeep Singh Deo, Gobind Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan RamKarpal Singh.

Yang lain ialah peguam Sankaran Nair, S.N. Rayer, Malik Imtiaz Sarwar, M. Kulasegaran, Ramesh Sivakumar, K.A.Ramu, Lim Lip Eng dan M. Manogaran.
Pada prosiding selama hampir sejam itu, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria.
Karpal Singh dibebaskan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas rakan keluarganya, Ng Shin Cheong membayar wang jaminan tersebut.

Turut hadir di mahkamah ialah isterinya, Gurmeet Kaur; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; dan beberapa pemimpin pakatan pembangkang yang lain.
Sumber: Utusan Malaysia (18 Mac 2009)
*********************************
Inilah sifat pemimpin pakatan pembangkang. Tugasnya adalah menghasut, menghasut dan menghasut rakyat dengan memanipulasikan pelbagai isu. Bagi golongan yang mudah terpengaruh, semestinya hasutan Karpal dianggap sesuatu yang sahih dan tepat.
Insaflah wahai penyokong-penyokong parti pembangkang. Jangan perjudikan masa depan anda dan negara kerana memilih mereka yang tidak layak dianggap sebagai pejuang.

1 comment:

Anonymous said...

orang yang dah terang2 amalkan rasuah pn xlayak gak jd pemimpin...orang yang lucutkan sume kuasa raja2 sblm ni pn xlayak gk jd pemimpin....so, sape yang tinggal?
Lu Pikirla Sendiri!!!ahahahahah