Friday, March 13, 2009

Sebulan Menyepi Mohd Osman muncul kembali

Dipetik dari Utusan Malaysia, Jumaat 13 Mac 2009
TAIPING 12 Mac - Setelah menyepikan diri selama hampir sebulan sejak kejatuhan kerajaan Pakatan pembangkang di Perak, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu buat pertama kalinya mencul memberikan penjelasan sebenar.
Beliau yang kini merupakan wakil bebas berkata keputusannya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi kerana kesedaran untuk memastikan nasib agama, bangsa dan negara terus terpelihara.
"Kehadiran" saya hari ini bagi membuktikan bahawa saya tidak pernah lari dari perjuangan. Malahan saya ingin membuktikan perjuangan saya baru saja bermula dengan sebuah kerajaan baru yang saya yakin mempunyai wibawa dan lebih menguntungkan agama, bangsa dan negara menjadi prinsip hidup saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dihadapan kira-kira 500 penduduk di Air Kuning dekat sini, hari ini. Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut Mohd Osman , beliau perlu tampil memberikan penjelasan kerana tidak mahu tindakannya disalah tafsir oleh masyarakat. "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Walaupun ia dilihat sebagai satu keputusan politik tetapi ia melibatkan satu keputusan besar merobohkan sebuah kerajaan yang selama ini saya juga salah seorang penyokongnya utamanya", katanya.
Mohd Osman yang juga bekas Exco kerajaan Negeri pakatan pembangkang turut menjelaskan bahawa sehingga kini, beliau masih ADUN bebas dan belum menyertai mana-mana parti politik.
"Walaupun saya bebas tetapi wajib bagi saya untuk memihak pada sebuah kerajaan dan kerajaan itu adalah kerajaan BN,," katanya. tambahnya lagi beliau bertahan selama 10 tahun bersama PKR kerana yakin parti itu mampu bawa perubahan kepada rakyat.
"Selama 10 tahun juga saya menjadi pengkritik hebat UMNO dan BN tetapi 11 bulan saya menjadi Exco bersama kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS merubah persepsi saya," katanya.

No comments: