KUALA LUMPUR: Umno dan Pas masing-masing menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi mengatasi kemelut politik negara seperti titah Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, baru-baru ini. Sama ada Umno atau pembangkang, mereka sependapat bahawa hanya dengan perbincangan maka masalah yang timbul dapat diatasi segera bagi mengelakkan keadaan kurang stabil daripada berlaku. Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Umno sedia berbincang dengan pihak berkaitan termasuk pembangkang bagi mencari jalan mengatasi kemelut politik hari ini.
Katanya, dalam keadaan negara yang menghadapi pelbagai cabaran ketika ini, maka usaha ke arah mengadakan pertemuan dan perbincangan diharap dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit. “Ini kerana negara perlu ada kekuatan, terutama untuk menghadapi pelbagai cabaran masa kini dan pada masa sama rakyat harus bersatu padu supaya negara tidak menjadi lemah dan hancur,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. Ahad lalu, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah melahirkan rasa dukacita dengan kemelut politik yang berlaku sejak kebelakangan ini sehingga menjejas keharmonian perhubungan kaum di negara ini.
Titah baginda, kemelut yang berlaku itu perlu diselesaikan segera oleh pihak terbabit dengan mengadakan pertemuan bagi membincangkannya. Baginda juga mengingatkan semua pihak supaya mengelak daripada politik yang membangkitkan isu sensitif antara kaum kerana ia akan merosakkan amalan demokrasi negara. Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda, Salahuddin Ayub, berkata Pas secara prinsipnya bersedia mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan semua parti membabitkan Pakatan Rakyat dan Umno serta pihak yang terbabit dengan kemelut politik ketika ini. Katanya, pihaknya sedia duduk semeja dan berbincang dengan pihak yang terbabit bagi mencari punca kepada permasalahan yang berlaku bagi membolehkan ia dapat diatasi segera.
********************************
Tulip Desa
Satu perkembangan yang baik dan menarik. Kemelut politik yang berlarutan akan menyebabkan daya ketahanan negara semakin menurun dan lemah dalam menempuh cabaran globalisasi. Negara perlukan kekuatan dan kestabilan dari segi politik, ekonomi dan perpaduan kaum bagi memastikan negara terus maju bagi melaksanakan agenda Kerajaan dalam RMK9 seterusnya untuk mencapai wawasan 2020.
Tulip merasakan inilah masanya, BN dan parti pembangkang bersemuka dan berbincang dengan mengetepikan fahaman politik masing-masing bagi memikirkan bagaimana untuk mengembalikan suasana politik negara kepada yang lebih baik. Kedua-dua parti ini perlu menunjukkan kematangan politiknya dengan bertoleransi dan bekerjasama untuk mencari punca dan jalan penyelesaiannya. Rakyat marhaen mendoakan rundingan ini berjaya agar dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat terutamanya negara luar bahawa situasi politik Malaysia tidaklah seburuk seperti mana yang mereka gambarkan.
No comments:
Post a Comment