Friday, March 27, 2009

'Pembangkang bukan wali, malaikat'

Dipetik dari UTUSAN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Mudahnya hidup sebagai pembangkang. Bebas berbuat apa sahaja, bebas gunakan lidah secara celupar - kerana ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk dilonggokkan segala kesalahan!

Apa yang mengecewakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ahli UMNO dijadikan 'kotak sampah' untuk dilemparkan segala fitnah yang berpunca daripada perbuatan tidak betul dan salah laku orang lain.

Dalam hal ini, beliau mengakui bukan kesemua ahli UMNO "sejernih air di kolam syurga".
"Saya juga tidak riak untuk mendakwa bahawa setiap ahli UMNO adalah sebersih kain putih dan tidak mempunyai kelemahan.

"Namun ahli UMNO juga bukan kotak sampah untuk dilemparkan segala fitnah yang berpunca daripada perbuatan tidak betul dan salah laku orang lain,'' tegasnya.

Bagaimanapun, Abdullah menegaskan tidak munasabah ahli-ahli dan penyokong parti-parti pembangkang terdiri daripada "orang yang bersih daripada dosa, bebas daripada kesilapan, tidak mungkin kesemua mereka berjiwa wali bersifat malaikat.''

Perdana Menteri melontarkan persoalan tersebut dalam ucapan dasar terakhir sebagai Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu di sini hari ini.

Meskipun kalangan anggota parti pembangkang pun terlibat perbuatan salah moral dan salah laku, Abdullah kesal kerana UMNO dan BN juga yang dijadikan tempat meletak kesalahan atau dipersalahkan, dilabel sebagai punca segala kepincangan dan kekecohan.

Bagi Perdana Menteri, gerakan tersusun pembangkang yang bagaikan mempunyai lesen besar untuk menyerang dan mencalarkan imej UMNO secara berterusan menjadi penyebab parti itu kini menghadapi ujian kredibiliti yang cukup berat.

Beliau turut menempelak watak-watak Melayu tertentu yang mengangkat bola tanggung sehingga memberi ruang untuk orang Melayu dan bumiputera dihina sewenang-wenangnya.

Bagi Abdullah, walau apa pun persepsi dan pendapat pelbagai pihak terhadap UMNO pada hari ini, jasa parti itu sejak ditubuhkan pada 1946 - dalam pelbagai bidang merangkumi agama Islam dan ketamadunan bangsa, politik dan keamanan, sosial dan ekonomi, perlu diiktiraf.

"Bermula dengan slogan 'Hidup Melayu', berpindah kepada 'Merdeka', beralih kepada 'Pembangunan', berkisar kepada 'Perpaduan' melonjak untuk 'Mencapai status negara maju', diperkukuhkan dengan 'Misi Nasional'.

"Begitulah dinamiknya UMNO menyesuaikan perjuangan dengan tuntutan waktu, mengorientasi haluan dengan peredaran masa,'' katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, keistimewaan luar biasa UMNO merintis formula kerjasama antara kaum dengan menubuhkan Perikatan yang kemudian dikembangkan menjadi BN, bahkan cuba ditiru oleh pakatan pembangkang.

Justeru Abdullah mengajak ahli mendalami formula kongsi kuasa yang telah diguna pakai dalam BN dengan jayanya selama ini.

Perdana Menteri memberi amaran permintaan melampau dan tidak munasabah daripada orang bukan Melayu termasuk semangat 'Malaysian-Malaysia' yang dijuarai pembangkang, tidak boleh dibiarkan.

''Keadaan ini jika berlarutan, pastinya akan menghakis semangat kerjasama dan meruntuhkan jambatan perpaduan yang dibina selama 50 tahun lalu,'' tegasnya.
Putri tertarik dengan ucapan yang disampaikan PM ketika itu.Sangat membawa makna untuk sama-sama direnungkan dan difahami..No body's perfect but dont just find others mistake.Look at ur self only then u can speak about others..just an opinion..

No comments: