Tuesday, March 10, 2009

Bajet Mini beri impak besar dalam jangka pendek

Oleh Zainab Mohd Yatimbhbiz@bharian.com.my

Pakej kedua dijangka sedia lebih banyak peruntukan
Insentif BAJET Mini yang akan dibentangkan di Parlimen petang ini, dijangka menumpukan usaha ke arah merangsangkan ekonomi negara termasuk menyediakan inisiatif untuk projek bersaiz kecil, tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka pendek. Bajet dengan anggaran peruntukan antara RM10 bilion hingga RM20 bilion itu juga dijangka menumpukan langkah meminimumkan pemberhentian pekerja khususnya dalam sektor perkilangan, menerusi penyediaan insentif mengurangkan kos melaksanakan perniagaan di kalangan majikan terbabit.
Ketua Penyelidik, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Zulkifli Hamzah, berkata pakej rangsangan kedua itu dijangka menyediakan lebih banyak peruntukan dan insentif dalam usaha kerajaan memastikan negara berupaya berdepan suasana kemelesetan ekonomi semasa. Katanya, inisiatif itu termasuk termasuk melaksanakan projek bersaiz kecil, tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka pendek, selain memastikan rakyat memiliki pekerjaan. Beliau berkata, antara projek berimpak besar termasuk penyelenggaraan infrastruktur dan pembangunan infrastruktur berskala kecil.
"Bagi memastikan rakyat mempunyai pekerjaan pula, kerajaan mungkin memperkenalkan insentif mengurangkan kos melaksanakan perniagaan, selain berkongsi kos yang berkaitan dengan gaji pekerja. "Kerajaan juga akan cuba mengurangkan kos melaksanakan perniagaan dan ini dilakukan bagi memastikan sektor perniagaan tidak memberhentikan pekerja masing-masing," katanya ketika dihubungi semalam. Zulkifli menambah, Persekutuan Majikan Malaysia sendiri mahukan kerajaan mengurangkan tarif elektrik, mengurangkan sumbangan majikan kepada 10 peratus, menghentikan sumbangan kepada Dana Pembangunan Sumber Manusia dan mengurangkan cukai korporat kepada 20 peratus.
Beliau juga yakin kerajaan tidak memberi tumpuan terhadap pemberian insentif pemotongan cukai memandangkan pendekatan ini tidak sesuai diperkenalkan ketika pendapatan dijangka terjejas akibat krisis ekonomi, sebaliknya menyalurkan perbelanjaan terus kepada sasaran. "Kami yakin kerajaan lebih cenderung untuk menyalurkan perbelanjaan terus kepada sasaran. Pemotongan cukai bukan satu pilihan yang menarik kerana perolehan tahun ini juga dijangka menerima tekanan daripada kemelesetan ekonomi," katanya. Ketua Pakar Ekonomi CIMB Research, Lee Heng Guie, juga menjangkakan peruntukan Bajet Mini lebih besar daripada yang dianggarkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha, sebanyak RM10 bilion seperti diumumkan minggu lalu. "Kami yakin bajet mini akan menawarkan lebih banyak manfaat di luar pakej peruntukan, termasuk insentif dan pengurangan kos mengendalikan perniagaan," katanya yang mensasarkan saiz Bajet Mini sekitar RM15 bilion. Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, juga sependapat dengan menganggarkan negara memerlukan antara RM20 bilion hingga RM25 bilion untuk memulihkan negara daripada krisis. "Krisis yang dihadapi amat hebat. Ramai rakyat menjadi mangsa kehilangan pekerjaan. Bagi memulihkannya perbelanjaan yang lebih besar diperlukan dan saya yakin isu penyediaan pekerjaan kepada rakyat akan diberi perhatian lebih besar dalam Bajet Mini," katanya.

No comments: