KUCHING, 9 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan meningkatkan pengeluaran beras dan mencapai tahap sara diri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa melakukan lawatan kerja sehari ke Sarawak esok.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan berkata mekanisme seumpamanya akan melihat kepada keperluan bagi menyediakan petani tempatan dengan galakan dan insentif bagi meneruskan penanaman padi dalam skala yang lebih ekonomi dan bukannya beralih kepada penaman getah dan kelapa sawit yang lebih menguntungkan.
"Saya optimistik bahawa Kerajaan Persekutuan akan menerima dengan baik cadangan kami, dan sebagai galakan kepada para petani bagi penuaian dua kali ganda dan peningkatan hasil menerusi mekanisme berkelompok atau pertanian ladang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi ke-22 Suruhanjaya Asia dan Pasifik bagi Statistik Pertanian (APCAS) di sini, Isnin.
Dalam lawatan berkenaan Perdana Menteri, yang akan diiringi isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, dijadual mengadakan dialog dengan para pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum merasmikan jambatan Sungai Sebuyau di Simunjan.
Abdullah akan melawat Bandar Mutiara Tebedu dan menghadiri majlis pemimpin bertemu rakyat serta menghadiri taklimat di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu.
Dr Chan, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, berkata kira-kira 53,000 hektar tanah diusahakan dengan penanaman padi pada masa ini tetapi terdapat keperluan untuk meningkatkan hasil kepada 10 tan sehektar daripada tiga tan sehektar sekarang bagi mencapai tahap sara diri.
Memandangkan faktor adalah mahal bagi petani mengusahakan penanaman padi secara komersil dengan kos pembukaan tanah baru sahaja menelan belanja antara RM20,000 dan RM30,000 sehektar, beliau berkata Kerajaan Pusat akan menyediakan bantuan dalam bentuk infrastruktur termasuk jalan dan sistem pengairan yang baik.
Terdahulu, beliau berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia disasarkan pada kadar 6.3 peratus pada 2006-2020, dengan penekanan utama diberikan kepada pembangunan sektor pertanian, terutamanya dalam bidang bekalan makanan dan jaminan bekalan makanan.
Beberapa langkah bagi menggiatkan semula sektor ini sebagai enjin pertumbuhan ketiga adalah sejajar dengan Dasar Pertanian Nasional ketiga, yang dirancang bagi tempoh masa 1998-2010, katanya.
Dr Chan berkata usaha juga sedang diambil bagi membangunkan negara sebagai pengeluar barangan halal dan perkhidmatan untuk menggalakkan sektor itu dan meransang lebih banyak pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment