Wednesday, May 14, 2008

PERPADUAN

oleh : Mustika Citra Indah

Sejak mencapai kemerdekaan, pelbagai dasar telah digubal untuk mencapai perpaduan negara demi memastikan proses pembangunan negara berjalan dengan lancar. Perpaduan negara adalah amat penting kerana masyarakat yang bersatu padu merupakan teras kepada kestabilan sosio-politik dan pembangunan berterusan. Oleh sebab itulah kerajaan meletakkan aspek keharmonian kaum dan perpaduan negara sebagai teras dalam setiap dasar pembangunan negara sama ada Dasar Ekonomi Baru (DEB), mahupun Wawasan 2020.

Matlamat Perpaduan Negara adalah untuk memupuk dan meningkatkan semangat patriotik dan kesetiaan kepada negara serta rasa megah dan bangga sebagai rakyat Malaysia. Perpaduan negara tidak akan tercapai sekiranya rakyat tidak sanggup memberikan sokongan yang padu kepada dasar-dasar yang diperkenalkan. Kesanggupan ini akan lahir secara semula jadi. Sekiranya semangat patriotik dan kesetiaan kepada negara dapat dipupuk sedari awal lagi, kebanggaan menjadi rakyat Malaysia dapat disemai di kalangan semua rakyat, perasaan megah ini dengan sendirinya akan menjadikan seseorang itu bangga untuk bergelar rakyat Malaysia.

Polarisasi antara kaum dan sesama kaum, agama dan wilayah merupakan faktor utama yang boleh menggugat perpaduan negara. Perasaan membezakan antara kaum dan sesama kaum dan wilayah akan menimbulkan perasaan curiga dan benci kepada anggota masyarakat dari kaum dan wilayah yang berlainan. Perasaan seperti ini akan menimbulkan ketegangan sesama kaum, agama atau wilayah dan berisiko tinggi dalam mencetuskan konflik dalam masyarakat. Oleh itu, ia perlu dielakkan dan ditangani dengan sebaiknya.

Kepelbagaian kaum, budaya dan agama di negara sememangnya merupakan hakikat dan satu aset yang amat membanggakan. Pengiktarafan dan penerimaan hakikat ini serta persefahaman di antara agama dan keakraban antara tamadun, perlu dijadikan langkah strategik untuk meningkatkan keharmonian antara kaum dan sesama kaum, kebudayaan dan agama.

Walaupun Malaysia telah ditubuhkan sejak tahun 1963, namun masih terdapat jurang perbezaan yang ketara dari segi pembangunan di sesetengah tempat di Sabah dan Sarawak, apabila dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung. Dari segi fizikal, perbezaan ini menampakkan masih terdapat jurang perbezaan yang melibatkan infrastruktur asas seperti sistem perhubungan, kesihatan dan pendidikan. Usaha kerajaan mengatasi jurang perbezaan akan menyumbang ke arah pengukuhan perpaduan negara. Selain itu, terdapat perbezaan persepsi akibat daripada integrasi yang masih berkurangan di antara Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung. Usaha harus dipertingkatkan dalam menggalakkan proses integrasi ini agar perasaan perbezaan wilayah ini tidak akan membantutkan usaha untuk membina sebuah bangsa Malaysia. Integrasi wilayah juga perlu dipertingkatkan sesama negeri di Semenanjung Malaysia. Hanya dengan wujudnya integrasi nasional maka proses pengukuhan perpaduan negara akan dapat dicapai.

Wawasan 2020 telah menggariskan matlamat untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang mencerminkan perpaduan yang wujud di negara ini. Sejak sekian lama proses pemupukan perpaduan negara dilaksanakan melalui beberapa dasar kebangsaan seperti Dasar Pendidikan Negara, Dasar Kebudayaan Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, menyebabkan kita dikenali mengikut takrifan kaum, agama dan wilayah. Justeru, kewujudan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu akan memberi satu nafas baru dalam proses pengukuhan perpaduan negara.

Wawasan 2020 juga telah menggariskan sembilan cabaran yang menjadi sasaran negara demi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Dalam usaha mencapai sasaran-sasaran tersebut, banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Justeru itu, proses pengukuhan perpaduan negara adalah amat penting kerana hanya dengan kewujudan perpaduan, membolehkan segala cabaran Wawasan 2020 dapat ditangani.

Perpaduan negara adalah tonggak kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Hakikat bahawa masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan berasal dari wilayah yang berlainan menjadikan soal perpaduan amat penting dalam menentukan pencapaian matlamat pembangunan negara. Bersandarkan kepada hakikat tersebutlah, maka kerajaan dilihat begitu sensitif dan prihatin dalam merangka strategi dan pendekatan untuk mewujudkan keharmonian antara kaum, agama dan wilayah melalui pemupukan nilai-nilai sejagat yang murni, termasuk hormat-menghormati, toleransi dan saling memahami sesama kaum dan sesama kaum. Pada hari ini, Malaysia mendapat pengiktirafan dunia atas kejayaan mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk. Namun, proses pengukuhan perpaduan negara perlu terus dilaksanakan kerana peredaran masa membawa bersama pelbagai cabaran baru yang boleh menjejaskan perpaduan dan keamanaan negara. (http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=2523)
Kita percaya rakyat negara ini sudah faham dan terima kepentingan perpaduan kaum untuk keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara. Namun begitu, kadangkala kita menganggap perpaduan kaum merupakan suatu keadaan yang wujud dengan sendiri tanpa usaha hingga lupa adanya ancaman terhadapnya.

Kerana itulah kita perlu mengambil perhatian terhadap isu-isu yang boleh membangkitkan sentimen perkauman dan seterusnya mampu menjadi ancaman kepada semangat muhibah serta keharmonian di negara ini. Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh mengutarakan isu-isu penting yang memerlukan pembetulan dan langkah-langkah bagi mengatasinya. Tetapi apa yang penting adalah cara dan sikap dalam menangani sesuatu isu supaya ia tidak berbau perkauman.

Dalam hal ini, kerjasama semua pihak dari pelbagai kaum perlu menjurus kepada memelihara perpaduan dan mengelak diri daripada memburukkan lagi hubungan antara kaum. Janganlah hendaknya kita mempunyai sikap buruk sangka yang begitu menebal hingga apa yang kebetulan dilihat pula sebagai tindakan perkauman.

Begitu juga dengan isu pengubahan nama jalan di Ipoh tidak lama dahulu. Jika perkara itu tidak ditangani dengan jujur, ia boleh menjadi satu lagi sentuhan emosi perkauman. Apa yang kebetulan juga menjadi isu perkauman. Justeru, kita dapat lihat bahawa perpaduan kaum tidak boleh dipandang sebagai keadaan semula jadi. Kita, seluruh rakyat Malaysia harus bersama memelihara dan memupuk perpaduan kaum. Maka dalam hal ini, acara seperti Rumah Terbuka Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Deepavali dan Tahun Baru Cina merupakan peristiwa positif yang dapat turut memupuk perpaduan kaum.

Melihat lebih kurang 100,000 orang pengunjung membanjiri Rumah Terbuka Malaysia, kita merasa optimis bahawa masa depan perpaduan kaum di negara ini adalah cerah dan memberangsangkan. Maka adalah wajar bagi kerajaan untuk meneruskan tradisi rumah terbuka kebangsaan ini. Tradisi ini akan membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia hidup dalam penuh muhibah dan harmoni dengan semangat toleran dan saling hormat-menghormati di antara kaum-kaum yang berbeza.

Namun begitu, acara ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memelihara dan memupuk perpaduan kaum secara menyeluruh. Tetapi di atas segalanya ialah kesedaran dan sikap setiap individu warganegara Malaysia yang insaf bahawa kemakmuran negara amat bergantung kepada keutuhan hubungan antara kaum. Dalam tindakan seharian, semangat perpaduan ini hendaklah kita ambil kira kerana ia menentukan survival negara. (utusan 21 Januari 200_,)

No comments: