Tuesday, May 6, 2008

KARPAL SINGH PERTIKAI PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mempersoalkan kuasa Sultan Perak dalam pentadbiran kerajaan negeri khususnya dalam kes pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury, sebagai satu perbuatan yang mempertikaikan peruntukan perlembagaan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata adalah jelas semua bidang kuasa mencakupi kuasa Raja dan kuasa kerajaan termasuk kerajaan negeri telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru tidak seharusnya wujud sebarang pertikaian oleh mana-mana pihak.

"Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa dalam bidang agama, kuasa raja adalah kuasa mutlak.

"Jadi kuasa atau keputusan yang dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah selaras dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Tidak boleh dipertikaikan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja dan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pertahanan di sini, Selasa.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh kepada media semalam bahawa Sultan Perak tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam keputusan kerajaan negeri, termasuk mengarah Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membatalkan arahan pertukaran dan melantik semula Jamry sebagai Pengarah JAIP.

Karpal Singh mendakwa arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang dan sepatutnya keputusan terdahulu kerajaan negeri mengarahkan pertukaran Jamry dikekalkan.

Mengulas sama ada kenyataan Karpal Singh itu bakal mencetuskan polemik khususnya dalam kalangan mereka yang mempertahankan kuasa Raja di bawah perlembagaan, Najib berkata sudah semestinya ada pihak yang akan marah dengan kenyataan yang mempertikaikan kuasa Sultan.

Ketika ditanya sama ada Karpal Singh yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor telah melanggar Akta Hasutan 1948, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata perkara itu tertakluk kepada tafsiran Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail.

"Keputusan untuk mengkaji perkara berkenaan juga terserah kepada beliau (Peguam Negara), bukan pada kita (kerajaan)," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan mempunyai peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa kepada perbalahan antara kaum atau konflik lain yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negara.

"Kita ada peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk kita mengambil apa-apa tindakan untuk mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa kepada keadaan perbalahan antara kaum dan sebagainya.

"Jadi dalam sebarang isu kita akan memantau perkembangannya, dan sekiranya ada kesan yang boleh menjurus kepada keadaan di mana menggugat ketenteraman awam, maka pada masa itu kerajaan akan ambil tindakan," kata Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata anggota Parlimen, walaupun diberi keistimewaan untuk bercakap mencakupi semua perkara khususnya semasa sidang Parlimen, tetapi ia tidak boleh bercanggah dengan Akta Hasutan.

"Kita terpaksa terima apa-apa peruntukan. Dalam Parlimen pun ada perlindungan yang diberikan oleh perlembagaan namun sesuatu yang bersifat hasutan tidak boleh disebutkan dalam Parlimen, maknanya perlindungan dalam Parlimen ini bukanlah perlindungan yang tidak ada hadnya, bukan `absolute' (mutlak) tapi ada peruntukan yang mesti dipatuhi oleh setiap ahli Parlimen seperti undang-undang hasutan," kata Najib.

Jumaat lepas, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar supaya menarik balik arahan pertukaran terhadap Jamry yang dibuat pada 29 April, selepas Jamry didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

Pertukaran itu dikatakan ada kaitan dengan isu pentadbiran agama, dan usaha kerajaan negeri yang baru, untuk menukar senarai ahli jawatankuasa masjid di seluruh Perak.

Arahan Sultan Perak itu terkandung dalam kenyataan akhbar tiga muka surat yang dikeluarkan atas titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah selepas Mohammad Nizar menghadap baginda di Istana Raja Muda Perak.

Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry sebagai membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak.

No comments: