Tuesday, May 6, 2008

KARPAL BIADAP PERTIKAI SULTAN PERAK

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mentifatkan Pengerusi DAP Karpal Singh sebagai biadap kerana mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung arahan pembatalan pertukaran dan pelantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury.

Beliau berkata tindakan menegur raja secara terbuka bukanlah adat rakyat Malaysia.

"Hanya kerana (parti) dia sudah mula berkuasa di Perak, baru menang dalam pilihan raya umum lepas, dia dah bersikap sombong dan bongkak.

"Kita kerajaan BN (Barisan Nasional) tidak pernah menyuarakan hal seperti itu dan kalau ada kita pergi jumpa, menghadap serta beritahu secara berbahasa. Jadi ini (tindakan Karpal) kita kata kurang bahasa sikitlah," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang membuat perabot, Edu World Services Sdn Bhd, di Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh kepada media semalam bahawa Sultan Perak tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam keputusan kerajaan negeri, termasuk mengarah Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, membatalkan arahan pertukaran dan melantik semula Jamry sebagai Pengarah JAIP.

Karpal Singh mendakwa arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang dan sepatutnya keputusan terdahulu kerajaan negeri mengarahkan pertukaran Jamry dikekalkan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata pemimpin DAP itu mungkin hanya melihat tindakan Sultan Perak itu daripada sudut perundangan, tetapi mengikut amalan biasa, Sultan adalah ketua dalam urusan berkaitan soal agama di setiap negeri.

"Nak katakan Sultan tidak berhak itu tidak tepat dan dalam amalan biasa, bagi jawatan seperti yang disebutkan di Perak itu, adalah baik supaya ketua eksekutif negeri memberitahu atau berunding (dengan Sultan) kerana ini adat dalam kita mentadbir sesebuah negeri.

Mengambil contoh semasa beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Johor selama 10 tahun sebelum ini, Muhyiddin berkata sudah menjadi kebiasaan kerajaan negeri untuk menjalin hubungan baik dengan Sultan dan segala urusan membabitkan hal ehwal negeri akan dimaklumkan kepada pihak istana.

"Kita mesti hormat (institusi diraja). Bukan kita nak berperang dengan sesiapa. Kadang-kadang dia (Karpal) fikir dia sudah 26 tahun di Parlimen dia sudah tahu semua itu, jadi dia tak perlu nak memberi hormat kepada pihak lain termasuk raja.

"Kita BN tak pernah keluarkan perkataan yang menyanggah apa yang disebut oleh raja kita dan itu mesti dihormati. Kalau orang tidak hormat perkara itu, kacau bilaulah negara kita," katanya.

Jumaat lepas Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar supaya menarik balik arahan pertukaran terhadap Jamry yang dibuat pada 29 April, selepas Jamry didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry sebagai membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak.

No comments: