Tuesday, May 13, 2008

INTEGRITI DALAM UMNO

oleh : Citra Adora

Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi mengingatkan ahli UMNO supaya tidak lupa diri sebaliknya terus berusaha memperkukuhkan integriti di semua peringkat agar parti terus relevan. Usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dalam parti amat perlu kerana ia akan memberi kesan kepada pembangunan negara sekali gus membolehkan rakyat merasai nikmatnya.

Ahli UMNO yang memegang jawatan dalam Kerajaan dan sebagainya diingatkan supaya tidak melakukan kesalahan yang boleh diheret ke mahkamah di mana akan mencemarkan imej dan kredibiliti parti di mata rakyat khususnya. Mengenai kekurangan sokongan daripada generasi muda, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO diakui kini berhadapan dengan cabaran kerana kebanyakan golongan muda tidak bersama parti UMNO. Oleh yang demikian kedua-dua sayap ini perlu berusaha lebih gigih bagi menarik sokongan mereka.

Golongan muda yang terdiri daripada kumpulan profesional, pengusaha, cerdik pandai dan eksekutif perlu ditarik ke dalam UMNO bagi membantu usaha menjayakan mandat rakyat dan meningkatkan keupayaan parti. UMNO bukan parti yang memperjuangkan kebajikan kaum Melayu sahaja tetapi memperjuangkan kebajikan semua kaum di Malaysia. UMNO belum pudar dan merupakan penentu untung nasib serta masa depan rakyat Malaysia.
UMNO merupakan tulang belakang kepada parti Barisan Nasional dan sentiasa mengambil kira pandangan semua komponennya dalam memacu negara. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ali Rustam berpandangan bahawa parti akan menjadi lebih kuat sekiranya lebih banyak peluang diberikan kepada golongan muda untuk menyertai parti. Generasi muda perlu menyertai UMNO tanpa apa-apa sekatan kerana mereka mempunyai banyak idea yang boleh disumbang dan diguna pakai.

Perjuangan UMNO masih relevan dulu, kini dan selamanya. Selamat Ulang Tahun UMNO Yang Ke-62.

No comments: