Tuesday, May 13, 2008

PAS DAN PKR DI BAWAH TELUNJUK DAP

oleh : Tulip Desa

Keseluruhan media arus perdana mengulas isu Karpal Singh sehingga mendorong Tulip mencoretkan sedikit pendapat dan pandangan mengenainya. Sekali lagi DAP melalui Karpal Singh dengan angkuh dan biadap mempertikaikan keputusan dan hak Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri itu. DAP seolah-olah tidak berpuas hati apabila acapkali membangkitkan pelbagai isu yang menimbulkan kemarahan orang Melayu sebagai tanda protes apabila hajatnya agar Menteri Besar Perak dilantik dikalangan orang DAP tidak mendapat restu daripada sultan. Baru dua bulan pakatan pembangkang berjaya menakluk lima negeri dan mempunyai suara besar di Parlimen, sudah mula tunjuk belang. Kalau beginilah keadaannya, Tulip percaya dalam tempoh lima tahun lagi akan timbul lebih banyak isu melibatkan hak agama Islam, kedaulatan raja dan keistimewaan orang Melayu akan terus dipertikaikan. Adakah mereka tidak memahami perlembagaan negara atau pura-pura tidak faham?

Sultan mempunyai kuasa penuh terhadap hal ehwal agama Islam negeri dan tiada siapa yang berhak mempertikaikannya. Semua rakyat tidak mengira kaum perlu menghormati Perlembagaan termasuk kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada raja-raja Melayu dalam membuat keputusan berkaitan adat resam Melayu dan agama Islam. Justeru itu, Karpal Singh perlu memahami dan berfikir agar kenyataanya tidak membangkitkan api kemarahan orang Melayu. Pada hemah Tulip, Karpal Singh seharusnya memohon maaf kepada Sultan Perak terhadap keterlanjuran katanya bagi mengelakkan api kemarahan tersebar lebih luas lagi. Sembang-sembang kedai kopi, mendapati ramai pemimpin Melayu dan juga orang Melayu berbincang dan telah menyuarakan perasaan ketidaksenangan, terluka dan marah dengan kenyataan pemimpin DAP itu.

Tetapi yang menjadi hairannya, semua pemimpin PKR dan PAS dikalangan orang Melayu membisu seribu bahasa seolah-olah tidak sedar bahawa hak agama Islam, kedaulatan raja dan keistimewaan orang Melayu telah dihina dan tiada langsung kenyataan daripada pemimpin mereka. Adakah mereka tidak sedar atau menjadi pak turut kepada DAP? Tulip merasakan agak sukar mengharapkan agar PKR memperjuangkan kesuciaan agama Islam dan kuasa raja kerana mereka adalah parti yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan terhadap semua kaum. Hanya parti PAS sahaja dalam Pakatan Rakyat yang diharapkan boleh mengembalikan kesucian agama Islam dan raja perlembagaan serta mengkaji semula kerjasamanya dengan DAP dan PKR sebagai amaran kepada DAP. Sehubungan itu, Tulip menyeru kepada semua orang Islam di Malaysia tanpa mengira ideologi supaya bersatu padu pada pilihan raya umum akan datang bagi menentang pihak yang cuba mengancam dan melemahkan kuasa Islam di negara ini.

No comments: