Tuesday, May 13, 2008

MYANMAR SAMBUT BAIK BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA

Oleh B.Hariharasuthan

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia yang menghulurkan bantuan kemanusiaan bernilai RM500,000 kepada Myanmar bagi mangsa Taufan Nargis, disambut dengan baik dan perasaan terharu oleh kerajaan junta negara itu.

Duta Malaysia ke Myanmar Datuk Mazlan Muhammad berkata dengan bantuan kemanusiaan itu, sekali gus menyangkal laporan media Barat bahawa kerajaan junta negara tersebut enggan menerima bantuan asing.

"Salah seorang pegawai kanan tentera Myanmar menyampaikan penghargaan negara itu kepada Malaysia dengan mengalu-ngalukan usaha kemanusiaan seperti ini.

Beliau memberitahu saya bahawa Malaysia adalah antara negara pertama yang akan memberikan bantuan kemanusiaan di mana bencana alam melanda mana-mana bahagian di dunia," kata Mazlan kepada wartawan Bernama dan RTM di pejabatnya di Yangon semalam. Kedua-dua wartawan itu mengikuti misi bantuan kemanusiaan tersebut.

Misi bantuan itu diketuai Pengarah Bahagian Keselamatan Negara, Negeri Johor di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Abdul Rakib Ahmad. Turut serta dalam misi itu ialah para pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Wisma Putra, Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Bantuan kemanusiaan itu yang mengandungi antara lain selimut, makanan segera, ubat-ubatan, kemeja-T, sarung, biskut, pil penjernihan air dan khemah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon dengan pesat Hercules C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1.30 petang waktu tempatan dan kemudian dimasukkan ke dalam dua trak tentera.

Pada 3 Mei lepas, taufan Nargis yang melanda Myanmar meragut kira-kira 31,938 nyawa dan 29,770 orang masih lagi hilang dan dua juta mangsa hilang tempat tinggal dan berhadapan dengan penyakit serta kebuluran.

Sementara itu, Mazlan juga mengesahkan bahawa tidak ada rakyat Malaysia di Myanmar cedera akibat bencana alam tersebut.

"Semua dalam keadaan baik dan kita telah memberikan bantuan yang diperlukan kepada mereka," kata beliau sambil menambah kebanyakannya adalah pelancong.

Katanya kini keadaan sangat serius yang mula menyelubungi Myanmar sementara bantuan perubatan, makanan dan air bersih adalah berkurangan.

No comments: