Tuesday, May 13, 2008

GUAN ENG JANGAN BERSANDIWARA

PULAU PINANG, 13 Mei (Bernama) -- Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Alam Sekitar Datuk Dr Teng Hock Nan menyifatkan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan isu pelaksanaan projek Penang Global City Centre (PGCC) sebagai satu sandiwara.

Beliau berkata tindakan itu menunjukkan sama ada Lim mempunyai motif politik atau pun jahil tentang tanggungjawab beliau sebagai Ketua Menteri.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu Lim bertanya beberapa soalan pada sidang akhbar baru-baru ini mengenai PGCC. Kalau beliau ingin tahu mengenai perkara itu, beliau boleh minta penjelasan daripada pegawainya tapi kenapa melalui media," katanya kepada pemberita di sini hari Selasa.

Baru-baru ini, Lim sekali lagi meminta Tan Sri Dr Koh Tsu Koon supaya memberi penjelasan tentang pelaksanaan projek PGCC daripada aspek faedah yang diperoleh rakyat.

Teng berkata PGCC belum mendapat sebarang kelulusan dan terpulang kepada kerajaan negeri yang baru untuk membuat keputusan sama ada akan meluluskannya atau tidak.

Projek dijangka menelan belanja RM25 bilion itu dirancang dibina di kawasan seluas 104 hektar di bahagian pulau. Pelan projek itu, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada September tahun lepas, turut mengandungi pembinaan hotel lima bintang, pusat persembahan seni dan pusat konvensyen.

Teng berkata dakwaan kerajaan Pakatan Rakyat itu bahawa kerajaan negeri lepas cuba mengelirukan Perdana Menteri untuk melancarkan projek itu seolah-olah projek itu telah diluluskan, adalah tidak berasas kerana ia merupakan hanya majlis pelancaran pelan PGCC bukannya pelancaran projek itu.

Beliau berkata Perdana Menteri mengetahui bahawa projek itu belum diluluskan dan ia menjadi amalan biasa bagi syarikat swasta untuk mengadakan majlis pelancaran pelan projek yang bakal dilaksanakan.

"Dia (Lim) mahu kita minta maaf kepada Perdana Menteri kerana mengelirukannya (Abdullah) untuk datang dan melancarkan projek itu. Tuduhan itu tidak berasas kerana majlis itu adalah anjuran pihak pemaju, sedangkan kerajaan negeri juga adalah sebagai jemputan pada majlis itu.

"Perdana Menteri tahu projek itu belum mendapat kelulusan kerana dalam ucapannya beliau meminta kerajaan negeri membantu dalam meluluskan projek itu," katanya.

No comments: