Wednesday, May 7, 2008

ISLAM HADHARI DITERIMA SEMUA PIHAK

Oleh Ustadz Abdullah Mat

Ketika ramai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan pada 2002, parti pembangkang masih terus mempertikaikannya kerana apa yang diperjuangkan mereka ditolak.

Perjuangan PAS iaitu Gagasan Negara Islam ditolak bulat-bulat oleh rakan kongsinya iaitu DAP dan pernah seorang pemimpin tertinggi, Karpal Singh menyatakan "langkah mayat saya dulu jika PAS ingin mewujudkan Negara Islam" telah membantutkan usaha mereka itu. Ini kerana semua pihak mengetahui bahawa gagasan itu hanya perjuangan politik parti yang bertopengkan Islam untuk mendapat simpati umat Islam.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini juga, Timbalan Presiden PAS tidak dapat memberi jawapan terhadap penolakan gagasan itu oleh DAP. Dalam ertikata lain, bagaimana mereka mahu berkongsi kuasa jika rakan kongsi sendiri telah menolak bulat-bulat cadangan PAS itu. Ini akan menyukarkan mereka untuk terus bergabung bagi membentuk kerajaan.

Ini berbeza dengan konsep Barisan Nasional di mana parti-parti komponennya menerima pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh UMNO. Pemimpin parti komponen memahami bahawa pendekatan itu bukan untuk orang Islam tetapi sesuai dengan keadaan masyarakat majmuk di negara ini. Ini kerana Islam Hadhari menekankan aspek kehidupan yang lebih sempurna termasuk berbaik-baik dengan semua kaum dan menghormati antara satu sama lain.

Di samping itu, negara-negara Islam yang menganggotai OIC menerima dan menyokong penuh pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan di negara ini. Mereka menyifatkan ia benar-benar bertujuan untuk mengingatkan umat Islam bahawa mereka perlu sentiasa memperbaiki diri, menjaga maruah agama dan bersedia untuk menerima cabaran baru setiap masa. Ini termasuk mempertingkatkan diri dalam bidang teknologi, ilmu pengetahuan, ekonomi dan juga menjaga ketenteraman negara.

No comments: