Tuesday, September 2, 2008

JANGAN KETEPI KEPENTINGAN MELAYU

PENGKALAN HULU 2 Sept. — Badan Perhubungan UMNO Perak meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin supaya tidak mengetepikan kepentingan orang Melayu dan Islam walaupun negeri itu diperintah pembangkang.

Setiausaha Kerjanya Datuk Hasbullah Osman berkata tindakannya meluluskan 400 hektar tanah kepada sembilan sekolah persendirian Cina menjadi tanda tanya apabila kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar dari parti Pas itu gagal melihat kepentingan untuk membantu orang Melayu selepas negeri itu diperintah pembangkang.

Hasbullah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Temenggor dalam Parlimen Gerik berkata Mohamad Nizar perlu memikirkan kepentingan orang Melayu walaupun tindakan meluluskan tanah itu bukan satu kesalahan.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan bubur lambuk kepada masyarakat Islam di Pekan Pengkalan Hulu petang semalam.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin menyatakan kekesalan dengan tindakan kerajaan Perak berhubung perkara itu dan meminta Menteri Besar itu bersikap adil dalam membantu rakyat.

Beliau berkata rakyat akan menuduh kepimpinan negeri terutama Menteri Besar tidak tahu mentadbir negeri dengan hanya membantu satu pihak dan mengabaikan pihak lain. — BERNAMA

No comments: