Oleh Jamhariah Jaafar
SUDAH enam bulan pilihan raya umum berlalu, tetapi permainan politik masih belum berakhir. Hampir setiap hari ada saja isu panas atau laporan kontroversi, disiarkan media massa arus perdana dan digembar-gemburkan oleh penulis blog. Majoriti rakyat sudah bosan dan muak dengan pelbagai kontroversi yang dicetus ahli politik dan berharap Ramadan yang mulia ini dapat mengembalikan suasana tenang dan damai, bebas daripada sebarang kebimbangan yang semakin rancak disemai parti pembangkang.
Umat Islam yang berada di bawah negeri pemerintahan Pakatan Rakyat terkejut apabila ahli politik dibenarkan menyampaikan tazkirah di masjid dan surau pada Ramadan. Tazkirah amat wajar kerana ia mengingatkan umat Islam mengenai keagungan Islam dan fadilat ibadat puasa, namun apabila dikaitkan dengan isu semasa, ia sudah menjadi pentas politik.
Rakyat sebenarnya sudah bosan dengan pelbagai kerenah semua ahli politik yang lebih banyak beretorik daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin, tidak kiralah sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang yang menguasai lima negeri. Semua ini gara-gara keputusan Pilihan Raya Umum 2008 pada Mac lalu, yang menyaksikan negara mengalami perubahan landskap politik yang begitu serius.
Buat kali pertama dalam sejarah, BN tidak memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen, menyebabkan Dewan Rakyat sentiasa 'huru hara' dengan jerit pekik, tuduh menuduh dan kenyataan sinis mereka yang bergelar Ahli Parlimen. Perjuangan yang sepatutnya untuk membela nasib rakyat, sudah menjadi gerakan untuk mempopularkan parti dan diri sendiri, apatah lagi selepas RTM membuat siaran secara langsung setiap hari ketika sidang dewan.
Suasana menjadi semakin gusar apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, hampir saban hari menyemai benih kebimbangan serta perasaan saling tidak mempercayai antara kawan dan lawan, dengan harapannya untuk mengambilalih Kerajaan Persekutuan menjelang 16 September ini. Kemenangan pada pilihan raya kecil di Permatang Pauh membuatkan dia semakin lantang bersuara dan kesannya, hari ini bukan saja rakyat berasa semakin bimbang, malah pelabur asing turut mengawasi perkembangan politik Malaysia dengan serius.
Isu di sini ialah bagaimana gelanggang politik Malaysia boleh bertukar begitu rupa? Daripada sebuah negara membangun yang sedang menuju status negara maju, negara yang pernah mencatat keajaiban selepas keluar daripada kemelesetan ekonomi dengan formula sendiri pada 1998 dan negara paling disegani di rantau ini, berubah menjadi sebuah negara dilanda kemelut demi kemelut politik. Selama ini, rakyat menggeleng kepala melihat beberapa negara jiran sering mengalami suasana panas dan demonstrasi besar-besaran sehingga ada menumbangkan ketua negara. Justeru, ramai berdoa supaya suasana gawat seperti itu tidak akan berlaku di bumi bertuah ini.
Ramai masih teringat beberapa kemelut membawa padah yang terus menjadi luka dan masih meninggalkan bekas kepada sejarah negara. Tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, kemelut dalaman Umno sehingga parti itu dibubar pada 1988 memberi kesan besar kepada proses kemajuan negara dan krisis kewangan serantau 1997/98 yang disusuli dengan krisis politik, sudah pasti tidak ingin diulangi rakyat negara ini.
Kemelut politik sejak pilihan raya lalu sebenarnya hanya berlarutan disebabkan segelintir pemimpin yang lebih mementingkan diri sendiri, daripada menganalisis mengapa rakyat inginkan perubahan sehingga keputusan pilihan raya hampir tidak menyebelahi BN. Tugas rakyat memilih kerajaan sama ada pada peringkat Persekutuan mahu negeri sudah selesai. Kemelut yang berlaku hari ini adalah disebabkan pemimpin politik yang tidak berpuas hati dengan pemilihan dibuat rakyat.
Usaha Anwar untuk menarik Ahli Parlimen BN melompat ke dalam Pakatan Rakyat tidak akan berhasil sekiranya setiap Ahli Parlimen yang dipilih rakyat atas tiket parti masing-masing, sedar akan tanggungjawab utama mereka
iaitu untuk membela nasib rakyat. Tidak kiralah sama ada Ahli Parlimen Sabah, Sarawak atau Semenanjung, harapan rakyat kepada semua Ahli Parlimen ini ialah melakukan keputusan terbaik yang boleh menjamin negara terus aman, damai dan sejahtera. Bagi Ahli Parlimen yang berniat untuk mengkhianati mandat rakyat, perlu bertanya pada diri sendiri: 'Apakah tindakan yang bakal dibuat akan menjamin kehidupan lebih baik buat rakyat atau ia dilakukan dengan niat untuk memperkayakan diri sendiri.' Rakyat sudah pun bosan dengan kemelut politik yang tidak berpenghujung ini. Mereka kini merindukan negara yang aman, damai dan teguh dengan semangat setia kawan. Kini terserah kepada ahli politik untuk membuat keputusan bagi pihak rakyat
sama ada ingin memastikan keamanan hari ini berterusan atau mencetus konflik politik yang berterusan sehingga pilihan raya umum diadakan sekali lagi.
Monday, September 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment