Oleh Nor Aziah Jaafar
KUALA TERENGGANU 15 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa tarikh peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak masih kekal pada tahun 2010.
Menurutnya, pada waktu ini belum ada keputusan baru mengenai tempoh peralihan kuasa itu dibuat dan tarikh yang diputuskan sebelum ini masih kekal.
‘‘Pada waktu ini belum lagi (buat keputusan baru). Tarikh 2010 kekal kerana itu adalah apa yang diputuskan secara rasmi dahulu,” katanya selepas majlis berbuka puasa dan solat tarawih di Masjid Abidin di sini malam ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Najib di Putrajaya petang ini yang antara lain dikatakan membincangkan agenda peralihan kuasa.
Menurut Abdullah, peralihan kuasa ada dibincangkan dalam pertemuan tersebut tetapi tiada sebarang perubahan dilakukan.
‘‘Kita bincang macam-macam perkara yang berlaku pada waktu ini. Kita cakap apa yang sedang berlaku termasuk itulah (peralihan kuasa) yang sekarang ini heboh-heboh mengenainya,” jelasnya.
Pada Julai lalu, Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang bakal dilaksanakan pada Jun 2010.
Bagaimanapun pada 12 September lalu, Najib berkata, peralihan kuasa antara beliau dan Perdana Menteri seharusnya ditentukan melalui mesyuarat tahunan bahagian UMNO.
Menurut Najib, selepas itu barulah perkara tersebut dibawa untuk diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO, Disember ini.
Dua hari sebelum itu, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.
Muhyiddin berkata, pelan peralihan yang diumumkan dua bulan lalu itu kini telah ‘tenggelam’ dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment