Tuesday, September 2, 2008

PERLUKAN SEKOLAH PERSENDIRAN DIBANTU BERLEBIHAN

KERAJAAN negeri Perak mempunyai hak untuk menentukan keutamaan mereka bagi memastikan urusan pentadbiran di situ berjalan lancar.

Apatah lagi dalam keadaan negeri itu ditadbir oleh pakatan pembangkang, maka setiap keputusan atau langkah yang dibuat dianggap bersifat eksklusif tanpa perlu merujuk kepada Pusat.

Namun apabila sesuatu keputusan itu boleh menjejaskan kepentingan pihak tertentu di negeri itu, maka adalah wajar ia disentuh, ditegur dan mungkin juga diperbetulkan.

Dalam kes terbaru - penganugerahan tanah seluas 400 hektar kepada sembilan sekolah persendirian Cina - Kerajaan Perak seharusnya bersikap telus.

Rasional langkah tersebut mesti diperjelaskan kerana ia tidak bersifat menyeluruh sebaliknya kemudahan yang ditawarkan hanya dimanfaatkan oleh sekumpulan penduduk di situ.

Juga bukankah selama ini mana-mana sekolah persendirian perlu mencari dana sendiri untuk memastikan pentadbiran berjalan lancar dan fakta ini tidak mengecualikan sekolah persendirian Cina. Juga perlu diperjelaskan tanah milik siapa yang akan diberi kepada sekolah-sekolah tersebut untuk diusahakan.

Adakah kedudukan kewangan sekolah jenis itu amat terdesak sehingga menuntut keputusan menambah bantuan berupa pemberian tanah ini dibuat. Bukankah sejumlah bantuan kewangan telah diperuntukan kepada sekolah-sekolah tersebut.

Hakikatnya ada juga sekolah persendirian berteraskan Islam di negeri Perak yang berkehendakkan perhatian serta bantuan kerajaan negeri itu.

Sekolah-sekolah ini juga berhadapan dengan masalah kewangan termasuk untuk membiayai kos pentadbiran dan terpaksa beroperasi dalam keadaan serba kekurangan.

Namun demi memartabatkan agama, pengajaran dan pembelajaran diteruskan sambil usaha mencari dana dipelbagaikan.

Justeru jika keputusan dibuat dengan alasan supaya sekolah persendirian Cina boleh mengusahakan tanah berkenaan dan menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk membiaya kos pentadbiran, maka sekolah persendirian kategori lain juga mesti mendapat manfaat yang sama.

Kita juga boleh membayangkan apabila sebuah syarikat ditubuhkan untuk mengusahakan tanah tersebut maka kesan jangka panjangnya boleh sahaja diandaikan akan memberi keuntungan berlipat ganda kepada sekolah berkenaan.

Oleh itu amat penting jika keputusan yang diumumkan oleh kerajaan negeri Perak baru-baru ini diperjelaskan rasionalnya kerana ia ternyata bertentangan dengan hakikat sekolah jenis itu yang bukan saja bebas dari segi sukatan pelajarannya malah perlu mencari dana sendiri.

Dalam keadaan semua orang menghormati langkah kerajaan negeri Perak itu, ada tanggungjawab di pihak pemimpin pakatan pembangkang untuk menjelaskan isu tersebut supaya segala yang kabur menjadi terang.

No comments: