KUALA LUMPUR: Seseorang doktor sukar untuk menilai dengan tepat apabila memeriksa pesakit yang mendakwa diliwat beberapa minggu atau beberapa bulan sebelumnya memandangkan beberapa tanda di bahagian tertentu mungkin tidak kelihatan.
Persatuan Pakar Bedah Kolorektal Malaysia (MSCRS) dalam satu kenyataan menjelaskan pengamal perubatan boleh membuat diagnosis kemasukan secara paksaan dalam dubur jika mangsa diperiksa awal seperti sejurus atau beberapa hari selepas kejadian kerana tanda diliwat mungkin masih ada.
Presidennya, Dr Akhtar Qureshi dan Naib Presiden Dr Yunus Gul berpendapat penggunaan objek tumpul yang dimasukkan secara paksa ke dalam dubur mungkin menyebabkan tanda klinikal yang sama seperti diliwat dan ia 'memerlukan pemeriksaan terperinci se-belum sesuatu rumusan atau diagnosis dibuat.'
"Seseorang yang sudah lama terbabit dalam perlakuan seks luar tabii mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda trauma pada pemeriksaan klinikal selain mungkin tanda kelonggaran pada otot lubang dubur. Adalah lebih baik mangsa diperiksa oleh pakar bedah kolorektal," kata mereka dalam kenyataan itu.
Persatuan itu mengeluarkan kenyataan berkenaan untuk memberikan pandangan mereka sebagai pakar perubatan berhubung laporan media baru-baru ini mengenai kes liwat dan pelbagai dakwaan terhadap faktor yang menentukan kes liwat.
Kedua-dua doktor itu juga berpendapat media dan individu adalah tidak bertanggungjawab jika membuat pelbagai spekulasi berhubung satu insiden terutama apabila butiran penuh tidak diperoleh.
Mereka juga bersetuju dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican baru-baru bahawa sejarah, pemeriksaan perubatan lengkap dan pemeriksaan tertentu, termasuk penilaian spesimen daripada tubuh oleh unit forensik mesti dilakukan bagi menilai kes seumpama itu.
Dr Akhtar dan Dr Yunus juga menjelaskan bahawa: "Kalangan pegawai perubatan yang menangani kes baru-baru ini telah dihakimi secara tidak adil kerana butiran terperinci mengenai apa yang berlaku adalah kabur dan sepatutnya diadili oleh mahkamah perundangan di mana keterangan boleh didengar dan dinilai dengan lebih terperinci oleh pakar."
Pada 25 Ogos, Dr Ismail berkata seorang doktor tidak boleh membuat laporan perubatan secara muktamad dalam kes seksual, termasuk liwat kecuali beliau melengkapkan empat pemeriksaan penting terhadap mangsa.
Beliau mengulas risalah yang diedarkan kepada orang ramai yang dikatakan laporan perubatan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang dilakukan di Hospital Pusrawi oleh pegawai perubatan, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment