UCAPAN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika membentangkan Bajet 2009 bahawa kestabilan politik negara wajib dipelihara bersama-sama, perlu diberikan perhatian berat oleh semua pihak di negara ini.
Bagi Perdana Menteri, badan politik, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan media mempunyai tanggungjawab bersama membina sebuah negara yang aman, damai, teguh lagi bersatu. Rakyat juga tidak akan dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik. Budaya berpolitik yang keterlaluan merugikan setiap kita, malah menjejaskan kemakmuran negara.
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, menjadi tugas kita tanpa mengira kaum dan keturunan bersatu padu untuk memastikan negara ini sentiasa stabil dan tidak mudah digugat oleh mana-mana pihak.
Malaysia yang sudah dibina dengan baik oleh pengasas bangsa sejak merdeka perlu dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir terutama daripada ancaman petualang negara yang bersekongkol dengan anasir luar. Apabila tiada kestabilan politik, segala kehidupan harian akan menjadi kucar-kacir malah akan berhenti termasuk dalam bidang perniagaan. Jika keadaan ini berterusan, negara akan menjadi lumpuh dan yang akan rugi ialah rakyat keseluruhannya.
Oleh itu, rakyat perlu menolak tindakan sesetengah pihak yang gemar menimbulkan suasana `ketidaktentuan’ ini dengan menolak perjuangan sempit mereka mulai sekarang sehingga pilihan raya umum akan datang. Rakyat perlu memahami bahawa golongan ini tidak akan duduk diam selagi tidak memperoleh kuasa.
Malah mereka akan melakukan apa saja bagi mendapatkan kuasa termasuk merampas mandat yang diberikan oleh rakyat. Oleh itu, kita perlu menyokong kerajaan sekarang yang sudah berikrar tidak membenarkan gangguan seumpama ini diteruskan. Menjaga keamanan dan kemakmuran negara adalah tanggungjawab bersama rakyat keseluruhannya.
(Sumber : Surat Pembaca BH /4/9/08)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment