Thursday, April 16, 2009

YAKINLAH DENGAN WAWASAN PERDANA MENTERI "SATU MALAYSIA"

“Satu Malaysia”, bermaksud setiap warga negara Malaysia di mana mereka berada tanpa mengira Agama, Bangsa, Warna Kulit dan Kedudukan akan diutamakan, keutamaan akan merentasi semua lapisan masyarakat tidak ada yang tercicir dari arus perdana walau di mana mereka berada. Sama-sama bertanggungjawab untuk membawa Malaysia ke arah mencapai Wawasan 2020.

2. “Satu Malaysia”, bererti kita perlu menyatukan pemikiran kita, barisan kita, cara kita bertindak serta mengetahui halatuju kita. Setiap individu mesti bertekad, berazam dan seterusnya beriltizam untuk sama-sama memikul tanggungjawab melaksanakan sedaya upaya mungkin segala perancangan kerajaan tanpa melihat kebelakang, tanpa curiga serta cemburu dengan apa-apa yang dimiliki oleh orang lain kerana kita hanya satu wawasan, satu tujuan, satu matlamat, iaitu menjadikan negara Malaysia satu negara maju menjelang tahun 2020. Setiap rakyat akan dibahagikan sama rata dari semua aspek tidak ada seorang pun yang dipinggirkan dari arus perdana.

3. “Satu Malaysia” bererti satu ummah dalam satu negara berasaskan kebebasan berfikir, bersuara berpandukan kepada lunas undang-undang negara.

4. Perdana Menteri menjadikan ”Satu Malaysia” sebagai wawasan beliau sejajar dengan perjuangan Rasullullah semasa berada di Madinatul Munawarah iaitu menyatukan ummah dari kalangan Muhajirin dan Ansar.

5. Rakyat Malaysia wajar menyambut baik hasrat dan cita-cita Perdana Menteri untuk menjadikan negara ini ”Satu Malaysia” sebagai Wawasan sepanjang pemerintahan beliau. Justeru setiap Kementerian, Jabatan, Agensi–agensi Kerajaan, Badan-badan Berkanun, Pusat-pusat Pengajian Tinggi Awam dan Swasta wajib menyahut cadangan Perdana Menteri dengan menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bagi supaya hasrat dan cita-cita Perdana Menteri dapat dijayakan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Untuk itu semua pihak perlu berganding bahu serta bertindak serta merta bagi menjayakan hasrat dan cita-cita sebagaimana berikut:-

(a) Kementerian dan Jabatan-jabatan serta Agensi-agensi di bawahnya hendaklah menjelaskan kepada semua kakitangan masing-masing apa itu erti ”Satu Malaysia”.

(b) Kementerian Pelajaran / Pengajian Tinggi Awam dan Swasta hendaklah menyusun kurikulum khusus untuk ini seterusnya menjelaskan kepada pelajar di semua peringkat supaya ianya dapat difahami oleh mereka.

c) Kerajaan Tempatan hendaklah menyediakan papan-papan tanda di tempat-tempat strategi di seluruh negara menyatakan ”Satu Malaysia” berserta dengan gambar Perdana Menteri.

(d) Badan-badan Swasta juga harus mengambil inisiatif serta tanggungjawab menyediakan papan-papan tanda yang sama.

(e) Media masa dan media cetak elektronik juga perlu memainkan peranan masing-masing bagi tujuan melahirkan perkara yang sama.

(f) RTM, Radio-radio Swasta, TV3, Astro dan lain-lain sewajarnya memainkan peranan masing-masing di waktu-waktu kemuncak bagi tujuan menyedarkan masyarakat.

(g) JASA hendaklah turun ke padang bagi menjelaskan konsep ”Satu Malaysia” berpaksikan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan kepada masyarakat akar umbi.

Oleh:
Ust. Mohamad B. Hj. Taib
Panel Pemikir
Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)
Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Malaysia

http://tingkat-6.blogspot.com/

No comments: