Monday, April 27, 2009

HARAPAN TINGGI TERHADAP RAIS

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

KEMBALINYA Datuk Seri Dr. Rais Yatim ke Kementerian Penerangan dan penyusunan semula tiga kementerian di bawah Rais memperlihatkan anjakan dalam barisan Kabinet baru.

Kementerian Penerangan; Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Pembentukan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada akhir 90-an dianggap sebagai pencetus dasar "langit terbuka Malaysia". Ia menjadikan Akta Penyiaran (Pindaan 1997) sudah tidak relevan. Akta itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Penerangan untuk mengawal selia stesen penyiaran kerajaan dan juga swasta.

Disebabkan Akta Penyiaran tidak relevan dengan dasar langit terbuka, maka pada 1999 diwujudkan Akta Komunikasi dan Multimedia dan penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Ini membuatkan kawal selia di bidang penyiaran berpindah dari Kementerian Penerangan kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Cabaran utama penyiaran negara ini adalah untuk memastikan isi kandungan berpaksikan kepada tatasusila budaya setempat.

Tetapi dasar langit terbuka pula difahami sebagai suatu yang menuntut keterbukaan seluas-luasnya tanpa sempadan. Maka banyak larangan dalam Akta Penyiaran sudah tiada dalam Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kelonggaran dan SKMM mengakibatkan ada stesen penyiaran yang sudah terpesong jauh dan menjadi pemangkin kepada penularan budaya songsang dari luar. Semua ini tidak menjadi suatu yang sensitif dalam Akta Komunikasi dan Multimedia. Apa lagi ia terpisah dengan kementerian yang bertanggungjawab dalam hal-hal kebudayaan dan kesusilaan.

Kerana itu apabila kerajaan menyusun semula Kementerian Penerangan yang di dalamnya ada kebudayaan dan juga hal ehwal komunikasi, ia diharap memperlihatkan keterbukaan yang ada batasan. Banyak perkara yang ada dalam Akta Penyiaran dulu perlu diberi perhatian oleh kementerian baru ini. Antaranya isi kandungan di stesen penyiaran tempatan.

Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pemilihan Rais menerajui kementerian itu tepat kerana beliau memahami soal budaya dan prihatin mengenainya.

"Saya berharap kementerian ini akan memberi penekanan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam bidang penyiaran dan komunikasi," tegas beliau.

Menurutnya, kementerian baru itu harus memberi penekanan untuk memahamkan rakyat mengenai Perlembagaan Malaysia terutama Akta 152 yang menyentuh tentang kedudukan bahasa Melayu.

Selama ini bahasa Melayu terpinggir dan diletakkan pada kedudukan yang tidak sewajarnya. Menggunakan bahasa Melayu bukanlah bererti sudah memartabatkan bahasa Melayu kalau tidak dengan susun kata dan nahu yang betul.

Apabila bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, ini bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa rasmi rakyat Malaysia. Tidak ada pihak lain yang lebih berpengaruh daripada media elektronik.

Kalau media elektronik dimanfaatkan untuk memacu jurus pemikiran rakyat ke arah pembangunan minda, hasilnya lebih ketara.

Menggabungkan bidang penyiaran, komunikasi dan kebudayaan di bawah satu kementerian adalah langkah pragmatik untuk mengatasi kerenah birokrasi. Ini kerana ketiga-tiga bidang ini berhubung kait antara satu dengan lain. Malah penyusunan semula ini juga akan mengangkat kedudukan Kementerian Penerangan yang telah diambil bidang kuasanya selepas kewujudan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini ada pihak mempersoalkan Kementerian Penerangan apabila ada stesen televisyen swasta yang sewenang-wenang melanggar adab dan etika budaya dalam isi kandungannya. Tetapi hakikatnya itu di luar bidang kuasa kementerian itu.

Kandungan di stesen televisyen sekarang begitu kacau-bilau dan pengaruh budaya luar sangat ketara. Sama ada radio atau televisyen, kedua-duanya semakin hilang adab. Tetapi semua ini dianggap sebagai "pembaharuan" yang mesti diterima di bawah dasar langit terbuka.

Walaupun kita menjengah langit terbuka tetapi stesen-stesen penyiaran tempatan perlu memahami tanggungjawab sosial selain tuntutan perniagaan. Persaingan dalam bidang penyiaran dengan kewujudan lebih banyak stesen penyiaran belum memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Malah jauh lebih buruk daripada segi nilai berbanding isi kandungan RTM ketika belum wujud stesen swasta.

Jangan terkejut atau pura-pura terkejut kalau dikatakan ada stesen penyiaran negara ini menjadi pemangkin yang merosakkan bahasa Melayu. Malah membawa gaya hidup hedonisme dalam isi kandungan penyiaran.

Semua ini berlaku dengan bebas tanpa sebarang sekatan selepas Kementerian Penerangan tidak mempunyai kuasa ke atas stesen penyiaran swasta.

Ada stesen penyiaran yang dengan sengaja memaparkan campur aduk bahasa Melayu dengan Inggeris dan menjadi satu prasyarat untuk membolehkan sesebuah program diterima oleh stesen berkenaan.

Malah Rais diharap akan memulihkan kembali kedua-dua saluran televisyen RTM supaya berada pada landasan yang sewajarnya. RTM perlu menjadi agen pembudayaan dan bukan agen propaganda murahan.

Dengan tercetusnya fenomena baru bidang komunikasi iaitu kewujudan jutaan blog yang digerakkan oleh blogger, Rais diharap dapat memanfaatkan ruang undang-undang yang ada untuk mendisiplinkan sesetengah blogger.

Tindakan undang-undang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia ke atas individu yang menyebarkan berita palsu dan juga fitnah.

Biarlah kalau ada pihak yang menganggap penguatkuasaan undang-undang komunikasi sebagai mengekang kebebasan media. Kalau mereka sedar, kewujudan Internet di negara ini adalah satu tanda kebebasan media.

Dengan kecanggihan teknologi komunikasi, penyebar fitnah atau berita palsu boleh dikesan dalam sekelip mata.

Tetapi malangnya sebelum ini peruntukkan undang-undang yang ada dijadikan perhiasan. Undang-undang komunikasi tidak digunakan semaksimum mungkin untuk memberi keadilan kepada mangsa yang difitnah.

Undang-undang adalah perlu untuk mendidik rakyat bertanggungjawab di atas sesuatu yang dilakukan. Rakyat wajar membezakan antara pandangan yang kritikal dengan fitnah. Dan kita memerlukan pandangan kritikal bukan fitnah.

Maka harapan yang tinggi diletakkan ke bahu Rais yang sebelum ini memimpin Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan dengan jayanya.

Pemilihan tokoh yang memahami dan prihatin kepada soal budaya dan adab susila seperti Rais di Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan dijangka mengubah kesongsangan yang ada.

PENULIS ialah Penolong Pengarang
Mingguan Malaysia

Sumber : Utusan Malaysia, 27 April 2009

1 comment:

Mat Rimba said...

Hairan sebagai rakyat dan warganegara tetapi masih tebal perkauman dan keimigranan.

Masih menuntut berita berbahasa Tamil dan Cina di televisyen, sedangkan kita bukan lagi orang China atau India lagi, tetapi dah jadi orang Malaysia.

Cukuplah dengan berita berbahasa Malaysia. Mohon DS Rais beri penjelasan untuk mereka ini.