majukan masyarakat
APA reaksi Datuk apabila menerima khabar pelantikan sebagai menteri?
Saya menerima panggilan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada jam 8.30 pagi Jumaat lalu, yang memberitahu mengenai pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga hal ehwal agama Islam. Macam cerita dalam mimpi apabila menerima panggilan telefon daripada seseorang di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang meminta saya tunggu sebentar kerana Perdana Menteri ingin bercakap dengan saya. Seribu satu persoalan datang kerana yang hendak bercakap itu Perdana Menteri. Apabila diberitahu saya tersenarai dalam saf Kabinet baru, saya sempat bertanya nak dihantar ke mana. Jawapan Datuk Najib ialah di JPM menjaga hal ehwal agama. Saya tanya lagi, adakah Datuk Seri yakin dengan kemampuan saya.... ustaz dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) saja untuk jawatan itu. Tetapi Perdana Menteri kata, beliau yakin dengan kemampuan saya. Sebenarnya, ini amanah yang sangat berat dan disebabkan itu selepas perbualan telefon, saya tidak boleh berfikir. Apabila pihak Parlimen telefon untuk bersedia angkat sumpah sebagai senator pun saya masih dalam keadaan 'masih tidak percaya' kerana perkara ini berlaku terlalu pantas. Hingga jam 12.30 tengah hari saya masih duduk senyap di rumah.
Bila datangnya kesedaran bahawa ia bukan khayalan, tetapi realiti dan sudah tiba masanya untuk Datuk menerima kemungkinan yang datang selepas itu?
Kekuatan datang apabila saya dapat bercakap dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang dengan tegas menangkis luahan hati saya yang masih sayangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beliau berkata, "Tidak!... dengar sini, kamu pergi. Kami berbangga kerana ini penghormatan yang bukan saja diberi kepada anda, tetapi semua warga ATM. Anda patut ambil ini sebagai tanggungjawab." Kata-kata sama saya terima (kata-kata popular dalam tentera dengar sini) daripada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin yang mahukan saya menerima pelantikan itu dan masing-masing melahirkan rasa bangga kerana pemilihan saya adalah penghormatan kepada ATM. Tidak dinafikan hati saya masih di ATM ketika itu kerana 24 tahun hidup dalam dunia ketenteraan, sukar untuk saya mengucapkan perpisahan. Tetapi, jika begitulah sokongan serta dorongan diberikan, ia menjadi kekuatan untuk saya menerima pelantikan ini serta memikul tanggungjawab dan amanah yang datang bersamanya.
Kekuatan datang apabila saya dapat bercakap dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang dengan tegas menangkis luahan hati saya yang masih sayangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beliau berkata, "Tidak!... dengar sini, kamu pergi. Kami berbangga kerana ini penghormatan yang bukan saja diberi kepada anda, tetapi semua warga ATM. Anda patut ambil ini sebagai tanggungjawab." Kata-kata sama saya terima (kata-kata popular dalam tentera dengar sini) daripada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin yang mahukan saya menerima pelantikan itu dan masing-masing melahirkan rasa bangga kerana pemilihan saya adalah penghormatan kepada ATM. Tidak dinafikan hati saya masih di ATM ketika itu kerana 24 tahun hidup dalam dunia ketenteraan, sukar untuk saya mengucapkan perpisahan. Tetapi, jika begitulah sokongan serta dorongan diberikan, ia menjadi kekuatan untuk saya menerima pelantikan ini serta memikul tanggungjawab dan amanah yang datang bersamanya.
Boleh ceritakan tugas pertama Datuk selepas majlis angkat sumpah jawatan menteri Kabinet dan bagaimana datuk berdepan tugas baru itu?
Saya mengucapkan terima kasih kepada menteri terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sudah menyusun jadual awal yang diatur rakan agensi di bawah kementerian, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz maklumkan mengenai majlis Penutupan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan di Kelantan. Sebagai menteri yang diberi amanah, saya mengambil tanggungjawab ini. Bagi saya, ada makna tersendiri dalam perkara yang berlaku Jumaat lalu, kerana selepas majlis angkat sumpah, majlis pertama saya hadiri menjawat jawatan menteri ialah Majlis Penutupan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan. Saya berasa ini satu ketentuan Allah, menghadiri majlis pertama dengan wahyu al-Quran. Saya berharap mudah-mudahan ini menjadi satu petunjuk dan hidayah kerana malam itu saya tengok anak-anak yang menghafaz lima juzuk, 10 juzuk, 15 juzuk dan 30 juzuk al-Quran. Satu penghormatan begitu tinggi bermula langkah kaki saya pada malam itu. Saya bersyukur suasana berjalan baik malam itu. Pagi esoknya (Sabtu), saya bersama guru Kafa (kelas al-Quran Fardu Ain) seluruh Kelantan. Saya melihat kelompok yang memberi pendidikan fardu ain, fardu kifayah dan adab susila kepada anak, saya meletakkan penghormatan pada majlis mulia itu. Alhamdulillah saya bersyukur dengan penyusunan yang berlaku.
Apakah pendekatan Datuk dalam menerajui agensi yang ada di bawah tanggungjawab. Mungkin akan menggunakan ketegasan serta disiplin seperti dalam ketenteraan?
Pendekatan yang sudah diatur menteri terdahulu akan diteruskan dan kita melihat relevannya dengan keadaan semasa. Mungkin ada perkara perlu penambahbaikan mengikut kesesuaian. Jadi, pendekatan sudah diatur, disusun, digagaskan terdahulu akan diteruskan dan kita sentiasa melihat hal baru yang sedang berkembang untuk proses ini berlaku. Ketegasan dan disiplin diperlukan dalam semua, tetapi ketegasan perlu bertempat. Ketegasan dan disiplin akan diterapkan, tetapi dengan cara penuh berhikmah. Berurusan dengan kelompok yang pelbagai, kebijaksanaan harus dilebarkan dalam kelompok yang ada. Mungkin ada yang menyangka cakap tegas itu ialah tidak bercakap dengan orang, muka yang tiada senyuman, perlu macam orang sedang marah. Pada takrifan saya dalam senyuman pun masih ada ketegasan.
Menjaga agensi yang banyak pastinya memerlukan Datuk bekerja lebih kuat kerana fungsinya yang berbeza. Adakah Datuk memberi tempoh masa untuk mengenali agensi di bawah jagaan itu?
Saya sudah mula berasakan yang saya tidak lagi hidup dengan diri, keluarga, Kagat atau tentera saja. Sekarang saya berasakan rakyat tidak kira agama atau bangsa berada di sekeliling dan saya perlu berkhidmat untuk mereka. Kadang-kadang nak makan pun teringat, adakah mereka juga makan macam saya. Sebelum ini jarang terlintas, tetapi sekarang perasaan itu sudah mula datang. Oleh itu, saya perlu bergerak laju. Sebenarnya, saya sudah mula berjumpa dengan ketua agensi untuk mendengar sepintas lalu supaya saya boleh memahami keseluruhan bidang tugas menanti. Selepas masuk pejabat, ada beberapa agenda sudah disusun, termasuk mengadakan perjumpaan Majlis Perundingan Islam dianggotai rakan seluruh negara kerana saya memerlukan maklum balas mereka daripada pelbagai bidang bagi mengukuhkan pelaksanaan setiap agensi. Dulu saya di luar gelanggang, sekarang dalam gelanggang dan saya perlu bergerak cepat.
Islam hari ini menerima pelbagai cabaran. Bagaimana Datuk melihat perkara ini dan bagaimana agaknya cara menghadapi isu yang menyentuh kedudukan agama serta umat Islam?
Pertama sekali, kita perlu mendukung dengan tulus ikhlas apa yang Perdana Menteri katakan, iaitu ingin melahirkan 'Satu Malaysia' menerusi pengertian hidup secara bersama dan saling memahami dalam kesedaran bahawa kita masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama, budaya serta cara hidup. Saya melihat gagasan diuar-uarkan Perdana Menteri, iaitu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan tidak akan mampu terbangun jika dalam kelompok itu masih ada perpecahan, sikap saling tidak menghormati serta ada kecurigaan. Dalam keadaan ini, perlu ada kesedaran, keinsafan serta semangat membina kebersamaan. Walaupun ada perbezaan, tetapi jika semangat kebersamaan dapat dibina, hal lain akan terhindar secara perlahan. Akhirnya kita tidak akan buang masa panjang memfokuskan hal tidak perlu. Negara sudah lebih 50 tahun merdeka, ada kematangan. Semangat 'Satu Malaysia' sebagai kekuatan ini yang perlu kita semua bina dulu.
Apakah harapan yang mungkin dapat dikongsi bersama dalam perjalanan memenuhi amanah serta amanat dipertanggungjawabkan di bahu Datuk?
Bagi umat Islam, dalam solat kita selalu berdoa untuk mencapai kebaikan di dunia dan akhirat. Kebaikan tidak tercapai dengan angan-angan atau bicara kata. Kebaikan dicapai dengan pelaksanaan, kesungguhan, semangat, kerjasama, sokongan pelbagai pihak tanpa mengira bangsa dan agama. Ini harapan saya untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat dalam apa yang saya lakukan. Saya harap Allah beri kecergasan minda, kelapangan jalan keluar dan kesihatan untuk saya meletakkan ikrar janji saya. Inilah juga pesanan ayah apabila saya beritahu mengenai pelantikan tempoh hari, "Jamil, jika ada untuk tugasan yang diberikan kebaikan untuk dunia dan akhirat, maka persilakan." Hadis Rasulullah SAW juga ada mengatakan Muslim yang baik menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan beruntunglah orang yang hari esok lebih baik dari hari ini. Ini yang saya harapkan untuk menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Saya berpuas hati jika itu dapat saya laksanakan. Pastinya bukan atas usaha saya seorang, tetapi berkat sokongan semua pihak kerana saya ada berkata dengan beberapa menteri kanan bahawa saya memerlukan tunjuk ajar serta bimbingan mereka untuk membantu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik.
Sumber: Berita Harian (14 April 2009)
No comments:
Post a Comment