Monday, April 27, 2009

Masjid Besi : Mercu tanda baru Putrajaya

Masjid Besi mampu tampung 20,000 jemaah, bakal tarik pelancong

PUTRAJAYA: 'Masjid Besi' berharga RM200 juta di Presint 3 di sini yang dijangka siap sepenuhnya Ogos ini, bakal menjadi mercu tanda baru bandar raya pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini termasuk tarikan pelancong dan keselesaan beribadat.

Kontraktor pembinaan sudah diarah menyiapkan masjid berkenaan mengikut tempoh ditetapkan dan apabila siap ia berkenaan boleh menampung jemaah sehingga 20,000 pada satu-satu masa.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman berkata antara ciri istimewa masjid yang dibina menggunakan 6,000 tan keluli yang membentuk 70 peratus daripada bahan binaannya menggabungkan teknologi moden dari Jerman dan China.

Apabila siap, masjid berkenaan akan diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bakal diberikan nama lain. Masjid mula dibina pada 2004 tetapi pembinaannya terlalu perlahan.

Keluli yang menjadi kerangka tiang dan dinding masjid juga dikemaskan dengan bahan telus cahaya dikenali ‘crystalized glass’ bagi membolehkan ia kelihatan berwarna putih dari jauh.

Apabila malam, cahaya lampu akan menambah keindahan masjid yang boleh dilihat dari jambatan Seri Saujana.

Setiap panel dinding luar masjid dinamakan Masyrabiah diperbuat daripada anyaman besi tahan karat atau ‘architectual wire mesh’ yang mempunyai ciri unik iaitu telus cahaya dan angin membuatkan pengunjung selesa dengan hembusan angin segar.

Malah, masjid berkenaan tidak mempunyai kipas angin, sebaliknya menggunakan menggunakan sistem pengudaraan udara sejuk dalam bangunan masjid bagi menggantikan sistem penghawa dingin.

Beliau berkata, anyaman Masyrabiah diimport khas dari Jerman dan menjadikan ia satu-satunya bangunan dengan anyaman besi tahan karat di negara ini.

Ia juga dilitupi panel bercorak geometri pada bahagian luar, juga daripada jenis besi tahan karat selain hiasan kaligrafi di setiap ruang bangunan itu.

Perjalanan ke masjid melalui sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid, Kiblat Walk seluas 13,639 meter persegi. Kawasan yang menghadap kiblat itu dihiasi kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba al-Hambra.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal ketika meninjau pembinaan masjid itu, memberitahu kontraktor beliau mahu sembahyang Tarawih di masjid itu pada Ramadan akan datang atau jika tidak siap akan sembahyang di luar masjid.

"Apabila siap nanti saya berharap masjid ini akan menjadi mercu tanda dan daya tarikan baru kepada orang ramai dan pelancong asing dari seluruh dunia datang ke Putrajaya pada masa depan," kata

INFO: Masjid Besi, Putrajaya

10 bazar atau ruang niaga dalam kawasan masjid.

Bilik pameran mampu memuatkan 250 orang.

Bilik pengurusan jenazah.

Bilik kawalan audio visual

Ruang letak kereta (bawah tanah).

Kiblat Walk - ruang kolam umpama Istana al-Hambra yang menghadap Kiblat.

Iwan Utama - Laluan gerbang utama menuju Sahn yang terukir Asma Ul-Husna.

Sahn - kawasan laman menempatkan ruang solat terbuka dan padang.

Dinding Mihrab - kawasan ruang solat utama, ditempatkan cermin kaca dengan ukiran ayat al-Baqarah dan Ibrahim kelihatan seolah-olah terapung di udara.


Sumber : Berita Harian, 27 April 2009

No comments: