Monday, April 20, 2009

UNDANG-UNDANG KHAS PERLU UNTUK MELINDUNGI INSTITUSI RAJA

Oleh: Pemikir

Titah Paduka Sultan pada 19 April 2009 sempena menyambut Hari Ulang Tahun Kelahiran Ke-81 di Istana yang mulia perlu dilindungi oleh semua masyarakat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah/Sarawak tanpa mengira agama, budaya dan bangsa. Jelas Paduka Sultan memberi sepatah dua kata terutamanya kepada individu-individu dan mereka-mereka yang tidak menghormati sistem-sistem dan Perlembagaan Negara supaya beradab mulai saat ini.
Mesej yang tersirat dalam Titah Paduka Sultan boleh dianggap sebagai teguran yang membina demi menjaga ketenteraman perpaduan rakyat dalam negara Malaysia yang merdeka ini. Asakan yang dilakukan oleh pembangkang dalam negeri Perak baru-baru ini terhadap istana adalah satu yang dianggap ketara dan tidak sopan. Mereka yang kurang sopan harus sedar bahawa kegiatan mereka yang boleh dianggap melampau ini tidak disukai dan tidak dapat ditelan oleh majoriti orang-orang Melayu bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh negara.
Kepada individu-individu yang cuba memperlekehkan Perlembagaan dan Istana, kembalilah berfikir secara waras dan bijak. Sivakumar, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak masih lagi dalam keadaan kalut dan kebingungan. Beliau adalah angkuh dan masih tidak sedar diri bahawa tindakannya hanya memalukan bangsanya sendiri yang sudah mulai dipandang serong oleh warga Perak dan Malaysia amnya. Rata-rata mereka sudah mulai bosan dengan sikap beliau yang dipengaruhi oleh MP baru Bukit Gantang, Nizar dan juga DSAI yang masih lagi berangan-angan untuk menjadi Perdana Menteri Ke-6 yang sudahpun diambil alih oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib dengan penuh tertib dan istiadat Melayu. Peralihan kuasa kepada YAB Dato' Sri Mohd Najib telah dipaparkan secara meluas oleh televisyen-televisyen antarabangsa termasuklah BBC, Al-Jazeera dan CNN.
Pemerhati berpendapat bahawa satu tindakan tegas diambil oleh kerajaan kepada sesiapa juga yang cuba memperlekeh-lekehkan institusi raja dan perlembagaan. Perlu diadakan satu undang-undang khas mengenai perkara ini. Negara Thailand mempunyai undang-undang khas yang melindungi institusi rajanya dari dicemar atau dicemuh oleh rakyatnya.

No comments: