Friday, April 24, 2009

MALAYSIA JADI PEMAIN UTAMA

Oleh sahbulah darwi
pengarang@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 23 April - Langkah kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan mampu menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi global.

Setiausaha Agung Persatuan Perdagangan dan Industri Kebangsaan, Datuk Syed Hussein Al Habshee berkata, langkah berkenaan dijangka meningkatkan lagi kemasukan pelaburan asing dalam sektor terlibat dan seterusnya merancakkan ekonomi.

"Para pelabur sudah tentu tertarik dengan langkah liberalisasi itu yang memudahkan perniagaan kerana mereka tidak perlu lagi memikirkan soal 30 peratus ekuiti tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 27 sektor berkenaan diliberalisasikan berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan.

Najib memberitahu, langkah itu bermakna syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor terbabit tidak lagi terpakai.

Syed Hussein berkata, pertumbuhan subsektor berkenaan akan menguntungkan rakyat tempatan khususnya masyarakat peniaga bumiputera melalui penyertaan mereka dalam bidang-bidang berkaitan.

"Contohnya dalam bidang perubatan, jika ada syarikat asing dari Asia Barat yang hendak membuka hospital di negara ini, maka sudah tentu manfaatnya bukan sahaja untuk sektor itu tetapi juga kepada rakyat tempatan dalam mendapatkan perkhidmatan dan peluang pekerjaan," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Anak-Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor berkata, ia seterusnya melonjakkan daya saing masyarakat perdagangan dan perniagaan serta golongan profesional bumiputera.

"Liberalisasi ini sesuatu yang kita tidak boleh elak dan ia sebenarnya bertepatan dengan masa kerana masyarakat bumiputera sudah bersedia dan mampu untuk bersaing," katanya.

Justeru, menurutnya, kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) boleh memantau penyertaan masyarakat bumiputera bagi memastikan mereka tidak terpinggir dalam subsektor berkenaan.

Sumber : Utusan Malaysia, 24 April 2008

No comments: