Tuesday, June 3, 2008

Jangan BUTA-TULICEMAR IMEJ PLKN

Batu Rakit, Kuala Terengganu.

HEBOH dikatakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai membazir sahaja hingga di Dewan Rakyat pun, bangkit Yang Berhormat pembangkang mempertikaikannya.

Soalan saya ialah adakah orang yang mempertikaikan kewujudan PLKN ini mempunyai pengalaman berada di kem PLKN? Kalau sekadar mendengar daripada mulut-mulut orang, baik tutup mulut.

Saya ingin mendedahkan apa cerita sebenar di sebalik 'rumah tahanan' dan 'kem tentera' yang didakwa oleh pihak anti-PLKN. Saya bukan bercakap atas angin kerana saya memiliki bukti. Berusia 18 tahun pada tahun ini, saya telah dipanggil untuk menjalani PLKN untuk sesi pertama di Kem PLKN Chamang, Bentong.

Pada persepsi Yang Berhormat (YB) Siew Fook, beliau mempersoalkan kenapa latihan PLKN bersifat alaketenteraan.

Untuk perhatian YB berkenaan, sebagai seorang remaja yang menjalani sendiri 'hukuman' PKLN, saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan alaketenteraan?

Adakah apabila rambut saya dibotakkan, itu yang dikatakan alatentera? Adakah apabila kami disuruh berkawad - inikah dikatakan ala tentera? Kenapa tidak terlintas di hatinya bahawa aktiviti seperti itu untuk kesihatan diri peserta dan untuk menjana jati diri unggul dalam kalangan peserta?

Tambah menghairankan, adakah apabila saya disuruh masuk hutan untuk aktiviti ikhtiar diri, itu juga ala ketenteraan? Bukankah ini yang akan menjana generasi produktif dan berkebolehan?

Saya ingin menegaskan bahawa walaupun jurulatih PLKN terdiri daripada mereka yang bergelar tentera, namun itu bukanlah alasan yang bijak dan rasional untuk kita mengklasifikasikan PLKN itu sebagai kem tentera atau sebagainya,

Saya hairan kenapa masih ada segelintir masyarakat kita menghukum usaha murni kerajaan ini sebagai tidak berhasil dan produktif. Jangan kerana perbezaan fahaman politik, kita rela gadaikan mesin janaan generasi ini.

Saya seru kepada semua remaja yang pernah mengikuti Kem PLKN, membantah mana-mana usaha untuk mengecam dengan melulu PLKN ini.

Kepada YB yang memandai-mandai sebar cerita palsu, kenapa takut untuk melawat PLKN? Jangan timbulkan isu PLKN yang bertunjangkan kepentingan politik.

Kalau perkara baik haruslah ditafsir baik. Di PLKN, saya tahu bilakah penganut Hindu berkumpul dan PLKN jugalah saya belajar apakah yang melingkari budaya-budaya lain selain Melayu. PLKN menjadi pentas pertama saya memiliki rakan seperti Hong, Kuhan, Kari dan Wong. Bukankah ini semangat integrasi?

oleh : KHAZAIDI KAMARUDDIN

No comments: