Wednesday, July 15, 2009

TOK GURU GEMENTAR TERHADAP YAB PM, WALAUPUN PAS HANYA MENANG 65 UNDI DI MANEK URAI

OLEH : PEMIKIR - MM

Keputusan PRK DUN Manek Urai telahpun diisytiharkan oleh SPR pada malam 14 Julai 2009. Kemenangan adalah kepada Mohd. Fauzi dengan majoriti 65 undi. Keseluruhannya Tuan Aziz telah mendapat 5,283 undi dan Fauzi, 5,348 undi. 87% daripada 12,293 pengundi telah keluar mengundi. Ini merupakan satu perkara baik bagi SPR.

Kempen PRK semenjak 6 Julai 09 sehingga 13 Julai 09 berjalan dengan aman dan baik. Tetapi pada 14 Julai 09, iaitu hari mengundi, telah berlaku beberapa insiden yang tidak baik. Dilaporkan telah berlaku kecederaan 2 orang Puteri UMNO yang berada di salah satu daerah mengundi iaitu mereka cedera akibat direjam batu oleh penyokong-penyokong PAS. Tindakan liar ini, telah mencemarkan prestasi SPR dan juga mood pilihanraya di DUN Manek Urai. Perkara ini telahpun dibawa kepengetahuan pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.

UMNO telah berjaya mengurangkan sokongan pengundi-pengundi menyokong PAS. PAS telah mendapat majoriti 1,352 undi dalam PRU ke-12. Kini jumlah majoriti merosot kepada 65 undi. Walaupun PAS tidak kesah dengan jumlah untuk menang, namun ia boleh ditafsirkan sebagai satu keputusan yang memeranjatkan pemimpin-pemimpin tinggi PAS. Jawatankuasa PAS Pusat pasti tidak ambil remeh apa yang berlaku di DUN Manek Urai. Mereka akan membuat penilaian untuk dikaji implikasi jangka panjang tentang masa depan PAS menjelang PRU ke-13. Tok Guru yang masih dianggap sebagai faktor membawa kemenangan PAS di Manek Urai ini, akan menganggap bahawa saham beliau dalam politik semasa masih tinggi dan sekaligus beliau relevan dalam menentukan perjalanan PAS Malaysia.

PAS perlu ingat bahawa kedudukan calon PAS dan calon BN adalah sama kuat di DUN Manek Urai. Sokongan kepada calon-calon adalah 50-50. Pengundi-pengundi luar dan pengundi-pengundi muda juga dalam situasi 50-50. Sehingga hari akhir berkempen, iaitu 13 Julai 09, calon BN merupakan favourite untuk menang. Penganalisis-penganalisis meramalkan bahawa PRK ini sengit dan mereka yakin calon BN dapat memenangi dengan majoriti 100-200 undi. Tetapi wujudnya beberapa faktor yang tersembunyi, sehingga pagi 14 Julai 09, kempen secara senyap terus berlaku dan ini menjadi faktor penentu mutakhir nasib kedua-dua calon yang bertanding. Manusia merancang rapi tetapi Allah yang menentukan. Memang calon BN sewajarnya menang tetapi ini tidak dapat dizahirkan kerana terdapat 100-150 orang yang betul-betul mahukan beliau tidak dicalonkan. Orang-orang ini mungkin terdiri daripada saudara mara sendiri dan juga penyokong-penyokong kuat beliau. Mereka ini pasti berpuas hati Tuan Aziz kalah di Manek Urai.

Pemerhati berpendapat pemimpin PAS akan menilaikan bahawa keputusan Manek Urai ini adalah tidak baik bagi PAS. Mereka akan kaji punca jumlah pengundi merosot secara drastik menyokong PAS. Sekiranya perkara ini tidak dikawal, ia boleh memudaratkan tubuh politik PAS. Mereka turut yakin bahawa antara sebab kepada penurunan majoriti ini, adalah rakyat Kelantan sudah mula sedar dan celik mata terhadap kebaikan yang mula dilihat berlaku di bawah pemerintahan YAB PM dan saf kabinetnya. Kerajaan BN sekarang ini didapati serius untuk menepati janji-janji demi mempertingkatkan lagi taraf hidup tiap rakyat termasuk di Kelantan. UMNO 2009 mempunyai misi yang lebih dinamis dan mereka yakin agenda BN disokong dengan dana dan pakej ransangan, dapat menumpu kepada kebajikan rakyat termasuklah di DUN Manek Urai. Peranan Dato' Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, turut terserlah dan rakyat didapati dapat menerima kepimpinan beliau yang mengutamakan rakyat berteraskan 1Malaysia.

1 comment:

langhafur said...

Lol..dah rasa terertu, cepat bubarkan DUN Perak...dah banyak tabur duit kat MU, sambungle kat Perak pulak.Temanpun nak gak rasa...