Monday, July 6, 2009

PENGUNDI MANEK URAI MAHU PERUBAHAN

Oleh : M.Perry


Pengundi DUN Manek Urai , Kelantan akan keluar mengundi memilih wakil mereka pada 14 Julai 2009. Jumlah pengundi yang berdaftar bagi DUN Manek Urai adalah seramai 12,293 pengundi . Daripada jumlah tersebut golongan belia berusia 21-39 tahun merupakan 45.5 peratus atau 5,598 orang. Manakala pengundi berumur 40 - 59 tahun seramai 4,511 orang. Selebihnya 1,937 pengundi di DUN ini terdiri daripada warga dalam lingkungan umur 60-79 tahun.

Apakah demografi pengundi DUN Manek Urai tersebut akan mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil pada 14 Julai 2009 ataupun apakah perselisihan faham antara pemimpin-pemimpin utama dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS baru-baru ini, sekaligus Pakatan Rakyat akan mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil Manek Urai?Mampukah Pakatan Rakyat dapat mempertahankan kemenangan yang berturut-turut dicapai dalam pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke 12 atau pun apakah UMNO (BN) akan mengulangi rekod pilihan raya umum tahun 2004 ?

Dalam pilihan raya umum pada tahun 2004, BN memenangi DUN ini dengan 53 undi majoriti.
Penganalisaan keputusan pilihan raya umum pada tahun 1995,1999 dan 2004 jelas menunjukkan bahawa sokongan PAS di DUN Manek Urai ternyata makin surut. Manakala sokongan bagi BN didapati meningkat beransur-ansur walaupun tidak mampu mencatat kemenangan dalam pilihan raya umum kecuali pada tahun 2004.

Pada pilihan raya umum yang terakhir pada tahun 2008, PAS mencatat kemenangan hanya dengan majoriti 1,352 undi sahaja.Jumlah majoriti ini adalah tidak membayangkan peningkatan yang mendadak dalam sokongan politik bagi PAS kerana tahun 2008 memperlihatkan perubahan dalam citarasa pengundi di seluruh negara sehingga ada yang menyimpulkan Malaysia melanda dengan tsunami politik.

Tinjauan awal sekitar DUN Manek Urai, menunjukkan bahawa pengundi di sekitar Manek Urau tidak banyak hiraukan isu nasional,malah mereka lebih mementingkan masalah harian yang lebih dekat dengan hati mereka. Sehubungan ini, sebahagian besar pengundi DUN Manek Urai melahirkan pendapat dan yakin bahawa kepimpinan Tok Pa mampu menyediakan perkhidmatan yang lebih baik daripada Paksu Mail atau pun mampu membangunkan DUN ini lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh Paksu Mail daripada parti PAS.

Walaupun DUN Manek Urai dikatakan kubu kuat PAS, tetapi PAS pernah kecundang pada tahun 1982 dan 2004. Lebih-lebih lagi pergolakan politik dalam kepimpinan lapis kedua dalam parti PAS semakin menghakis kekuatan PAS yang tersedia ada di Kelantan,apatah lagi di Manek Urai. Maklumat-maklumat dari lapangan mendedahkan bahawa ada pihak tertentu dalam parti PAS merancang dan bertindak untuk mengurangkan populariti dan imej Tok Guru sebagai seorang pemimpin PAS yang disegani .

Segelintir penyokong PAS yang memihak pemimpin-pemimpin PAS dari luar Kelantan juga dikesan menjalankan taktik-taktik untuk mendatangkan kekalahan kepada calon PAS di Kelantan supaya Tok Guru dapat ditonjolkan sebagai seorang pemimpin yang luntur pengaruhnya di kalangan ahli-ahli PAS.

Perkembangan politik terakhir yang tidak memihak PAS dan trend kemerosotan sokongan di kalangan golongan muda terhadap calon PAS di DUN Manek Urai jelas membayangkan UMNO (BN) akan mengulangi peristiwa Pengkalan Pasir di Kelantan dalam pilihan raya kecil ini. Sejarah juga menunjukkan sikap rakyat Kelantan yang berani membuat percaturan politik dan tidak memikat kepada satu parti tertentu. Tahun 2004 menyaksikan BN menang 21 daripada 45 kerusi DUN dan menambah satu lagi kerusi pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir pada 2005. PAS memerintah Kelantan dengan hanya mempunyai majoriti satu kerusi DUN sahaja iaitu 23 kerusi DUN. Ini menunjukkan rakyat Kelantan boleh diubah persepsinya untuk menyokong UMNO tidak taksub dengan PAS.

Beberapa indikator lain dalam analisis suasana politik di Manek Urai membayangkan bahawa golongan muda memihak calon BN Tuan Aziz Tuan Mat. Malah, tinjauan awal menunjukkan golongan pengundi dewasa hampir 3,500 orang akan tetap bersama BN. Sekiranya 650 pengundi muda yang baru mendaftar memihak calon BN,maka peluang bagi BN mencatat kemenangan adalah amat cerah. Dengan latarbelakang politik ini, dapat dibuat kesimpulan bahawa usaha PAS untuk mempertahankan DUN Manek Urai semakin samar. Manakala peluang BN merampas DUN tersebut semakin cerah.


No comments: