Tuesday, July 21, 2009

MEMPOLITIKKAN ISU TEOH, MERUGIKAN PEMBANGKANG. CARILAH PENGGANTINYA

OLEH : PEMIKIR - MM

Isu Teo Beng Hock, setiausaha politik exco Selangor telah menarik minat segmen rakyat khususnya penyokong-penyokong DAP di Selangor. Reaksi dinegeri-negeri lain agak hambar dan mereka lebih banyak mengetahui kes ini dari akhbar-akhbar. Perkara ini menjadi tarikan kerana Teo didapati mati di balkoni bangunan tinggi di mana pejabat SPRM ditempatkan. Beliau telah tamat disoalsiasat SPRM sekitar 3.45 pg dan kemudian berehat dibilik tetamu SPRM. Pada 6 pg, beliau masih berehat tetapi selepas itu beliau tidak kelihatan dan hanya dijumpai mati selepas 7 jam.

Siasatan intensif sedang dijalankan oleh pihak polis terutamanya Jabatan Forensik yang telah membawa ke ibu pejabat, barang-barang atau apa jua yang boleh digunakan sebagai bukti untuk menentukan kes ini. Telefon bimbit beliau juga dalam simpanan polis supaya dapat dikesan pemanggil-pemanggil terakhir sebelum beliau mati. SPRM juga menggantungkan kerja siasatan sehingga polis selesai membuat siasatan.

Sementara siasatan secara profesional sedang berjalan, orang ramai khususnya parti pembangkang DAP sudah mula menangguk di air yang keruh. Keputusan siasatan pun belum ada, pembangkang sudah membuat kenyataan melulu tanpa usul periksa. Mereka mudah buat tuduhan tanpa fakta. Seperti biasa mereka membuat tembakan rambang dan harap-harap peluru mengena sasaran, tetapi setakat ini peluru-peluru mereka masih sesat. Baru 2-3 hari, mereka sewenang-wenangnya mendesak kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat perkara ini. Desakan ini berbau politik dan seterusnya pembangkang mencari peluang untuk mempersalahkan kerajaan dan SPRM.

Pemerhati berpendapat bahawa perkara kematian seperti Teoh ini berlaku di mana-mana jua dalam dunia ini. Di England, perkara seperti ini pun ada. Tetapi tidaklah sampai tahap pembentukan Suruhanjaya Diraja. Ia dianggap sebagai kes biasa sebelum di klasifikasikan sebagai jenayah atau lain-lain. Dalam hubungan ini, adalah wajar kerajaan mengambil sikap memberi peluang PDRM membuat siasatan rapi dan kemudian bawa ke pengetahuan Jabatan Peguam Negara jika bersabit kesalahan. Cara ini adalah lebih bijak daripada cuba mempolitikkan benda yang tiada. Kerajaan banyak lagi perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan demi kepentingan semua rakyat. Janganlah kes Teoh ini menjadi halangan kepada hasrat kerajaan untuk mengadakan program-program ekonomi meningkatkan taraf hidup dan kebajikan rakyat.

Adalah diharapkan kerajaan tidak mudah terpedaya dengan desepsi-desepsi dan putar belit pihak pembangkang kerana mereka ini sudah ketandusan pemikiran dan disamping itu menghadapi keretakan dalam tubuh badan PR yang dipimpin oleh DSAI yang sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi. Pembangkang dalam keadaan tenat dan isu Teoh boleh dianggap sebagai pucuk dicita ulam mendatang. Biarlah Teoh pergi dengan aman dan exco Selangor mengenal pasti pengganti Teoh dengan segera kerana banyak lagi yang sedia untuk berkhidmat.

No comments: