Thursday, December 4, 2008

Tiga inisiatif jamin masa depan minyak


Oleh Kamarulzaidi Kamis dan Faiza Zainudinbhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mahu syarikat minyak tempatan dan antarabangsa segera melaksana tiga inisiatif utama bagi memastikan masa depan industri minyak dan gas dunia terus mapan dalam menghadapi persekitaran global tidak menentu. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, inisiatif itu ialah mencari kaedah baru dalam mewujudkan pakatan berfaedah bagi memastikan jaminan tenaga yang berterusan, meningkatkan peluang pelaburan dalam bidang teknologi dan inovasi serta pembangunan sumber manusia. Katanya, bagi melaksana inisiatif penting itu, pakatan strategik antara penggiat industri minyak dan gas perlu dijalin kukuh dengan memanfaat kekuatan masing-masing bagi kejayaan pembangunan sumber berkenaan yang semakin terhad.

Selain itu, katanya, syarikat minyak juga perlu bersedia meningkatkan kepakaran seiring perkembangan semasa dan menerusi pelaburan berterusan dalam teknologi dan inovasi, dapat memastikan sumber bekalan tenaga terus terjamin. Abdullah berkata, pihak peserta industri juga perlu lebih giat menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan bagi membentuk kurikulum dan menghasilkan graduan berkelayakan yang dapat memenuhi keperluan industri. “Industri minyak dan gas akan berdepan cabaran hebat pada masa depan dan saya percaya ia akan menjadi lebih kritikal kepada penggiat bidang ini untuk memberi penekanan terhadap jaminan tenaga menerusi kerjasama, pelaburan teknologi serta pembangunan sumber manusia.

“Oleh itu, industri minyak dan gas perlu pastikan inisiatif penting ini dapat digerakkan sekarang supaya cabaran bagi beberapa dekad akan datang dapat dicapai dengan jayanya. “Jika kita berjaya, saya yakin kita boleh mencapai masa depan yang dicari dengan ekonomi yang lebih kompetitif, rakyat terjamin dan dunia menjadi lebih makmur,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Teknologi Petroleum Antarabangsa (IPTC) Ketiga di sini, semalam. Turut hadir, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican dan Naib Presiden Kanan ExxonMobil, Mark W Albers. Persidangan pertama kali diadakan di rantau ini menghimpunkan hampir 3,000 profesional dalam industri minyak dan gas membabitkan 48 negara. Ia dijangka membincangkan lebih 300 kertas kerja menerusi 51 sesi perbincangan bagi mengupas pelbagai isu dalam bidang itu bersesuaian dengan tema bagi memenuhi keperluan tenaga berikutan perubahan ekonomi dunia.

Selain sesi perbincangan, persidangan yang berakhir esok juga turut mengadakan pameran membabitkan 88 peserta dari 21 negara yang mengetengahkan teknologi dan inovasi terkini negara masing-masing. Antara tarikan pameran ialah kereta elektrik Mitsubishi yang mengguna bateri i-MiEV lithium-ion dan kereta Toyota dengan sistem Hybrid Synergy Drive (HSD) II. Sementara itu, Abdullah berkata, ramai ahli ekonomi meramalkan dunia akan mengalami kegawatan ekonomi yang teruk berbanding krisis ekonomi pada awal 1930-an. Beliau berkata, bagi menangani krisis itu, dunia memerlukan kerjasama semua pemimpin dengan kerajaan perlu melaksanakan pelbagai program fiskal bagi mengelak kejatuhan institusi kewangan utama antarabangsa.

1 comment:

rayliew said...

Yang pentingnya kerajaan BN mencari inisiatif untuk menjamin masa depan minyak negara, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat hanya tahu mengkritik sahaja, tiada usaha untuk membantu diadakan...CAKAP KOSONG...CAKAP TAk SERUPA BIKIN.