Sunday, December 28, 2008

Hudud Pas isu lama - Abdullah

ALOR GAJAH 27 Dis. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas oleh Pas merupakan perkara lama dan bukan isu baru untuk dibincangkan.

Perdana Menteri berkata, isu hudud Pas itu merupakan masalah parti tersebut dan rakyat perlu menilainya sendiri.

"Itu (hudud) isu yang sudah lama dan bukan barui, biarlah mereka dengan masalah yang mereka hadapi.
"Saya sendiri akan mempertimbangkan, akan menilai dan tentulah rakyat sendiri (juga) yang akan menentukannya dan pilihan raya di Terengganu nanti, tentulah rakyat akan ambil kira perkara ini,'' katanya.
Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat dusun buah-buahan tropika D'Paradise di Kampong Brisu, Lubok China, di sini hari ini.

Semalam, Dewan Ulama Pas menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini bukan menjadi keutamaan parti tersebut sekiranya berjaya mengambil alih kerajaan.

Ketuanya, Datuk Mohamed Daud sebaliknya berkata, perkara utama yang harus ditekankan ialah keamanan dan keadilan kepada rakyat.

Sebelum ini, ketika Wacana Transformasi Politik Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menegaskan Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang dapat memerintah. Bagaimanapun pendirian beliau mula goyah apabila mendapat tentangan daripada rakan pakatannya, DAP yang tidak dapat menerima pelaksanaan hukum tersebut.
Terdahulu Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah meluangkan masa hampir tiga jam melawat dusun seluas 67.2 hektar itu dengan diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Dusun yang mempunyai koleksi pelbagai pokok periuk kera, buah-buahan musim sejuk dan menjadi kawasan perlindungan mutlak pelbagai jenis kehidupan liar eksotik itu dirasmikan Abdullah pada 15 November 2005.


Sumber: Mingguan Malaysia (28 Dis. 2008)




No comments: